nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 13 November 2012

Balas budi rama-rama

CHEN Wei-shou, perintis penyelidikan rama-rama di Taiwan masih ingat kenangan manis ketika dia berumur enam tahun. Dia melihat ‘bunga yang boleh bergerak’. Sejak itu bermulalah minatnya yang mendalam terhadap rama-rama.

Kini pada usia 81 tahun, Chen boleh mengimbas kembali kariernya yang tanpa disedari berlanjutan selama tujuh dekad, dengan 77 buku dan boleh berbangga apabila mampu membuka muzium rama-rama, antara yang terbesar di Asia.

Jika dibuat penilaian, kehidupan akademik Chen memang cemerlang, namun di sebalik kejayaannya itu, ada perkara yang menyedihkan hatinya. Beliau sedih mengenangkan rama-rama yang dulunya boleh dilihat berterbangan di mana-mana kini menjadi serangga yang sukar ditemui di Taiwan.

Di sesetengah tempat di Taiwan, jumlah populasi rama-rama merosot kepada satu peratus berbanding sebelum bermulanya era industri di negara pulau berkenaan.

“Dulu Taiwan menjadi syurga rama-rama. Ketika saya kecil dulu, kita boleh lihat rama-rama dengan mudah walaupun di bandar besar seperti di Taipei,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan sudah berubah dan kini satu-satunya tempat di mana penduduk Taiwan boleh melihat serangga cantik berwarna-warni itu hanyalah di muzium yang dibukanya pada 1972 di kawasan Sekolah Tinggi Cheng Kung, tempat dia mengajar sehinggalah Chen bersara pada 1996.

Habitat rama-rama di Taiwan musnah dalam sekelip mata apabila penduduk mengubah corak kehidupan daripada masyarakat petani kepada masyarakat penjana industri selepas perang.

“Banyak hutan yang dibersihkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan raya, rumah dan kilang. Malah hutan juga ditebang untuk dibangunkan sebagai kawasan perladangan.

“Penggunaan racun serangga yang berleluasa oleh petani juga antara faktor yang bertanggungjawab kepada kehilangan rama-rama di pulau ini,” kata pegawai daripada Majlis Pertanian, Lin Kuo-chang.

Keadaan ini lebih teruk khususnya di kawasan pantai barat Taiwan yang menjadi pemacu keajaiban ekonomi Taiwan. Di sini, populasi rama-rama merosot mendadak dan Chen memanggilnya ‘padang pasir rama-rama’ kerana amat sukar untuk menemui serangga cantik berkenaan.

Selain itu, ada lagi punca populasi rama-rama berada di bawah tekanan dan terancam khususnya sekitar 1950-an hingga 1970-an.

Ramai penduduk tanah besar mendapati rama-rama boleh menjadi sumber pendapatan baru bagi mereka, sama ada menangkap serangga ini atau menjadikannya hiasan yang menarik. Malah hiasan daripada rama-rama yang diawet pernah menjadi penyumbang besar pendapatan eksport Taiwan satu ketika dulu.

Pada kemuncak industri (menghasilkan hiasan daripada rama-rama), Taiwan mengeksport 30 juta rama-rama setahun khususnya ke Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

Walaupun data rasmi sukar diperoleh, namun bertahun-tahun lamanya penduduk Taiwan mengaut keuntungan dan menjalani kehidupan selesa hasil daripada jualan rama-rama.

“Taiwan menjual terlalu banyak rama-rama dan produk daripada rama-rama sehingga negara ini digelar ‘syurga rama-rama’. Sama ada suka atau tidak, kita perlu mengakui bahawa rama-rama memang menjadi sumber pendapatan ramai penduduk ketika itu,” kata Chen.

Hampir satu dalam lima spesies rama-rama hanya boleh ditemui di Taiwan, namun banyak pihak bimbang jumlahnya yang semakin berkurangan.

Keprihatinan terhadap salah satu spesies daripada keluarga rama-rama bintik ungu agak lewat. Ini kerana secara rasminya serangga berkepak besar dengan kilauan warna ungu itu disahkan sudah pupus di Taiwan.

Tiga spesies lagi, Swallowtail Ekor Lebar, Iridescent Birdwing Magella dan Great Purple Emperor dimasukkan ke dalam senarai serangga terancam dan kini ia menjadi tumpuan dalam usaha mengekalkan kewujudannya.

Antara tanda keprihatinan terhadap kelangsungan generasi rama-rama itu apabila pihak berkuasa membina pusat perlindungan rama-rama dan berusaha meningkatkan kesedaran melalui kempen pendidikan serta maklumat.

Pada setiap musim bunga, pihak berkuasa akan menutup satu lorong jalan raya di pusat bandar Taiwan bagi melindungi berjuta-juta rama-rama bintik ungu dalam musim migrasi serangga cantik itu.

Chen juga mengambil pendekatan positif. Daripada menangkap rama-rama menggunakan jaring, kini dia ‘menangkap’ aksi rama-rama dengan lensa kameranya.
Dokumentari pertamanya bertajuk ‘Dancing Queens of the Nature’, berjaya meraih anugerah dalam Golden Harvest pada 1978 dan sejak 1981, rama-rama yang boleh ditangkapnya ialah yang terakam dalam filem kameranya.

“Koleksi spesimen yang saya ada melebihi kemampuan penyimpanan muzium. Saya rasa saya sudah kumpul hampir semua spesies yang boleh ditemui di Taiwan.

“Rama-rama membantu Taiwan mengharungi saat sukar (selepas perang). Kini penduduk Taiwan perlu lakukan sesuatu untuk membalas jasa dan pengorbanan rama-rama,” sambungnya. - AFP

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...