nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 13 November 2012

Pemandu pelancong jalanan

SEPERTI kebanyakan warga London yang mencari rezeki dengan membawa pelancong mengenali kota metropolitan itu, Viv memberitahu kumpulan pelawat yang dibawanya bahawa sebahagian besar tenaga kerja dalam proses pembinaan semula Jambatan Waterloo selepas Perang Dunia Kedua datangnya daripada kudrat wanita.

Namun Viv, 55, bukan pemandu pelancong biasa. Dia tidak mempunyai rumah manakala tangga di bawah jambatan itu yang berhadapan dengan pemandangan indah bangunan Parlimen dan gereja St Paul, pernah menjadi rumahnya satu ketika dulu.

“Saya tinggal di situ selama dua bulan. Saya tidur beralaskan papan, akhbar dan kotak,” kata Viv, 55, tanpa berselindung kepada pelancong.

Dengan raut muka cengkung, beberapa batang gigi yang sudah ‘gugur’ dan memakai baju hujan kuning air yang ditemuinya di tepi jalan, wanita kelahiran Norway itu membawa pelancong mendekati ibu kota Britain daripada kaca mata penduduk seperti dirinya.

Viv adalah antara enam pemandu pelancong tidak berumah yang bekerja dengan Unseen Tours - satu skim dilancarkan oleh rangkaian kerja sukarelawan Sock Mob - sekali-sekala menyulamkan kisah hidupnya yang tinggal di jalanan dengan maklumat mengenai kota London sepanjang lawatan berjalan kaki bersama pelancong.

Wanita yang hanya mahu dikenali dengan nama pendeknya saja itu memulakan sesi lawatannya di Victoria Embankment Gardens di sisi Sungai Thames.

Kawasan sekitar berdirinya patung tokoh usahawan abad ke-19, William Edward Forster yang memandang ke arah taman indah itu yang juga pernah menjadi ‘rumah’ Viv untuk empat musim panas.

“Dulu, itulah bangku saya (melelapkan mata). Anda akan selamat jika bermalam di taman kerana taman ditutup pada waktu malam. Anda tidak akan diserang oleh orang ramai,” katanya sambil menuding jari ke arah satu keluarga yang leka menikmati sandwic tidak jauh dari situ.

Gelandangan di London tahu di mana ada ‘bangku’ kosong untuk bermalam berdasarkan cerita yang dikongsi sesama mereka, tambah Viv.

Percakapannya agak cepat dan dahinya mula berpeluh, menandakan pemandu pelancong amatur itu berasa gemuruh. Dari situ, mereka berjalan menuju ke tempat di mana Charles Dickens berendam, seterusnya ke pondok teh yang menjadi tumpuan pemandu teksi selama lebih satu abad dan akhirnya menuju ke Hotel Savoy seraya memberitahu kisah kucing kayu yang duduk di ruang legar hotel berkenaan.

Patung kucing kayu setinggi 0.9 meter (tiga kaki) bernama Kaspar duduk megah di situ. Patung ini dibawa ke situ untuk menyertai jamuan makan malam yang dihadiri 13 orang supaya menjadikan jumlahnya genap kepada 14. Angka 13 dipercayai sebagai angka malang.

Tanpa berhenti, Viv kemudian menambah bahawa seramai 200 orang pernah bermalam di pintu gerbang berhampiran Savoy sehingga menyebabkan pihak berkuasa tempatan memasang pagar di kawasan itu dan menguncinya pada waktu malam untuk mengelakkan ia menjadi rumah persinggahan gelandangan.

“Pada satu malam ada seorang wanita tua menyertai kami. Sekitar jam dua atau tiga pagi, ada orang yang nakal cuba membakarnya.

“Mereka mencurahkan minyak petrol ke atas beg tidur wanita itu dan cuba menyalakan api. Mujur ketika itu ada beberapa orang yang terjaga akibat terdengar bunyi bising dan beramai-ramai menghalau mereka,” kata Viv.
Kumpulan pelancong yang tercengang dengan kisah dan pengalaman Viv hidup sebagai gelandangan memberanikan diri bertanya beberapa soalan.

“Hotel pula macam mana? Tidakkah hotel mempunyai banyak lebihan makanan yang tidak habis dimakan?” soal salah seorang pelancong.

“Hotel adalah untuk orang kaya,” kata Viv dengan jujur tanpa sebarang nada benci atau marah.

Paul van Beusekom, pereka basikal berusia 32 tahun dari Belanda, akhirnya membuka mulut untuk bertanya soalan yang lebih bersifat peribadi seperti bagaimana Viv menjadi gelandangan.

“Semuanya bermula selepas rumah tangga saya berkecai. Saya keluar meninggalkan rumah dan anak-anak,” jawabnya ringkas, jelas menunjukkan dia tidak bersedia menyelak kembali halaman yang menyimpan kisah silamnya. Dengan jawapan yang singkat itu, pelancong kembali senyap, tidak tahu apa yang boleh ditanya.

Sebenarnya Viv menjadi gelandangan sejak 1997, berpindah dari satu taman ke taman lain atau di bawah jambatan, apabila dia tidak lagi boleh melelapkan mata dengan menumpang tidur di sofa di rumah kawan-kawan dan saudara-mara.

Sebagai pemandu pelancong, dia berjaya memperoleh STG30 (RM147) seminggu. Unseen Tour membayarnya 60 peratus daripada keseluruhan jumlah yang dikutip pada setiap lawatan - yang mengenakan tiket berharga STG10 (RM49) - selain memberi STG40 (RM196) sebulan untuk pengangkutan dan STG20 (RM98) untuk menampung bil telefonnya.

“Jumlahnya memang sangat sedikit tetapi berbaloi,” katanya lagi.
Selain itu, Unseen Tour turut memberi satu tugas tambahan kepada Viv supaya dia sentiasa sibuk dan tidak terlalu memikirkan masalahnya.

“Saya ada kerja lain untuk dilakukan selain menjual majalah Big,” sambungnya sambil menunjukkan majalah mingguan yang diagihkan oleh gelandangan sepertinya.
Pada pelancong, lawatan ini menunjukkan bahawa bukan semua gelandangan menghabiskan masa dengan tidur, melepak dan berputus asa, kata salah seorang pelancong, Angie Hester, 56 yang bekerja sebagai anggota bomba.

“Mereka ada kisah tersendiri yang hendak diceritakan,” kata Hester.
Pendapat ini disokong Van Beusekom yang berkata, kisah hidup Viv lebih menarik daripada maklumat mengenai kota London yang disampaikannya.

“Memang kadangkala gelandangan malu hendak bercerita bagaimana atau mengapa hidup mereka jadi begitu. Tetapi sepanjang lawatan ini, saya rasa lebih selesa untuk bertanya pelbagai soalan. Bunyinya amat mudah untuk kita jadi gelandangan dan ia boleh berlaku pada sesiapa saja. Ngeri rasanya untuk memikirkan hal ini jika ia berlaku pada kita,” kata Van Beusekom.

Seorang rakan Van Beusekom menyelitkan beberapa keping duit siling ke tangan Viv sebelum mereka berpisah dan menuju ke haluan masing-masing. - AFP

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...