nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Sunday 11 November 2012

Kawan sebar fitnah


SAYA ingin menceritakan masalah dan meluahkan kesedihan dialami selama ini. Kisah hidup silam sering menghantui saya. Noda hitam menyebabkan saya tidak tenang.

Saya pernah terlanjur dengan kekasih dan perkara ini diketahui beberapa kawan. Saya pernah ditempatkan di rumah perlindungan. Ketika belajar di sekolah rendah, saya pernah melalui saat hitam, dirogol.

Apa yang menjadi masalah kepada diri sekarang ialah penghinaan dialami.
Peristiwa saya dirogol kini sudah diketahui ramai kerana dihebohkan seorang kawan yang tidak bertanggungjawab. Dia menyebarkan fitnah saya mengandung.

Perkara ini membuatkan saya kehilangan kawan dan malu. Setiap hari, fikiran saya terganggu. Apa yang perlu saya lakukan?

Sedih Difitnah,
Perak




DALAM usia muda, adik mengalami banyak kesedihan hidup. Peristiwa dirogol mendatangkan trauma kepada individu terbabit. Bagaimanapun, adik perlu teruskan kehidupan kerana berhak menikmati kebahagiaan, sama seperti orang lain. Tiada siapa boleh menafikan hak adik menikmati kehidupan ini.

Dr melihat adik masih mempunyai kekuatan untuk melalui kehidupan ini. Dr doakan adik kuatkan semangat bagi meneruskan perjuangan hidup. Dr amat memahami bukan senang untuk tidak menghiraukan cakap-cakap dan pandangan negatif orang terhadap diri kita. Apatah lagi dalam peringkat umur adik yang masih muda.

Kata-kata pujangga Hamka mungkin boleh membantu. Beliau menjelaskan, manusia yang tahan menderita kepahitan sehingga penderitaan menjadi kekayaan adalah manusia yang bahagia hidupnya. Beliau juga menjelaskan manusia yang mendapat kesusahan hendaklah menyimpan kesabaran.

Segala yang berlaku adalah dugaan kehidupan. Manusia harus meyakini apa yang ditentukan Allah.

Ujian diberikan juga untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 surah al’-Ankabut: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman,” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]

Kawan-kawan amat penting. Penyisihan kawan-kawan boleh memberi tekanan seperti apa yang adik rasakan. Manusia dijadikan ada bersifat baik dan sebaliknya.

Ada manusia memang sifatnya sentiasa antipositif dan hanya berusaha mencari kelemahan orang lain hatta macam mana baik pun kita.

Untuk mengurangkan kesedihan, adik boleh melakukan beberapa cara seperti menceritakan kepada kawan-kawan. Namun, kadangkala apa saja yang adik terangkan, mereka akan tetap mempunyai pandangan negatif.

Mereka berada dalam kategori tidak suka melihat kebaikan orang lain. Orang sebegini selalu melemahkan semangat kita untuk meneruskan kehidupan
dengan baik.

Bagi menangani masalah ini, usah pedulikan pandangan individu itu terhadap diri adik. Teknik untuk tidak terlalu memikirkan apa orang lain fikir dan cakap mengenai diri membolehkan adik untuk meneruskan kehidupan ini.

Perjalanan hidup adik masih panjang. Dr harap adik akan melengkapkan diri dengan ilmu dan berfikiran positif untuk membantu meneruskan kehidupan. Jika kuat semangat melalui cabaran hidup, kekuatan diri akan ditemui.

Tentu sekali, dalam perjalanan ini, jatuh bangun adalah perkara biasa. Namun, jika langkah berani, insya-Allah, adik berupaya mengharungi kehidupan. Carilah teman yang boleh menjadi kawan dan memberi bimbingan.

Jangan ulangi kesilapan lalu sebaliknya tambah ilmu dengan beribadat dan banyak membaca buku motivasi. Dr mendoakan kesejahteraan hidup adik.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...