nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 13 November 2012

Cegah penularan bakteria, virus

CARA BETUL...tangan perlu dicuci sekurang-kurangnya selama 15 saat dengan sabun dan air.
CARA BETUL...tangan perlu dicuci sekurang-kurangnya selama 15 saat dengan sabun dan air. 
 
“EH, hendak ambil kuih tu, abang dah cuci tangan?” soal rakan penulis kepada anak sulungnya yang baru berusia sembilan tahun pada perjumpaan santai minum petang di rumahnya.
“Jangan lupa ye...,” sambungnya sambil tersenyum. Eh, jangan lupa apa? Rupanya ini adalah peringatan supaya anaknya itu menyanyi lagu kegemarannya ketika mencuci tangan. Tujuannya supaya anaknya itu mencuci tangan mengikut cara yang sudah diajar. Malah dia turut menampal poster kecil yang dimuat turun dari Internet di singki dan bilik mandi sebagai rujukan anak-anaknya.

Tangan kita sebenarnya menjadi ‘pengangkutan’ paling cekap untuk bakteria dan virus berpindah kerana apabila kita menyentuh muka terutama mata, hidung atau mulut, organisma halus ini akan terus sampai ke ‘pintu masuk’ badan.

Inisiatif pertama Hari Mencuci Tangan Global bermula pada Rabu, 15 Oktober 2008 yang ditetapkan pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada asalnya ia diilhamkan untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah tetapi kini sasarannya lebih meluas merangkumi semua peringkat umur.

Kini pada 15 Oktober setiap tahun, lebih 200 juta orang di hampir 100 negara di seluruh dunia terbabit dalam sambutan yang menekankan kepentingan penjagaan kebersihan tangan.

Mengapa perlu diadakan sambutan secara global (seluruh dunia) hanya untuk mencuci tangan? Tidakkah semua orang tahu caranya kerana sejak kecil sudah diajar? Ini hanya sangkaan kita kerana hakikatnya ramai masih kurang arif kaedah mencuci tangan yang betul.

Namun pengetahuan mungkin sudah bertambah berikutan adanya pelbagai kempen kesedaran. Malah ketika tercetusnya jangkitan influenza A (H1N1), boleh dikatakan semua orang berwaspada dan sangat mengambil berat mengenai kebersihan tangan.

Bagaimanapun, mengetahui dan mengamalkannya adalah dua cerita berbeza kerana ramai tahu tetapi memandangnya sebagai perkara remeh. Tahukah anda menjaga kebersihan tangan dengan mencucinya menggunakan sabun dan air bersih bukan saja cara paling mudah dan murah tetapi amat berkesan untuk mencegah penularan penyakit berjangkit?

Kajian menunjukkan kadar masalah cirit-birit di kalangan kanak-kanak yang tinggal di rumah yang mengamalkan kaedah pencucian tangan dengan baik 50 peratus lebih rendah berbanding rakan sebaya yang dibesarkan tanpa menitikberatkan soal kebersihan tangan.

Mencuci tangan dikatakan lebih berkesan dalam pencegahan penyakit berbanding vaksin. Malah ada yang menganggap mencuci tangan umpama vaksin buatan sendiri kepada setiap individu.

Kuman (bakteria, virus dan fungus) boleh dipindahkan melalui banyak cara antaranya:

  • Menyentuh tangan yang kotor.
  • Menyentuh permukaan kotor.
  • Menukar lampin bayi.
  • Melalui makanan dan minuman tercemar.
  • Melalui titisan cecair mulut dan hidung ketika batuk atau bersin.
  • Melalui permukaan yang tercemar.
  • Sentuhan dengan cecair badan individu yang sakit.


    Kanak-kanak adalah ejen yang sangat cekap untuk menyebarkan jangkitan. Apabila tangan terkena permukaan tercemar, tanpa disedari mereka boleh dijangkiti dengan hanya menyentuh mata, hidung dan mulut. Biasanya selepas kanak-kanak dijangkiti, ahli keluarga juga akan turut mendapat jangkitan yang sama.

    Inilah sebabnya kalau anak anda batuk, selesema dan demam, jangan hantar si kecil ke pusat jagaan harian. Anda hanya akan membahayakan kanak-kanak lain.
    Ambillah cuti untuk menjaga anak di rumah. Jangan pentingkan diri kerana tindakan menghantar anak yang menghidap selesema ke pusat jagaan seolah-olah membuka pintu seluas-luasnya untuk penyakit menjangkiti semua kanak-kanak comel di pusat berkenaan.

    Ada pakar menganggap mencuci tangan dengan sabun dan air bersih adalah vaksin yang boleh mencegah jangkitan. Mengapa?

