nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 13 November 2012

Dandong penghubung but bola

PENGELUAR but bola sepak terkemuka, Adidas mungkin masih boleh tersenyum senang dengan keteguhan syarikatnya, namun kini dalam diam ada usaha niaga menggunakan wang Korea Selatan dan tenaga kerja Korea Utara di kilang yang terletak di Dandong, salah sebuah bandar di China untuk mencari tempat dalam arena sukan paling digemari itu.

Kilang sementara di kampung yang berada di pinggir bandar Dandong itu menjadi jambatan penghubung antara China dan Korea Utara di mana 20 warga Korea Utara bekerja sebagai tukang jahit kasut bola dan mengimpikan but buatan mereka boleh memasuki pasaran dunia.

Kilang berkenaan, diselia beberapa pengurus yang memakai lencana dengan gambar pemimpin Korea Utara, Kim Il-sung, menjual hampir 10,000 pasang but bola pada harga RM300 sepasang sejak ia memulakan operasi sepenuhnya pada Julai lalu. Separuh daripada pengurus yang bertugas di situ adalah warga Korea Selatan.

Korea Selatan sendiri menerima 100 pasang but sebulan daripada kilang berkenaan sebagai bayaran sahamnya, bukan dalam bentuk wang tunai seperti yang biasa dilakukan kebanyakan syarikat.

“But boleh dibuat menggunakan mesin, tetapi yang dijahit tangan lebih istimewa kerana ia dapat memenuhi cita rasa dan keperluan seseorang. Malah ia lebih selesa.

“Kami bermain bola sepak memakai but buatan sendiri untuk mengujinya dan memilih mana satu yang bagus,” kata pembuat kasut veteran, Chung Nam-chul, sambil memaku pelapik dalam kasut bola di hadapannya.

Kunjungan wartawan ke kilang itu dipantau pengurus Korea Selatan yang ditugaskan di situ dan slogan yang bermakna ‘Teknologi Kami. But Bola Sepak Kualiti Terbaik’ terpampang megah.

Chung dan rakan sekerjanya dari ibu negara Korea Utara, Pyongyang sebenarnya adalah anggota Kelab Sukan 25 April; salah satu pasukan bola sepak paling berjaya di negara berkenaan. Kelab ini diuruskan oleh Tentera Rakyat Korea (Korean People’s Army - KPA) iaitu pasukan bersenjata Korea Utara.

Seperti zaman pemerintahan komunis di Eropah Timur, pasukan bola sepak Korea Utara juga menjadi sebahagian daripada radas kerajaan yang mempunyai kaitan perniagaan.

Kakitangan di kilang Dandong adalah sekelumit daripada 60,000 hingga 70,000 rakyat Korea Utara yang bekerja di luar negara dalam usaha mendapatkan wang untuk negara di mana sebahagian besarnya disalurkan ke program nuklearnya.

Pegawai Korea Selatan yang ditugaskan di situ memberitahu bahawa pekerja di kilang itu boleh menyimpan semua pendapatan mereka sebanyak RM612 sebulan.

Menurut kumpulan pelarian dari Utara yang berlindung di Korea Selatan, kebanyakan rakyat Korea Utara yang bekerja di Russia, China dan Timur Tengah mendapat gaji dalam bentuk baucar dan bukannya wang tunai. Baucar berkenaan terus dimasukkan ke dalam tabung kerajaan Korea Utara.

Secara teknikalnya, hubungan dua kerajaan ini (Utara dan Selatan) masih tegang walaupun Perang Korea yang berlaku pada 1950 hingga 1953 sudah lama ditamatkan melalui gencatan senjata.

Selain daripada zon ekonomi di sempadan dua negara, kerjasama antara negara Selatan yang kaya dengan si miskin Utara sangat jarang berlaku.

Jika dilihat pada jumlah pendapatan tukang jahit kasut di Dondang, ia memang sangat sedikit. Namun, jika dibandingkan dengan keadaan kebanyakan penduduk Korea Utara yang sangat susah - sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan satu pertiga kanak-kanak di negara berkenaan mengalami kekurangan zat, pendapatan pekerja kilang kasut Dondang itu dianggap lumayan.

