nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Sunday 11 November 2012

Sering disakiti wanita



BENARKAH cinta jika dikejar akan lari. Cinta jika tidak dicari akan datang. Saya bertanya soalan ini kerana cinta saya sering lari kerana setiap perkenalan yang berputik dan berkembang kepada percintaan akan akhirnya berterbangan bagai debu.
Bunga-bunga cinta indah berakhir dengan kelayuan yang saya sendiri merasa kesedihannya.

Bermula dengan percintaan pertama hingga kepada yang terakhir, sindrom cinta malang adalah nasib saya. Lalu, saya letakkan diri sebagai lelaki yang sangat malang kerana sering saja disakiti wanita.

Cinta pertama saya kecundang dan ini membawa kepada kegagalan pada cinta-cinta seterusnya.

Terus terang saya katakan, bukannya saya tidak kacak. Saya pernah dipuji beberapa wanita atas rupa paras saya. Bentuk badan saya juga tidak ada masalah. Tapi saya masih lagi menghadapi masalah apabila tidak kekal lama dalam percintaan.

Kegagalan demi kegagalan bercinta membuatkan saya merasa kecewa dan kosong. Bantulah saya kerana saya benar-benar buntu sekarang.

Jejaka Sedih
Tambun, Perak.




BANYAK kata-kata mengenai cinta. Antaranya cinta sering kali akan lari bila kita mencari tapi cinta jua sering kali dibiarkan pergi bila ia menghampiri.

Namun, cinta itu tidak akan datang jika tidak dicari, dan tidak akan dapat jika tidak memberi. Sekiranya adik ingin sebuah percintaan, carilah ia.
Sekiranya ingin cinta yang benar, apabila bertemu dan membuat pilihan yang tepat.

Keinginan setiap manusia untuk dicintai, dipunyai dan dihargai nampaknya berlaku kepada adik. Merasa kosong dan kecewa apabila tidak mendapat kasih sayang, cinta dan rasa dipunyai adalah fitrah manusia.

Dr empati dengan adik kerana jika hidup tidak memakai cinta ia sama seperti bumi kehilangan matahari. Sikap orang bercinta. Menyakiti dan disakiti. Namun, dalam masalah ini, adik sering disakiti wanita. Tentunya ada sebab tersendiri mengapa perkenalan adik tidak kekal lama.

Dr tidak tahu jenis cinta yang adik alami tapi ia tidak seperti cinta lain yang mengasyikkan. Jika ia cinta monyet, cinta itu cinta keanak-anakan. Jika cinta adik cinta materialistik, cinta adik merosak jiwa manakala cinta palsu adik sekadar cinta basa basi.

Cinta yang paling mengasyikkan ialah cinta sejati iaitu cinta yang akan menghasilkan cita-cita yang luhur dan abadi.

Rupa paras dan bentuk badan bukan penentu kepada kekalnya cinta atau tidak.
Kekalnya percintaan lebih kepada cinta sejati yang berlaku apabila perasaan cinta diimbangi dengan penghargaan dan akal. Pada peringkat cinta sejati ini, penilaian terhadap individu yang dicintai itu menjadi lebih objektif dan rasional.

Pasangan sedia menerima seadanya dan mempunyai banyak persamaan dari segi nilai dan idea. Faktor ini menyokong dan menyebabkan perhubungan yang baik akan berlaku dalam jangka masa panjang.

Dr harapkan adik akan menemui cinta sejati satu hari nanti. Apabila cinta benar sudah ditemui, tiada lagi wanita yang akan menyakiti hati adik.

Pada saat itu, adik akan bertemu dengan gadis yang dapat memahami dan mencintai dan tidak akan sekali-kali mengecewakan adik. Ketika inilah adik menjadi lelaki yang paling bertuah, tidak lagi malang seperti adik sangkakan.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...