    Najis manusia adalah sumber utama kepada kuman yang menyebabkan cirit-birit. Ia adalah ‘pembekal’ kepada jangkitan gastro usus yang lazim seperti syigelosis (jangkitan akut bakteria pada lapisan dalam usus), taun dan demam kepialu. Satu gram najis manusia dianggarkan boleh mengandungi 10 juta virus dan satu juta bakteria!

    Virus dan bakteria berbahaya ini boleh berpindah dan menjangkiti seseorang melalui pelbagai cara. Jadi dengan mencuci tangan selepas keluar dari tandas atau menukar lampin bayi menggunakan sabun dan air bersih boleh mencegah perpindahan mikro organisma yang tidak diingini ini khususnya kepada orang tersayang, kanak-kanak kecil di bawah usia lima tahun dan orang tua.

    Selain itu, mencuci tangan juga menjadi kaedah penting dalam pencegahan penularan jangkitan penyakit saluran pernafasan seperti selesema. Malah ia juga menjadi benteng pertahanan bagi penyakit yang lebih serius contohnya meningitis, bronkiolitis, influenza dan hepatitis A.

    Malah Ketua Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr Christopher Lee pernah menyebut, jika kita sakit dan ditahan di hospital, kita berhak meminta petugas perubatan seperti doktor dan jururawat yang hendak merawat kita untuk mencuci tangan mereka terlebih dulu.

    Ini kerana tangan petugas juga boleh tercemar melalui pelbagai cara termasuklah ketika mengambil darah pesakit, memeriksa tekanan darah atau nadi pesakit, membantu pesakit bergerak, menyentuh pakaian atau cadar tilam pesakit, memegang peralatan dalam wad termasuklah katil, lampu meja mahupun pam intravenus (bagi memasukkan cecair ke dalam salur darah).

    Jurnal Perubatan New England 2006 melaporkan ramai doktor dan jururawat ‘terlupa’ untuk mencuci tangan mereka sebelum menyentuh pesakit. Walaupun kajian ini dilakukan di luar negara tetapi tidak mustahil turut berlaku di kalangan kakitangan perubatan di sini. Jadi, sebagai pesakit, kita berhak meminta doktor atau jururawat untuk membersihkan tangan mereka terlebih dulu sebelum memberi rawatan atau membuat pemeriksaan terhadap pesakit.

    Dalam Soal Selidik Kebersihan Antarabangsa 2009 untuk mengetahui sikap penduduk Malaysia terhadap kebersihan; 31 peratus responden berkata, mereka mencuci tangan selama lima saat selepas keluar dari tandas. Responden lain memberitahu mereka mencuci tangan selama 10 saat (34 peratus); 20 saat (15 peratus) dan 60 saat (18 peratus).

    Lima saat adalah tempoh yang sangat singkat, besar kemungkinan mereka
    hanya membasahkan tangan saja dan berasakan ia sudah bersih. Seperti
    yang sering diulang, tangan perlu dicuci sekurang-kurangnya selama 15 saat dengan sabun dan air. Murid sekolah di Hong Kong digalakkan menyanyi lagu tertentu ketika mencuci tangan bagi memastikan tangan mereka dicuci dengan betul.


    Bila perlu cuci tangan?

    Bila-bila dirasakan perlu, terutama apabila tangan kelihatan kotor. Namun sebagai panduan umum, cucilah tangan apabila berada dalam keadaan seperti yang disenarai di bawah:
  • Sebelum, ketika dan selepas menyediakan makanan.
  • Sebelum makan.
  • Apabila tangan terkena darah.
  • Sebelum dan selepas menyentuh orang sakit.
  • Selepas menggunakan tandas.
  • Selepas menukar lampin atau membersihkan kanak-kanak yang buang air.
  • Selepas kita batuk, bersin atau membuang hingus.
  • Selepas menyentuh haiwan atau membersihkan najis haiwan.
  • Selepas mengendalikan makanan haiwan peliharaan.
  • Selepas mengendalikan sampah.
  • Selepas menyentuh permukaan yang kerap disentuh seperti susur tangan dan tombol pintu.
  • Sebelum memberus gigi.
  • Selepas tidur dan selepas bangun tidur.


    Cara mencuci tangan
  • Basahkan tangan dan lumurkan dengan sabun.
  • Gosok kedua-dua tangan selama sekurang-kurangnya 15 saat dengan tumpuan kepada tapak tangan, celah jari, kuku, bahagian belakang dan pergelangan tangan.
  • Bilas dengan air bersih dan lap hingga kering.


    Perlukah menggunakan air suam untuk mencuci tangan? Tidak perlu kerana air hangat tidak cukup panas untuk membunuh bakteria. Kajian menunjukkan penggunaan air suam tidak memberi kesan lebih baik daripada air pada suhu bilik dalam mengurangkan jumlah bakteria di tangan.

