nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Sunday 11 November 2012

Benci ibu kerana garang

Saya seorang remaja tiga beradik. Ibu bapa saya berpelajaran tinggi dan memegang jawatan tinggi tetapi mereka selalu sibuk, malah sering kali keluar negara atas urusan kerja.

Ada orang yang menjaga makan minum kami sekeluarga.

Ibu jarang masak kerana sibuk dengan kerja. Lagipun, ibu selalu balik lewat, namun saya faham keadaan ibu. Kata ibu, dia bekerja kuat kerana hendak menyara kami dan tidak mahu kami hidup susah sepertinya dulu.

Ibu berasal dari kampung dan mempunyai ramai adik-beradik. Kampung ibu jauh di pedalaman dan rumah ibu di kampung pun buruk. Ibu selalu berpesan kepada kami supaya belajar bersungguh-sungguh supaya hidup tidak susah apabila besar nanti.
Walaupun rumah ibu buruk, saya suka balik kampung kerana nenek dan datuk sangat baik. Dalam umur saya ini, saya belum sangat memikirkan masa depan saya.

Saya menghadapi masalah dengan ibu. Dulu, hubungan kami rapat tetapi kini, ibu asyik mencari salah saya malah dikawal macam anak patung. Apa yang saya hendak lakukan semua tidak boleh dan asyik belajar saja. Sebagai remaja, saya juga ingin melakukan sesuatu yang menyeronokkan seperti bermalam di rumah beberapa kawan tetapi ibu tidak benarkan.

Untuk pengetahuan Dr, saya tidak berniat melakukan perbuatan terkutuk, cuma hendak tidur di rumah kawan. Sebagai seorang Islam, saya tahu apa yang baik dan buruk.

Saya ada niat di hati lari dari rumah tapi apabila memikirkan tidak tahu tempat hendak dituju dan kasihan ibu bapa, saya lupakan saja niat itu. Lagipun, saya takut keluar berita di akhbar jika berbuat demikian.

Sikap ibu amat menjengkelkan dan menganggapnya sebagai Firaun.

TERTEKAN,
Kuala Lumpur




ISLAM amat menitikberatkan umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Allah S.W.T menyatakan betapa pentingnya anak menjaga hubungan baik dengan ibu bapa.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan, Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” (Surah Al-Ahqaaf, ayat 15).

Menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa amalan yang berterusan. Tanpa reda mereka, kita tidak akan mengecapi reda Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda, yang bermaksud: “Reda Allah bergantung pada reda dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat al-Hakim).

Allah melarang umat-Nya memanggil atau menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk seperti pada zaman jahiliah.

Firman Allah dalam surah Al-Hujrat ayat 11 yang bermaksud: “Dan jangan kamu memanggil dengan panggilan yang buruk antara sesama kamu yang seagama se-Islamnya seperti panggilan ya fasiq, ya kafir, Firaun, Haman atau sebagainya.

“Firman Allah lagi yang bermaksud: “Amat buruk panggilan nama fasiq kepada seseorang selepas dia beriman kepada Allah.

Memberi gelaran ibu sebagai Firaun hanya akan lebih menjarakkan hubungan adik dengan ibu dan dilarang dalam Islam.

Secara psikologi, konflik yang berlaku antara anak dengan ibu dilihat sebagai perbezaan yang wujud antara dua generasi yang melihat kehidupan dari dua sudut berlainan.

Apabila berlakunya konflik ini, ketegangan emosi selalunya wujud. Sebagai seorang yang sayang kepada anaknya, ibu adik mula menyalurkan ketegangan emosi ini dengan mengawal ketat adik, sama ada secara niat atau tanpa niat.

Psikologi perkembangan mengaitkan peringkat awal remaja adalah waktu di mana konflik antara remaja dengan ibu bapa mulai tegang. Banyak faktor yang menyumbang kepada konflik ini antaranya ibu bapa yang kurang memahami perkembangan anak-anaknya khususnya dari segi pemikiran dan kematangan golongan remaja. Sebagai orang yang lebih berpengalaman, ada ibu bapa yang sukar menerima buah fikiran anak remaja sementara remaja merasakan mereka perlu bebas daripada kawalan ibu bapa. Remaja mulai melihat rakan sebaya, bukan ibu bapa sebagai tempat bercerita. Mereka mula cenderung untuk berpisah daripada struktur keluarga apabila meningkat usia. Adik sudah mulai menjadi individu yang bersifat kritikal dan mula melihat ibu adik tidak sebaik dulu.

Dalam Islam, ibu bapa wajib dihormati. Konflik yang wujud antara adik dan ibu adik boleh dikurangkan melalui perbincangan.

Masa bersama ibu boleh digunakan untuk meluahkan perasaan dan ketidakpuasan hati. Masa ini juga adalah masa terbaik bagi ibu adik untuk meluahkan segala harapannya terhadap adik. Perbincangan boleh dilakukan dengan lebih terbuka dan dalam suasana penuh kemesraan dan harmoni.

Adik dan ibu adik juga perlu saling menghormati. Layanan yang mesra antara ibu adik dengan adik serta ahli keluarga yang lain akan menyebabkan setiap ahli keluarga merasakan diri mereka bersatu dan memerlukan antara satu sama lain.

Dr doakan segala konflik antara adik dengan ibu akan terlerai serta hubungan kalian berdua akan menjadi rapat seperti dulu.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...