Kilang dua tingkat bercat hijau itu dilengkapi asrama, kafeteria dan bilik rekreasi. Pekerja di sini dibekalkan dengan tukang masak yang kadangkala menyediakan perut babi panggang iaitu hidangan kegemaran orang Korea pada jamuan selepas kerja yang mana mereka menyanyi lagu yang berkisar penyatuan dua Korea.

Mereka yang bekerja di Dandong sebenarnya berada tidak jauh dari tanah air berbanding rakan senegara yang berumah tangga di kem balak di Siberia atau tapak pembinaan di Timur Tengah.

“Di sini, kami boleh menonton siaran televisyen kami (Korea Utara). Kami juga menyanyikan lagu mengenai Marshal kami, Marshal Kim Jong-un,” kata salah seorang tukang jahit, Kwon Ok-kyung, merujuk kepada pemimpin negara tertutup itu yang mengambil alih kuasa pada 2011 selepas kematian ayahnya.

Kwon bekerja lapan jam sehari, lima hari seminggu. Malah, pekerja di sini dibenarkan berjumpa keluarga di bandar Korea Utara yang terletak di seberang sungai sekali sebulan dan menghantar pelbagai barangan ke negara mereka.

“Dulu susah juga kerana saya tidak tahu menjahit langsung, tetapi sekarang tidak lagi. Sekarang sudah tiada masalah,” kata wanita itu.

Salah seorang penyelia yang menyertai rombongan wartawan memberikan isyarat kepada Kwon untuk berhenti bercakap apabila dia ditanya mengenai perasaannya dihantar bekerja di luar negara.

Oleh kerana takut dianggap pembelot, kebanyakan rakyat Korea Utara yang dihantar bekerja di luar negara kebanyakannya setia kepada pemerintah dan keluarga Kim. Keluarga di tanah air dijadikan jaminan bahawa mereka akan balik, kata pelarian di Korea Selatan.

Walaupun tidak menjadi hamba kerja, sebahagian besar daripada puluhan ribu rakyat Korea Utara yang bekerja di luar negara bagi mendapatkan mata wang utama untuk kerajaan (mata wang luar yang mudah digunakan dalam urus niaga antarabangsa), kata pelarian lagi.

Kilang but berkenaan pada asalnya dibina di atas tanah yang diberikan kerajaan Korea Utara di Pyongyang. Tetapi kebanyakan hubungan ekonomi terputus selepas Korea Selatan menuduh Korea Utara bertanggungjawab menenggelamkan kapal tentera lautnya pada 2010.

Kilang itu kemudiannya dipindahkan ke Dandong dengan suntikan wang tunai RM1.3 juta dari Incheon, bandar di Korea Selatan di mana pasukan bola sepaknya bermain memakai but dari kilang Dandong.

Dengan keadaan ekonominya yang mengalami kemusnahan dan jumlah import melebihi eksport sebanyak RM10.1 bilion, berdasarkan data daripada Tabung Kewangan Antarabangsa 2010, Korea Utara terdesak masuk ke dalam cengkaman China dan mengeksport mineralnya ke negara jirannya yang semakin kaya itu.

Secara rasminya Korea Utara mengamalkan ideologi ekonomi yang bergantung kepada diri sendiri (negara sendiri), tetapi realitinya ia tidak mampu menyediakan makanan secukupnya sejak beberapa puluh tahun lalu dan kilang serta peralatan yang ada di sana ‘tersadai’ kerana kekurangan tenaga elektrik.

Kilang kasut yang kecil di Dandong itu tidak membawa perubahan besar kepada ekonomi Korea Utara, namun pekerjanya tetap mempunyai impian yang besar.

“Alangkah bagusnya kalau Messi datang sini dan pakai but yang kami buat,” kata Oh Sung-dong, salah seorang daripada pengurus Korea Utara. Dia merujuk kepada bintang Argentina, Lionel Messi yang bermain untuk Barcelona dan mendapat tajaan syarikat kasut Jerman, Adidas.

“Apabila beribu pekerja menghasilkan but bola kami di Pyongyang nanti, kasut ini boleh menguasai dunia,” kata Joo Chul-soo, pegawai daripada Kesatuan Kerjasama Ekonomi Nasional Korea Utara. - Reuters

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...