nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 13 November 2012

Bukan lagi sakit orang berumur

BINCANG...(dari kiri) Dr Norimah, Mary Easaw dan Cher.
BINCANG...(dari kiri) Dr Norimah, Mary Easaw dan Cher
 
DULU, kebanyakan individu yang menjalani pembedahan pintasan jantung adalah mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas. Tetapi kini senarionya berbeza apabila sudah semakin ramai lelaki dan wanita yang baru berumur 30-an juga berhadapan masalah itu.

Jujurnya, kenyataan disuarakan oleh Ketua Pemakanan Bahagian Dietetik dan Makanan, Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw, itu memeranjatkan penulis kerana ia berdasarkan fakta dan pengalaman sebenar yang dilaluinya sendiri sepanjang bertugas di institusi terbabit.

Manakan tidak, usia 30-an boleh dikategorikan dalam golongan muda. Apatah lagi apabila memikirkan individu yang membuat pembedahan pintasan jantung itu seorang ayah atau ibu kepada anak kecil.

Tidak cukup dengan itu, bertambah takut penulis selepas mengetahui rawatan untuk memulihkan sakit jantung seperti ini tidak boleh bertahan selama-lamanya.
Ia tidak sama dengan yang asli kerana masalah ini mungkin akan berlaku sekali lagi seperti jantung tersumbat semula 10 atau 15 tahun kemudian.
Ternyata, penyakit jantung yang selalunya digelar sebagai penyakit orang tua kini semakin banyak dialami orang muda seawal usia 30-an.

Selain itu, ramai juga wanita beranggapan sakit jantung penyakit lelaki, jadi mereka tidak menyangka diserang penyakit itu sehingga lambat mendapatkan rawatan. Apabila penyakit disedari, ia lebih susah dirawat.

Terdapat banyak faktor yang mendedahkan seseorang kepada penyakit berkenaan dan antaranya ialah merokok (risiko paling tinggi), diabetes, kolesterol dan tekanan darah tinggi.

Walaupun ia klise dan kita sudah banyak kali membaca atau mendengarnya di media massa, hal ini perlu diberitahu dengan kerap kerana ramai yang cepat lupa.

Tahu tetapi buat tidak faham, malas ambil tahu, bersikap ‘lantaklah’ dan mempunyai persepsi ‘tidak mungkin aku akan kena penyakit jantung sebab masih muda’, adalah antara budaya masyarakat kita walaupun tahu penyakit ini boleh menyebabkan kematian.

Wujudkanlah apa saja kempen kesedaran, pemahaman mereka terhadap bahaya penyakit jantung serta kronik yang lain masih di tahap rendah.

Mencegah sememangnya lebih baik daripada merawat. Gejala penyakit ini boleh dihindari dengan sebaik-baiknya makan pelbagai makanan daripada setiap kumpulan pemakanan setiap hari pada kadar sederhana. Makanlah dengan sempurna, berhenti makan apabila rasa mencukupi dan makan mengikut masa.

“Orang ramai masih tidak kisah mengenai kesihatan atau mempunyai pandangan mereka boleh memulihkan kesihatan itu di kemudian hari. Tetapi, apa yang pasti mereka silap kerana jika masyarakat kita berterusan mengamalkan corak makan seperti sekarang, semakin sukar untuk mengubah keadaan kelak.

“Satu lagi kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat adalah mempunyai dua persepsi mengenai makanan iaitu makanan baik dan tidak baik.

“Ingin saya tegaskan, tiada istilah makanan baik dan tidak baik. Ini kerana, semua jenis makanan boleh dimasukkan dalam senarai makanan seimbang selagi ia diambil secara sederhana.

“Bahkan makanan yang berkalori tinggi juga boleh diambil dengan syarat bersederhana iaitu sekali-sekala dan perlu diseimbangkan dengan senaman sekurang-kurangnya 30 minit tiga hingga lima kali seminggu,” katanya yang ditemui di Forum Kesihatan anjuran Nestle, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Nestle Malaysia Berhad, Peter R Vogt; Pengurus Kesihatan Korporatnya, Cher Siew Wei dan Ketua Jaminan Kualiti dan Pensyarah, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Norimah A Karim.

Menurut Mary, makanan seperti roti canai, nasi lemak dan mi goreng yang dianggap makanan berat dan berisiko untuk peningkatan berat badan harus diambil dalam kuantiti yang berpada.

Bahagikan pinggan kepada beberapa bahagian dan setiap kali mahu makan harus diingat untuk lengkapkan isi pinggan itu dengan asas nutrisi yang diperlukan badan seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral.

Bahan cecair atau air yang diminum bertindak sebagai ‘tsunami’ manakala pengambilan serat pula berfungsi seperti penyapu dan pembersih hampagas dalam badan yang akan membersihkan tubuh anda secara semula jadi setiap hari.

Sebab itu, orang ramai dinasihatkan supaya jangan sesekali melangkau masa makan walaupun hanya sarapan. Ini kerana setiap sesi makan bertujuan membekalkan tenaga kepada badan di samping memastikan tubuh kekal cergas.

“Pengambilan makanan yang sempurna dan meluangkan masa melakukan senaman menentukan kesihatan jantung yang bekerja mengepam darah ke seluruh anggota badan.

“Mereka yang mahu berdiet, anda juga boleh terus kelihatan cantik tanpa melangkau waktu makan atau mengamalkan beberapa cara diet seperti diet protein.

“Caranya, makan dengan teratur, lengkap nutrisi, lakukan senaman dan pemeriksaan doktor untuk mengetahui tahap kesihatan diri anda,” katanya.

