nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 13 November 2012

10,000 langkah setiap hari

WALAUPUN suasana mendung di pagi Ahad lalu membuatkan ramai yang secara automatik menarik semula selimut meneruskan tidur, ada juga yang mengambil peluang hujung minggu itu untuk melakukan aktiviti menyihatkan berbanding berehat di atas tilam saja.

Mungkin jam 6.30 pagi masih terlalu awal untuk bangkit daripada tidur apatah lagi perlu berjalan sejauh lima kilometer, namun ia bukan penghalang buat Christy Lim menyertai aktiviti jalan kaki yang dianjurkan Hospital Putrajaya dengan kerjasama Boehringer Ingelheim dan Eli Lilly.

“Sejak menyertai Persatuan Perfect Fit, saya disarankan melakukan 10,000 langkah setiap hari dan memandangkan hari biasa sibuk dengan tugasan kerja, misi itu tidak tercapai.

“Justeru, saya mengambil masa di hujung minggu bersama suami (Vincent Tan) yang banyak memberi sokongan melakukan aktiviti ini bagi mengekalkan kesihatan.

“Selain suami, rakan persatuan terbabit juga mengikuti aktiviti seperti ini jika mempunyai masa lapang,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan acara jalan kaki berkenaan.

Jika sebelum ini dia jarang memikirkan soal kesihatan kerana tugasan kerja yang banyak, namun sejak diberi pendedahan mengenainya topik berkenaan, dia semakin mementingkan aspek penjagaan tubuh badan.

Disebabkan suaminya banyak menyertai acara sedemikian, dia juga secara tidak langsung terpengaruh mengikutinya apabila mempunyai masa lapang.

“Setiap hari saya menggunakan pedometer bagi melihat jumlah langkah. Banyak cara yang dilakukan seperti meletakkan kenderaan jauh dari lokasi yang ingin dituju bagi membantu mencapai misi berkenaan.

“Jika setiap hari anggaran berjalan kaki sehingga 3,000 hingga 4,000 langkah, tetapi pada hari ini saya sangat gembira kerana berjaya melakukan 7,000 langkah,” ujarnya yang teruja dengan pencapaiannya pada hari acara jalan kaki berkenaan.

Christy adalah antara 2,000 peserta yang mengikuti acara Jalan Kaki Diabetes Global Putrajaya - Berjalan Seiring Teman yang diadakan sempena Hari Diebetes Sedunia.

Turut hadir pada acara berkenaan, Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Dr Aseh Che Mat, yang menerangkan mengenai usaha kementerian untuk mengekang wabak diabetes di Malaysia.

Acara yang diadakan di Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya itu turut menarik minat Rohaizah Jasin untuk membawa anaknya, Noorasyikin Abdul Kadir, 11, menyertai aktiviti berkenaan.

“Tahun ini sudah tiga kali saya menyertai acara jalan kaki yang dianjurkan di Putrajaya dan biasanya kami mengikutinya bersama seisi keluarga jika masing-masing mempunyai masa terluang.

“Sejak kecil, saya menggalakkan anak menjaga kesihatan yang bukan saja mengambil berat mengenai makanan, tetapi juga senaman,” katanya yang menyertai acara seumpama itu sejak 2000 lagi.

Jelasnya, ia sesuai dengan tema program berkenaan yang dilakukan sebagai usaha menggalakkan orang ramai memainkan peranan aktif mendedahkan ahli keluarga mereka mengenai kepentingan cara hidup yang lebih sihat.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...