nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 13 November 2012

Elak berusaha separuh jalan

KESEDARAN...aktiviti ini bertujuan mendidik dan memberi kesedaran mengenai diabetes kepada orang ramai.
KESEDARAN...aktiviti ini bertujuan mendidik dan memberi kesedaran mengenai diabetes kepada orang ramai.
KAWAL...jangan makan mengikut nafsu.
KAWAL...jangan makan mengikut nafsu. 
 
APA yang anda lakukan setiap hari? Aktiviti yang dilakukan pasti tidak banyak beza dengan kebanyakan orang lain termasuk makan empat hingga lima kali sehari, bekerja, tidur, keluar bersama rakan serta kurang bersenam.
Boleh dikatakan semua perkara yang disebutkan itu menjadi tabiat seharian rakyat negara ini. Mengenai aspek pemilihan makanan dan kurang bersenam, mungkin ramai yang akan bersetuju mengenai dua perkara - punca penyakit pada tubuh.
Kenyataan ini klise? Memang, sebab anda selalu membaca artikel mengenainya di akhbar dan majalah, mendengarnya di corong radio serta melihatnya di kaca televisyen dan papan iklan terbentang luas di tepi jalan mahupun lebuh raya.

Sebut saja penyakit seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, sakit jantung, obesiti dan kencing manis, semuanya berkait rapat dengan makanan.

Justeru, kita juga sering dinasihatkan supaya mengambil atau memilih makanan dalam kuantiti sederhana tetapi mempunyai keperluan nutrisi yang seimbang.

Jangan biasakan diri dengan amalan pemakanan yang bercampur-aduk, sumbat apa saja jenis makanan ke dalam perut setiap kali berasa lapar serta makan dalam kuantiti banyak melebihi keperluan dan kemampuan tubuh menanggungnya.

Kencing manis atau diabetes tidak mengenal usia. Sesiapa saja berisiko menghidapinya termasuk kanak-kanak mahupun ibu hamil.

Pakar Perunding Perubatan dan Neprologi Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Gan Wee Hin, berkata kencing manis berlaku akibat kandungan gula di dalam darah melebihi tahap normal.

“Dalam jangka masa panjang, penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan lain pada tubuh seperti otak, mata, jantung, saluran darah, hati, buah pinggang, dan kaki yang pada akhirnya hanya memudaratkan pesakit.

“Antara tanda atau gejala diabetes ialah penghidapnya akan sentiasa berasa dahaga, kerap kencing, lesu dan letih serta berat badan susut walaupun tidak mengamalkan diet tertentu.

“Kebanyakan kita leka dan tidak pergi melakukan pemeriksaan kesihatan kerana berasakan diri sentiasa sihat. Tapi apabila badan sudah menunjukkan tanda awal penyakit ini, barulah kita hendak berjumpa doktor dan ambil langkah pencegahan.

“Sebab itu, penting untuk melakukan pemeriksaan kesihatan seawal mungkin dan sekurang-kurangnya setahun sekali pun sudah memadai bagi mengetahui tahap kesihatan diri anda sendiri,” katanya.

Kencing manis terdiri daripada tiga jenis iaitu diabetes jenis satu, diabetes jenis dua dan diabetes jenis tiga.

Diabetes jenis satu dikenali juga diabetes bersandar insulin (Insulin Dependent Diabetes Mellitus) atau diabetes awal remaja. Ia berlaku akibat kegagalan kelenjar pankreas menghasilkan insulin.

Kebiasaannya, penghidap mula mendapat gejala penyakit ini ketika kanak-kanak atau remaja. Disebabkan kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin untuk seumur hidupnya bagi mengawal tahap glukos darah. Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan kita menghidap diabetes jenis ini.

Diabetes jenis dua pula adalah kumpulan penyakit yang banyak diidapi masyarakat kita iaitu sebanyak 80 peratus. Senario penyakit ini paling biasa dilihat bukan saja di kalangan penduduk Malaysia malah Asia.

Selalunya, penyakit ini boleh menyerang sesiapa saja yang berumur 30 tahun ke atas. Ia berpunca daripada pankreas tidak berada di dalam keadaan baik lantas kurang berfungsi untuk membolehkan badan kita menghasil dan menggunakan insulin.

Namun, disebabkan masih mempunyai sedikit insulin daripada pankreas, diabetes jenis ini masih boleh dikawal secara pemantauan pengambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam dan pengambilan ubat secara berterusan.
Diabetes jenis ini biasa berlaku kepada mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti mempunyai berat badan berlebihan, tidak bersenam dan merokok.

Sementara itu, jenis ketiga adalah diabetes ketika hamil atau gestational diabetes. Diabetes ketika hamil adalah sejenis alahan glukos yang dikenal pasti pada sebahagian wanita ketika mengandung.

Diabetes ketika hamil juga biasa didapati di kalangan wanita yang kuat makan atau wanita daripada keturunan pengidap diabetes. Golongan ini memerlukan rawatan untuk menurunkan paras gula dalam darah agar tidak memberi kesan kepada kandungan.