Tambahnya, gaya hidup generasi pada zaman ini sememangnya berbeza daripada dulu. Masing-masing sibuk dengan urusan peribadi atau kerja yang menyebabkan mereka sentiasa berada dalam keadaan cepat dan tergesa-gesa.

Selain itu, tidak sempat, tiada masa, tersekat dalam kesesakan jalan raya atau sibuk dengan kerja turut tersenarai sebagai faktor penyumbang masyarakat melangkau waktu makan dan mempunyai tabiat makan yang tidak elok.

Tabiat makan yang tidak elok berpunca daripada pengambilan terlalu banyak atau terlalu sedikit makanan dan minuman berkarbonat serta alkohol selain meninggalkan aktiviti kecergasan.

“Sebagai individu yang berkerjaya, berilmu dan mengetahui keadaan tubuh sendiri, seharusnya anda bijak membahagikan masa.

“Contohnya, sekiranya pekerjaan memerlukan anda selalu bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk temujanji bersama pelanggan, anda boleh buat jadual tertentu. Senaraikan lokasi pertemuan, buat kajian restoran atau gerai terdekat yang boleh dikunjungi supaya anda tidak terlepas waktu makan tengah hari dan malam.

“Keadaan jalan di ibu kota selalu sesak, justeru, anda boleh bersedia dengan makanan tambahan atau snek berkhasiat di dalam beg untuk dimakan sekiranya tersekat di dalam kesesakan jalan raya,” katanya.

Menurutnya, fakta rakyat Malaysia memiliki berat badan berlebihan nyata membimbangkan kerana trend itu membawa kepada peningkatan penyakit berkaitan dengan gaya hidup seperti kencing manis, barah, strok dan penyakit jantung.

Orang ramai lebih banyak mengambil makanan berlemak, berkalori tinggi, sering makan di luar dan kurang bersenam. Malah, pengambilan kalori daripada makanan berlemak meningkat berbanding karbohidrat kompleks (sumber utama serat dalam pemakanan).

“Tanyalah pada sesiapa saja, di negara ini kita memilih makanan berdasarkan rasa dan bukan nilai nutrisi. Jangan bohong pada diri sendiri.

“Memang bukan mudah untuk mengubah kebiasaan tabiat pemakanan kita tetapi sesuatu harus dilakukan. Jika tidak tahu bagaimana mahu memulakan langkah itu, jumpalah doktor atau pakar pemakanan bertauliah untuk mendapatkan nasihat.

“Selepas berusaha, cuba dan berdisiplin pada diri sendiri untuk mematuhi cara itu. Tidak ada jalan mudah kepada sesuatu perubahan dan jangan sesekali cepat putus asa demi kesihatan diri yang berpanjangan,” katanya.

Sementara itu, Cher berkata, orang ramai juga boleh memulakan perubahan dengan membaca label makanan atau panel maklumat pemakanan (NIP). Jadual yang terdapat pada label makanan berpaket itu menunjukkan jumlah tenaga, karbohidrat, protein dan lemak dalam produk makanan.

Label berkenaan menggalakkan penggunaan prinsip pemakanan yang betul dalam pemilihan dan penyediaan sajian makanan untuk keluarga. Pemahaman mengenai maklumat ini akan membantu kita membuat pilihan makanan yang lebih berkhasiat untuk diri dan keluarga.

Seterusnya, ia membantu memenuhi keperluan pemakanan di samping mengehadkan
pengambilan lemak dan gula yang berlebihan dalam diet. Sentiasa amalkan membaca label pemakanan walaupun kita pernah membeli makanan yang sama sebelum ini, kerana formula dan kaedah pemprosesan makanan mungkin sudah berubah seiring dengan masa.

“Seperti di Nestle, semua produk kami mempunyai ikon pek hadapan atau FOP untuk tenaga iaitu label di depan pek yang menunjukkan jumlah tenaga (dalam kcal) yang terdapat dalam sesuatu hidangan.

“Ia juga menunjukkan peratusan jumlah tenaga hidangan terbabit daripada keperluan kalori harian (2,000 kcal) yang disyorkan untuk seorang individu.
Ikon ini berguna kerana ia membantu kita mengawal pengambilan tenaga dan memudahkan kita merancang diet yang seimbang dan sihat.

“Ikon ini boleh membantu dalam merancang diet yang lebih seimbang kerana secara purata–nya, seorang individu memerlukan 2,000 kcal sehari. Contohnya, untuk minuman yogurt Bliss, ia mengandungi 92 kcal, kira-kira lima peratus daripada keperluan tenaga harian yang disyorkan.

Jadi untuk memenuhi 100 peratus keperluan tenaga, anda perlu mengambil makanan yang terdiri daripada pelbagai jenis dalam sehari,” katanya.

Keperluan tenaga berbeza antara individu dan ia bergantung kepada umur, jantina serta aktiviti yang dilakukan sepanjang hari. Ini bermakna, ia berbeza antara lelaki dan wanita, serta mereka yang lebih aktif memerlukan lebih tenaga berbanding mereka yang kurang aktif.

Selain itu, kanak-kanak berumur lima hingga 10 tahun juga mung–kin memerlukan kurang tenaga berbanding orang dewasa.

Sebaik-baiknya rancang peng–ambilan tenaga seharian kita supaya tidak melebihi 2,000 kalori (kcal). Apa yang penting, kita harus sentiasa peka mengenai apa yang dimakan dan pastikannya seimbang sepanjang hari.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...