nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Sunday 11 November 2012

Kekasih lari lepas dinodai

SAYA mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi awam dan berkenalan dengan E setahun sebelum kami mengambil keputusan menjadi kekasih.

Kini, hubungan kami menjangkau tahun keempat dan sepanjang itu, saya sering menerima panggilan daripada beberapa wanita yang tidak dikenali mengakui kekasih E.

E tidak pernah menunjukkan sikap mengambil kesempatan menyebabkan saya mempercayainya sehinggalah saya membuat keputusan untuk menumpang di rumahnya selama dua hari sebelum pulang ke kampung.

Tidak sangka dua hari bersamanya menyebabkan maruah saya ternoda. Perkara itu berulang beberapa kali sehingga saya menerima panggilan daripada seorang perempuan yang pernah dinodai E.

Perkara itu membuatkan saya sedih dan sakit hati. E tidak mengaku sehingga merenggangkan perhubungan kami. Saya cuba berbaik dengannya kerana saya mahu dia bertanggungjawab terhadap diri saya.

E menerima, namun hubungan kami tidak semesra dulu. Akhirnya saya mengalah dan berdiam diri. Sepanjang tiga bulan saya diam, dia tidak pernah menghubungi saya. Saya sedih kerana dia pernah berjanji bertanggungjawab dan berkahwin dengan saya.

Saya hilang arah dengan ketiadaan dia di sisi dan masih menunggu E dengan harapan dia akan bertanggungjawab.

Saya menyesal dengan keterlanjuran itu, namun pada masa yang sama saya masih menyayanginya. Bantulah saya.

Gadis Ternoda,
Pulau Pinang



HAMKA, pujangga terkenal pernah berbicara bahawa tahan menderita kepahitan hidup sehingga penderitaan menjadi kekayaan adalah bahagia. Begitu juga sesiapa yang tidak pernah merasai kepahitan tidak akan mengenal kemanisan.

Semoga kata-kata ini dapat memberi motivasi kepada adik supaya bangkit daripada kesilapan lalu. Mulakan langkah membina kehidupan yang ada sinarnya.

Benarlah kata orang, hidup ini ibarat meniti seutas tali, kadangkala kita jatuh sakit dan terluka.

Akibat keterlanjuran dek rasa cinta, adik menanggung perit dan luka apabila E seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab atas perbuatannya.

Janji E ibarat menanam tebu di bibir. Cinta E adalah cinta yang terselit pendustaan iaitu kehidupan bercampur gaul dengan penghinaan. E pandai berjanji tetapi gagal memenuhi janjinya.

Menyesal atas keterlanjuran adalah satu perkara yang dapat membantu adik lebih berhati-hati dengan cinta dusta.

Lebih penting, adik perlu bertaubat dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

Adik hilang arah dengan ketiadaan E di sisi. Dr mengerti kerana cinta itu sendiri adalah penyakit. Psikologi orang bercinta ialah suka melupai ingatan manis cinta yang dibina.

Mengenai persoalan sama ada rasional atau tidak tindakan adik menunggu E, ia banyak bergantung kepada tindak balas E.

Jika E seorang yang bertanggungjawab dan bersedia mengambil adik sebagai isteri, memang berbaloi penantian itu.

Namun, mengetahui sikap E yang adik katakan pernah menodai perempuan lain, adik perlu melihat semula sama ada E seorang yang boleh dipercayai. Ini bermakna, jika E berniat untuk melepaskan tanggungjawabnya, tentu sekali adik hanya membuang masa, seperti mengharap bulan jatuh ke riba.

Komunikasi yang jelas adalah antara jambatan kepada hubungan yang baik. Jika adik ingin E bertanggungjawab atas perbuatannya, adik perlu nyatakan secara terus terang apa yang adik inginkan daripadanya.

Sifat mengalah hanya akan memberi peluang kepada E untuk terus lepas tangan daripada tanggungjawabnya. Ia juga sebagai satu isyarat bahawa adik tidak berminat dalam perhubungan ini.

Tunjukkan adik serius dan tidak mahu dipermain-mainkan. Semangat adik perlu kuat kerana kekuatan tidak datang daripada kemampuan fizikal, tetapi daripada semangat yang tidak pernah mengalah.

Adik perlu banyak berdoa agar E dilembutkan hati untuk bertanggungjawab atas keterlanjuran itu. Memohon doa kepada Tuhan adalah laksana samudera yang dapat mencapai setiap sudut pantai keperluan manusia.

Manusia merancang dan Tuhan menentukan. Ada kalanya apa yang kita inginkan tidak akan berlaku. Jika selepas segala usaha adik untuk membuatkan E bertanggungjawab gagal, adik perlu membuat strategi membina kehidupan baru.

Cuba lupakan masa silam yang pahit kerana masa hadapan yang cerah selalunya tergantung pada masa lalu yang dilupakan.

Hamka juga berkata, sebagai manusia, kita harus yakin bahawa apa yang ditentukan Allah buat kita, itulah yang terbaik. Bukan mudah, tetapi ia mampu dilakukan.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...