Wanita yang mengalami diabetes ketika hamil mempunyai risiko 20 peratus hingga 50 peratus mengidap diabetes dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas itu.

Tambah Dr Gan, kaedah pencegahan awal dan rawatan selepas menghidap penyakit ini adalah dengan mengamalkan cara hidup sihat.

“Pilih dan ambil makanan dengan betul. Antara cara pemilihan yang boleh diikuti adalah mengambil 50 peratus makanan berasaskan karbohidrat, 25 peratus protein, kurang 15 peratus minyak (lemak) serta selebihnya serat (buah-buahan dan sayur-sayuran).

“Selain itu, anda juga boleh belajar menghitung jumlah kalori yang diambil bagi mengelakkan makan terlalu banyak dan kenyang. Seharusnya anda makan dan berasa kenyang pada tahap 80 peratus saja dan bukannya sehingga 120 peratus.

“Ingat, semakin anda berusia ditambah pula mempunyai berat badan berlebihan daripada indeks jisim tubuh yang ideal serta tahap kolesterol juga tinggi, anda amat berisiko untuk mendapat penyakit ini,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, Dr Gan menasihati orang ramai agar amalkan cara hidup sihat dengan kurangkan pengambilan makanan berlemak, lakukan senaman dan jalani pemeriksaan kesihatan.

Pepatah ‘mencegah lebih baik daripada merawat’ perlu sentiasa diingat atau sebaiknya dijadikan pegangan ketika mahu memilih makanan. Ia bertujuan mengingatkan dan mengawal anda daripada mengambil makanan dalam kuantiti melampau dan mengikut hawa nafsu.

Selain itu, pesakit diabetes perlu mempunyai disiplin diri yang tinggi dalam mengawal tahap kesihatan supaya tiada perkara memudaratkan atau komplikasi lebih buruk berlaku kepada anggota tubuh.

Sikap saling bekerjasama harus diamalkan di antara doktor dan pesakit agar penyakit itu dapat dikawal dengan sebaik mungkin. Segala ubat-ubatan dan nasihat yang diberikan oleh doktor mesti diamalkan secara berterusan. Paling penting, jangan cepat putus asa dan berusaha separuh jalan saja.

Kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung, kolesterol tinggi serta obesiti dikategorikan sebagai penyakit tidak berjangkit atau non communicable diseases (NCD) yang boleh menjadi pembunuh secara senyap.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, dalam kenyataannya pada pelancaran program Kem Kesedaran Kesihatan (3K) Mei lalu di Putrajaya, turut menyatakan situasi penyakit NCD di negara ini amat merunsingkan kerana jumlah pesakit semakin meningkat setiap tahun dan ia perlu diatasi segera.

Menurutnya, secara keseluruhan, terdapat 2.6 juta rakyat dewasa di negara ini menghidap penyakit kencing manis, 5.8 juta menghidap darah tinggi, 6.2 juta mempunyai tahap kolesterol tinggi dan 2.5 juta mengalami kegemukan.

Dr Hasan berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) tahun lalu menunjukkan penyakit diabetes meningkat 15.2 peratus berbanding 11.6 peratus pada 2006, darah tinggi di kalangan dewasa berumur 30 tahun meningkat daripada 32.2 peratus kepada 32.7 peratus bagi tempoh sama.


Tanda atau gejala awal diabetes:

  • Kerap buang air kecil termasuk pada waktu malam
  • Kerap berasa dahaga dan kebanyakan pesakit menginginkan minuman manis
  • Susut berat badan
  • Cepat penat dan tidak bermaya
  • Tangan dan kaki terasa kebas
  • Luka atau kudis lambat sembuh


    Antara faktornya:
  • Genetik (keturunan)
  • Umur
  • Pola pemilihan makanan
  • Tidak bersenam
  • Mengalami tekanan (stres) / kurang tidur
  • Berat badan berlebihan


    Cara mencegah dan mengawal diabetes:


    Perubahan cara hidup

    Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis dan mengawal tahap gula dalam darah. Pesakit kencing manis dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dan mengawal kencing mani.


    Pemakanan

    Makanan tinggi kandungan gula seharusnya dikurangkan supaya pengambilan kadar kalori sehari itu terkawal. Berbincanglah dengan doktor atau pakar pemakanan untuk cara diet yang terkawal.


    Senaman

    Senaman penting untuk membantu mengurangkan berat badan serta menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (kardiorespiratori). Senaman perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor.


    Penjagaan berat badan

    Pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan akan mendapati tahap gula dalam badan sukar dikawal. Terdapat pesakit yang boleh menghentikan ubat kencing manis apabila berat badan dapat dikawal.


    Pemeriksaan kesihatan

    Pemeriksaan doktor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti dilakukan secara berterusan. Ini membolehkan penghidap kencing manis memastikan tahap gula dalam darah terkawal.
  • No comments:

    Post a Comment

    nuffnang

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...