nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 13 November 2012

Bakti bekas gerila

SELAMA 10 tahun, Alvaro Perez mengabdikan diri sebagai tukang jahit di medan perang untuk Revolusi Angkatan Tentera Colombia. Kini, ketika pemberontak mengadakan sesi dialog damai, dia memulakan hidup baru dengan menjahit pakaian seragam sekolah.

Berlatarbelakangkan bunyi mesin jahit yang bising di tingkat satu gudang bata terletak di kawasan kejiranan miskin di selatan Bogota, dia menyatakan, mesej terbesar yang mahu dibawakannya adalah: ‘Dengan bekerja kita turut boleh membawa keamanan’.

Pada awal bulan ini, Farc Marxsis kumpulan pemberontak terbesar di Amerika Latin dengan kekuatan 9,200 pejuang memulakan dialog damai dengan wakil kerajaan Presiden Juan Manuel Santos.

Tindakan Farc itu memberikan harapan bahawa satu perjanjian keamanan yang dulunya sukar untuk difahami dan dikecapi, akhirnya mungkin boleh menjadi kenyataan.

Farc sudah berjuang untuk mengambil alih kerajaan di Bogota selama setengah abad dan menjadikan ia pemberontakan paling lama berlaku di rantau itu.

Lelaki berusia 53 tahun itu menyatakan, dia sedar jika diceritakan kisah peribadinya, banyak cerita dan maklumat turut didedahkan.

Papan tanda yang terlekat di atas bengkel syarikat jahitannya yang kecil itu tertulis megah ‘Tangan yang membuat semua produk jahitan ini pada satu ketika dulu kerjanya memegang senjata tetapi kini, tangan ini juga yang membuat Colombia menjadi seperti hari ini’.

Walaupun kebanyakan produk yang dihasilkan adalah pakaian seragam untuk sekolah, dia juga turut membuat pakaian seragam bagi pekerja restoran serta syarikat pengedar jenama minuman Coca Cola. Malah Perez bangga memberitahu, dia mengupah bekas pemberontak sepertinya untuk bekerja.

“Sumbangan terbesar anda boleh lakukan demi keamanan adalah dengan bekerja dan mewujudkan peluang pekerjaan. Ini kerana, begitu banyak orang yang keluar daripada gerila akan pergi ke sana sebab mereka tidak mempunyai peluang lain dan miskin,” kata Perez yang kembali menyertai Farc pada 1996.

“Dulu saya anggap keadaan itu tidak salah. Hal ini mungkin disebabkan saya melihat pemberontak mengambil harta golongan kaya untuk membantu orang miskin,” sambungnya.

Hidupnya dulu hanya berkisar kehidupan di kem, menjahit topi penyamaran, seluar dan pakaian lain untuk pemberontak.

Walaupun dia bukanlah seorang pejuang barisan hadapan, namun dia sudah cukup penat menyaksikan ramai pejuang pemberontak yang mati berlumuran darah.

“Saya masih ingat berada di tengah-tengah medan pertempuran ketika pemberontak dan askar saling tembak menembak, mencari tempat perlindungan dan membantu orang, tetapi saya sendiri tidak berjuang.

“Saya putus asa apabila ada pemberontak berkata, saya tidak akan dibayar gaji untuk semua pengorbanan yang sudah dilakukan. Mereka kata: ‘Hei, tiada siapa yang dapat gaji di sini, semua orang berjuang atas sebab yang sama’. Ia membuatkan saya berfikir semula tindakan saya,” sambungnya.

Semangatnya semakin luntur apabila dia menyaksikan rakan pemberontak membunuh petani hanya kerana tidak mahu bekerjasama dengan mereka.

“Mereka tembak tiga kali ke kepala petani dan mayat mereka dicampak ke dalam sungai,” kata Perez perlahan.

Apabila dia melarikan diri keluar daripada kumpulan pemberontak dan sampai ke Bogota, Perez menghadapi realiti yang lebih sukar iaitu disisihkan kerana masyarakat amat sukar untuk menerima bekas gerila. Sebaik mereka mengetahui anda adalah bekas gerila, semua pintu akan tertutup, kata Perez.

Contohnya apabila membabitkan urusan bank. Mereka tidak akan meluluskan permohonan pinjaman tetapi nasib menyebelahi Perez apabila dia diberikan laluan mudah.

Pada 2006, dia layak untuk mengikuti program kerajaan bagi bekas pemberontak dan berpeluang mendapat pinjaman kecil memulakan perusahaannya yang dikenali sebagai Colfepaz.

Menerusi usaha keras dan kesungguhan, perniagaannya semakin berkembang dengan kakitangannya kini berjumlah 40 orang.

Pada mulanya, jirannya kerap membuat aduan bahawa mereka bimbang seseorang akan mengebom bangunan kerana terdapat pemberontak di dalam bangunan itu.

Sementara itu, seorang pekerjanya yang juga bekas pemberontak, Luz Marina Zarate berpendapat, anggota gerila masih tetap akan melalui jalan sukar walaupun rundingan damai berjaya kelak.

“Ia akan menjadi sukar bagi ramai pemberontak untuk menyesuaikan diri menerima arahan dalam bidang perniagaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...