    Bakteria membiak dengan lebih cepat pada suhu badan (37∞C). Bagaimanapun, jika tangan anda berminyak, air suam dan sabun dapat membersihkan tangan dengan lebih baik.

    Perlukah menggunakan sabun antibakteria? Juga tidak perlu kerana sabun mandi yang biasa sudah cukup dan ia boleh membersihkan tangan sebaik sabun antibakteria. Namun, tidak salah jika mahu menggunakan sabun antibakteria, cuma ada sesetengah pihak bimbang kekerapan menggunakan sabun antibakteria boleh menimbulkan masalah berlakunya kerintangan bakteria iaitu keadaan
    di mana kita memerlukan sabun yang lebih kuat untuk membunuh bakteria.

    Perkara penting yang perlu anda ingat selepas mencuci tangan ialah mengelap tangan hingga kering sama ada menggunakan kertas tisu atau tuala bersih.
    Penggunaan tisu didapati lebih baik daripada mesin pengering tangan seperti yang tersedia di kebanyakan pusat komersial.

    Kajian Universiti Westminster London pada 2008 mendapati jumlah bakteria pada tangan yang dikeringkan dengan mesin pengering (menggunakan udara panas) meningkat 254 peratus pada tapak tangan dan 194 peratus di hujung jari).

    Tangan yang dikeringkan dengan mesin pengering jet udara (lebih moden) didapati menunjukkan peningkatan jumlah bakteria sebanyak 15 peratus pada tapak tangan dan 42 peratus di hujung jari. Sebaliknya, tangan yang dikeringkan dengan tuala kertas menunjukkan pengurangan jumlah bakteria sehingga 77 dan 76 peratus pada tapak tangan dan hujung jari.


    Bagaimana jika jauh dari sumber air bersih dan tiada sabun?

    Walaupun air dan sabun adalah kaedah terbaik membersihkan tangan, tetapi jika tiada, kita boleh menggunakan cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol (mengandungi 60 peratus alkohol). Jika tangan kotor dan jauh dari sumber air, lap dengan tisu lembap dan gunakan cecair pembasmi kuman. Untuk lebih mudah, bawalah tisu lembap yang dilengkapi dengan ciri antibakteria ke mana saja kita pergi.

    Ada yang bertanya, adakah kandungan alkohol dan bahan antikuman itu mendatangkan kesan sampingan jika seseorang itu makan sejurus selepas itu?
    Jawapannya tidak. Ia tidak berbahaya kerana alkohol dalam cecair pembasmi kuman ini meruap (sejat) dalam 20 hingga 30 saat.

    Selain itu, penggunaan tisu lembap juga pilihan baik (kini sudah ada tisu lembap antibakteria) terutama ketika anda jauh dari punca air dan sabun. Namun begitu, pastikan tangan anda benar-benar kering sebelum menyentuh orang lain.


    Cara menggunakan cecair pembersih tangan antibakteria:
  • Letak beberapa titis cecair pembersih di tapak tangan kiri.
  • Rapatkan kelima-lima jari kanan dan gosokkan hujung jari (supaya ia mengenai kuku).
  • Dengan segera gosokkan kedua-dua belah tangan (depan, belakang dan pergelangan tangan) sehingga cecair pembersih kering.
  • Ulang untuk tangan sebelah lagi. Mulakan kerja selepas tangan benar-benar kering.


    Kebersihan kuku

    Perbincangan mengenai kebersihan tangan tidak lengkap jika tidak menyentuh mengenai kuku. Semua orang tahu kuku yang panjang sangat mudah menyimpan kekotoran dan ia boleh menjadi punca sesetengah jangkitan.
  • Pastikan kuku dipotong pendek dan kemas.
  • Gosok bahagian bawah kuku dengan sabun dan air (atau gunakan berus lembut) setiap kali mencuci tangan.
  • Bersihkan alat merias kuku termasuklah pemotong kuku terutama jika ia turut digunakan orang lain.
  • Jika anda mendapatkan perkhidmatan merias kuku di salun, pastikan semua peralatan disteril terlebih dulu.
  • Elakkan menggigit kuku.
  • Elak memotong kutikel kerana ia bertindak sebagai benteng mencegah jangkitan.
  • Jangan gigit kuku yang terkopek, sebaliknya gunakan pemotong kuku yang bersih.

    Jadi sempena Hari Mencuci Tangan yang disambut pada setiap 15 Oktober , marilah kita bersama-sama memberikan ‘vaksin’ paling mudah, murah dan terbaik kepada diri sendiri dengan mengamalkan kaedah mencuci tangan yang
    betul demi kebaikan semua pihak terutama orang tersayang.

  • No comments:

    Post a Comment

    nuffnang

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...