nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Sunday 11 November 2012

Tomboi mahu berubah

SAYA mahasiswa tahun kedua di sebuah institusi pengajian tinggi awam dan bersifat kelelakian atau tomboi sejak kecil. Kehidupan saya sebagai mahasiswa universiti selama ini cukup baik sehinggalah bertemu geng yang satu kepala.

Kehidupan saya berubah 360 darjah. Saya berasa bebas dan gembira dengan kehidupan baru ini. Saya tidak perlu fikirkan masalah dan melepak di mana-mana kami suka.

Paling saya seronok, tiada siapa boleh menghalang segala aktiviti saya. Dulu, ketika di bersekolah, ibu bapa selalu mengongkong kebebasan saya keluar rumah sehingga saya sangat tertekan.

Sejak kenal dengan geng baru itu, saya begitu teruja dengan kebebasan yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Lama kelamaan, saya mula tinggalkan solat dan akhirnya menanggalkan tudung.

Saya rimas bertudung kerana membuatkan aktiviti bersama geng jadi terbatas.
Lagipun semua geng tidak bertudung.

Rutin setiap hari ialah berseronok tidak kira tempat dan masa. Macam-macam benda saya cuba dan akhirnya bosan. Hiburan hanya mampu membuatkan saya gembira sekejap dan selepas itu jiwa kosong. Rakan-rakan sekuliah juga semakin menjauhkan diri.

Akhirnya, keputusan peperiksaan saya mula menunjukkan tanda-tanda saya layak untuk dibuang universiti. Saya berasa kehidupan saya sangat tidak terurus, malah kini mula kenal perangai geng sebenarnya.

Mereka hanya menggunakan saya untuk kelebihan diri mereka. Selama saya tinggal serumah dengan mereka, semua harta dan wang saya habis dibelanjakan.

Mereka hanya tahu berseronok saja dan hidup tanpa matlamat. Suatu petang, saya duduk termenung mengenangkan masa depan yang semakin gelap. Memang benarlah, sekali sudah terjebak susah mahu berpatah balik.

Terdetik jauh dalam hati saya berasa sangat menyesal dengan apa yang dilakukan.
Sekarang baru saya sedar apa yang dibuat selama ini merugikan diri sendiri.
Saya mahu berubah tetapi keadaan sekeliling memaksa untuk berada di sini.
Teman-teman sekuliah tidak mahu menerima saya kembali.

Mereka selalu mengutuk dan mencaci saya. Tiada siapa mahu satu kumpulan dengan saya untuk kerja berkumpulan dan berasa terpinggir.

Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan untuk meraih kembali kepercayaan mereka. Saya tidak mampu lari daripada geng sekarang ini.

Jika saya pindah keluar dari rumah, siapa sudi menerima saya? Saya ingin berubah tetapi tiada kekuatan. Saya bingung memikirkan apa yang perlu dilakukan kini.

Pelajar Kecundang,
SELANGOR




DR mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kesudian adik untuk meluahkan perasaan kerana ia adalah satu jalan kepada perkongsian rasa dan masalah.

Bukan saja diri akan lebih lega, ia juga membantu mencari alternatif kepada masalah sedia ada.

Id (naluri keseronokan) memang mudah membuatkan individu tersasar jauh dalam kehidupan. Nafsu amarah sering melencongkan manusia dari jalan hidup yang benar.

Namun, sebagai manusia, kita diberi akal fikiran menentukan mana baik dan sebaliknya. Agama juga membimbing manusia ke jalan diredai. Manusia boleh memperbaiki diri melalui rasa insaf dan taubat.

Dr akui, mengubah diri bukannya mudah. Begitu juga apabila mahu orang lain menerima perubahan kita. Kutukan dan cacian akan menjadi pakaian seperti apa yang adik alami. Adik dikutuk dan dicaci dan menganggap tiada siapa yang mahu menerima perubahan.

Bagaimanapun, sikap manusia yang sering kali lupa memberi peluang membuktikan adik memang benar-benar mahu berubah.

Perubahan tidak boleh dilakukan secara emosi dan niat saja. Terjemahkan kepada perbuatan dengan kesungguhan. Kesungguhan perbuatan membuktikan adik memang benar-benar tidak mahu mengulangi segala perbuatan keseronokan. Ia juga bukti adik ingin keluar daripada geng yang banyak membawa kepada kekesalan hidup.

Memperoleh kepercayaan orang lain memang memerlukan usaha keras. Selain daripada perlu bersifat dan berkelakuan positif, pemikiran tidak rasional (yang mengatakan tiada siapa mahu satu kumpulan dengan adik untuk kerja kumpulan) perlu diubah.

Beritahu diri, adik berasa sedih apabila tiada siapa mahu satu kumpulan dengan adik untuk kerja kumpulan, tapi ini tidak bermakna hidup adik akan musnah sama sekali.

Pemikiran yang dapat diubah ini membolehkan adik mengatur strategi untuk keluar daripada geng serta rumah yang kini adik diami.

Pemikiran rasional ini juga membolehkan adik perlahan-lahan mendapat kepercayaan rakan-rakan untuk memilih adik sebagai ahli kumpulan untuk membuat tugasan.

Selalunya, dalam membuat kerja berkumpulan, semua ahli akan gembira jika tugasan yang diagih-agihkan dapat dilaksanakan setiap ahli kumpulan.

Justeru, adik perlu menyiapkan segala pembahagian tugasan yang diberikan untuk mendapat balik kepercayaan rakan-rakan yang hilang itu. Ia memang bukan satu perkara mudah untuk dilakukan tapi bukan satu perkara mustahil.

Menunaikan solat lima waktu dan menutup aurat adalah wajib dalam Islam.
Melakukan amalan yang disuruh dalam agama antara kaedah boleh menyucikan jiwa.

Dengan adik kembali menunaikan solat serta menutup aurat, Dr doakan adik berasa lebih tenang dengan diri.

Perasaan tenang ini membuatkan adik dapat melihat permasalahan dihadapi dengan lebih baik. Yang lebih penting, dapat membuat adik mencari jalan keluar daripada segala kekusutan dialami. Dr berharap adik tidak lagi terbabit dengan perkara yang bertentangan ajaran agama.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...