nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 13 November 2012

Berat naik ketika haid

BERAT badan anda naik ketika haid? Betulkah berat badan naik ketika haid atau mitos semata-mata? Memang ini perkara yang benar dan berlaku pada kebanyakan wanita.

Penambahan berat badan ketika haid bukanlah isu yang serius kerana ia tidaklah sukar untuk diturunkan. Memang benar haid boleh memberi kesan kepada berat badan anda, bahkan ia juga turut dipengaruhi hormon yang mengawal haid anda itu.

Jika anda menjaga berat badan anda dengan betul secara sihat, berat badan anda akan kekal seperti biasa dan mungkin hanya mengalami perbezaan sedikit sebelum dan selepas anda haid.

Anda perlu menerima hakikat bahawa pertambahan berat badan adalah sebahagian daripada simptom sebelum haid (PMS) yang wanita alami. Oleh itu, anda perlu tahu punca yang menyebabkan keadaan ini.

Apabila kita sudah tahu puncanya, ia akan menjadi lebih mudah mengambil langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah ini.

Mari kita lihat apakah penyebab berat badan boleh meningkat.


Pembendungan air

Kebiasaannya, berat bertambah ketika haid disebabkan takungan air dalam badan ataupun edema dan ia bukanlah berat daripada lemak di dalam badan. Jangan risau, ia disebabkan perubahan hormon yang tidak menentu serta tidak berada pada tahap normal yang terjadi ketika haid.

Wanita menyimpan lebihan air di bahagian tertentu seperti di lengan, perut dan kaki. Sesetengah wanita juga mengalami bengkak di dada mereka yang boleh menyebabkan ketidakselesaan fizikal.


Meningkatkan nafsu makan dan makan berlebihan

Perubahan hormon dalam badan boleh menyebabkan keinginan nafsu yang kuat terhadap makanan. Ini selalunya terjadi kepada wanita yang mengalami PMS.
Keinginan untuk makan akan meningkat dan mungkin akan melebihi jumlah kalori diperlukan badan terutamanya apabila mengalami pendarahan yang banyak.

Kajian mendapati wanita berkemungkinan mengalami penurunan tahap gula dalam darah yang menjadikan badan mereka bertindak balas secara automatik dengan mewujudkan rasa lapar atau keinginan untuk makan secara berlebihan agar boleh mengimbangi tahap gula yang rendah itu.


Kembung perut

Pengumpulan gas di dalam usus adalah penyebab kembung perut ketika haid. Ia disebabkan perubahan dalam badan dan tidak aktif sebelum dan ketika haid. Ia juga boleh disebabkan masalah sembelit yang kebiasaannya terjadi ketika haid.
Malah, jika seseorang itu sakit perut seperti senggugut, ia berkemungkinan disebabkan masalah kembung perut.


Kekurangan gula dalam darah

Tahap magnesium berkura–ngan ketika haid dan ini menyebabkan penghasilan insulin menjadi rendah. Wanita ketika haid lebih mudah mengalami kekurangan gula di dalam darah. Jadi, badan secara automatik akan mewujudkan nafsu makan yang tinggi untuk mengembalikan tahap gula dalam darah yang normal.


Cara mencegah

Penambahan berat badan ketika haid perkara biasa dan ia akan hilang dalam beberapa hari. Saya kongsikan cara yang boleh anda lakukan untuk mencegah pertambahan berat badan dalam tempoh yang ‘kritikal’ ini.


Kurangkan pengambilan sodium

Ia akan mengurangkan pembendungan atau takungan air dalam badan. Makanan yang tinggi dalam natrium menyumbang kepada pembendungan air dalam badan. Sayur-sayuran dalam tin, serbuk perasa, makanan dalam tin dan diproses serta kicap mengandungi sodium yang tinggi menyumbang kepada pertambahan berat badan ketika haid.

Oleh itu, elakkan pengambilan makanan sedemikian untuk mengelakkan penambahan berat badan ketika haid.


Bersenam untuk menjadikan diri lebih cergas dan mengelakkan berat badan bertambah

Melakukan senaman kardiovaskular mampu membakar kalori dalam badan serta membuang berat air yang berlebihan ketika haid. Menurut kajian, senaman mampu me–ngurangkan gejala PMS.

Kebiasaannya, ketika haid seseorang boleh mengalami sakit kepala, keinginan nafsu makan yang tinggi serta perubahan mood. Oleh itu, dengan menjalani cara hidup sihat dan melakukan aktiviti senaman seperti berjalan, berlari dan berenang mampu mengelakkan pertambahan berat badan ketika haid.


Tingkatkan pengambilan serat

Pengambilan serat amat digalakkan. Ia dapat membantu mengawal nafsu makan, sekali gus mengurangkan masalah gemuk air.


Makan makanan berkhasiat dalam jumlah kalori yang diperlukan saja

Seperti yang kita maklum, ketika haid, paras insulin dalam darah menurun dan menyebab–kan nafsu makan bergelora. Hal ini mungkin menyebabkan anda memakan makanan yang tinggi karbohidrat. Malah selera mungkin tertumpu pada makanan berkalori tinggi seperti coklat dan piza.

Oleh itu, pastikan anda makan dengan kerap dalam kuantiti sederhana agar nafsu makan tidak bergelora apabila anda mengabaikan waktu makan.

Selain itu, pilihlah makanan yang tinggi serat, rendah lemak, protein tanpa lemak, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran. Akhir kata, kenalilah diri anda kerana setiap wanita mempunyai kedatangan haid yang unik dan tersendiri.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...