nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Sunday 11 November 2012

Remaja terganggu kekasih disentuh

SAYA jejaka berusia 20-an sedang dilamun cinta dengan gadis (A). Kami satu tempat kerja.
Ciri-ciri dan perwatakan yang ada pada A membuatkan saya terpikat dengannya.
Untuk pengetahuan Dr, kami begitu rapat dan kerap kali keluar bersama tidak kira masa. Jika ada masalah saling berkongsi.

Dia pernah meluahkan pada saya bahawa dia amat menyayangi saya. Saya juga terdetik ingin menjadikan A sebagai isteri.

Tapi yang mengganggu pemikiran saya dengan serius ialah dia juga sering kali keluar dengan rakan lelaki lain. Saya begitu risau jika rakan lelaki A mengambil kesempatan terhadapnya. A pernah memberitahu saya yang rakan lelakinya sering menyentuhnya. Disebabkan perkara itu saya rasa kecewa.

Saya mahu A dalam keadaan terpelihara daripada semua itu. Saya amat sayangkannya sepenuh jiwa dan raga. Saya sering kali berfikir adakah A layak jadi isteri saya?

Saya ada juga mendengar nasihat daripada orang tua supaya mengelakkan wanita seperti itu kerana ditakuti mendatangkan masalah suatu hari nanti. Dan apabila saya bertanya dengan orang-orang alim seeloknya pilihlah yang beragama. Jadi apa pandangan dan nasihat Dr yang boleh diberikan kepada saya.

Seniman
Johor




HIDUP tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh merosakkan diri sendiri. Syak wasangka juga boleh saja membunuh perasaan.

Jika adik mempunyai sifat syak wasangka, tentu sekali akan menyukarkan dan menjarakkan hubungan cinta adik berdua. Adik banyak bermain dengan perasaan sendiri apabila tidak yakin dengan perasaan cinta terhadap A.

Dr amat memahami apabila adik mengatakan terganggu pemikiran dengan serius apabila A sering keluar dengan rakan lelaki lain.

Adik juga begitu risau jika rakan lelaki A mengambil kesempatan terhadapnya.
Bukan laut namanya jika airnya tidak berombak, bukan cinta namanya jika perasaan tidak pernah terluka, bukan kekasih namanya jika hatinya tidak pernah merasa rindu dan cemburu.

Adik boleh mengurangkan gangguan pemikiran ini dengan diri sendiri bertindak secara positif. Tidak ada yang boleh membantu ketenangan jiwa selain daripada diri sendiri. (G.Chr.Lich-tenberg). Kebahagiaan dan tidak kebahagiaan manusia tergantung pada diri sendiri. (Abraham Lincoln).

Jika adik tidak gemar dengan apa yang A lakukan, nyatakan perasaan ini kepadanya. Jelaskan bahawa niat adik adalah baik dan dilakukan atas dasar tidak mahu dirinya menanggung akibat jika sesuatu perkara buruk berlaku. Menunjukkan rasa ambil berat adalah sifat baik dalam satu hubungan.

Apabila A pernah meluahkan perasaannya terhadap adik, ia satu petanda positif. Bukan mudah bagi seorang wanita untuk melahirkan perasaannya jika tidak merasakan perasaan itu. Perasaan A perlu dihargai. Adik perlu memberi reaksi positif kepada A jika ingin hubungan ini berjaya.

Kebiasaannya, pasangan yang berjaya adalah pasangan yang sama-sama berkongsi keyakinan atas arah tuju sesuatu hubungan. Keyakinan yang dibina ini akan meningkatkan tahap toleransi dalam diri setiap pasangan. Jika ini berlaku ia memberi makna kepada sesuatu hubungan.

Apabila keyakinan pasangan tidak selari, ia memberi kesan kepada tahap hubungan cinta itu. Seorang daripada pasangan akan merasa yakin serta mempunyai matlamat dalam hubungan itu. Sebaliknya, seorang lagi pasangan merasa tidak selamat, merasa serba kekurangan dan menarik diri dari perhubungan itu.

Dalam keadaan ini, sukar untuk hubungan itu saling melengkapi kerana pasangan yang tidak yakin dengan hubungan itu akan bersifat berhati-hati, merasa takut dengan hubungan ini.

Oleh kerana jangkaan tidak dapat dipenuhi, kekecewaan semakin ketara.
Benih-benih kepada putusnya hubungan semakin ketara. Pasangan yang mempunyai rasa rendah diri sering berhati-hati oleh kerana membina tembok dalam dirinya.

Jarang sekali individu melahirkan pasangan ini. Dr harap adik tidak menjadi seperti salah seorang pasangan yang tidak yakin dalam hubungan dengan A.

Adik, memang benar. Dr bersetuju dengan pandangan orang-orang alim, seeloknya pilihlah pasangan yang beragama. Mengikut Islam, sahsiah seorang isteri yang seharusnya dipilih oleh suami ialah seperti sabda Rasulullah SAW, Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak, kamu akan beruntung kelak. (Riwayat Ahmad).

Dr merasakan adik boleh membimbing A untuk menjadi seorang wanita seperti mana diingini. Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain.

Maksud kata-kata ini ialah jika adik dapat membimbing A, ia amat bermakna. Bak kata pepatah, “kesungguhan, kegigihan, keikhlasan dan pengorbanan adalah pilar cinta sejati”.

Tunjukkan rasa cinta dengan berkorban kerana tidak ada cinta tanpa pengorbanan. Apabila engkau memberi dari hartamu, tidaklah banyak pemberian itu. Tetapi apabila engkau memberi daripada dirimu, itulah pemberian yang penuh bererti”.

Segala yang terbaik untuk adik dan semoga dapat menjadikan gadis yang dicintai sebagai milik hati dan membimbingnya dengan penuh kasih sayang.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...