nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Monday 31 October 2011

Tenaga untuk otak

KEBANYAKAN ibu bapa mahu anak mereka mendapat yang terbaik dalam hidup, terutama perihal pelajaran. Dalam dunia yang semakin menuntut daya saing tinggi, ibu bapa akan mengambil langkah utama untuk memastikan anak mereka menerima pendidikan terbaik.
Sesetengahnya menghantar anak ke sekolah swasta atau menggaji pengajar peribadi untuk memberi kelas tambahan di rumah. Namun, ramai ibu bapa mungkin terlepas pandang satu cara mudah tetapi berkesan untuk merangsang pencapaian anak mereka iaitu melalui pengambilan sarapan pagi.

Saya sah suami Kristen: Pattison

SERASI...hubungan Pattison dan Kristen bukan setakat lakonan semata-mata.

SERASI...hubungan Pattison dan Kristen bukan setakat lakonan semata-mata. 
 
 
STOCKHOLM: Aktor siri televisyen popular Twilight, Robert Pattison sibuk mempromosikan filem ‘The Twilight Saga: Breaking Dawn - Bahagian 1’ di Eropah.
Pattison, 25, yang terkenal dengan sikap suka berjenaka berkata, sekarang dia sudah rasmi menjadi suami kepada aktres Kristen Stewart.

“Dalam upacara perkahwinan itu, kami menggunakan khidmat paderi sebenar,” kata Pattison ketika sidang akhbar di Stockholm, Sweden, semalam. “Jadi, secara teknikalnya, saya sudah berkahwin dengan Kristen. Kami melakukan setiap upacara keagamaan dalam perkahwinan itu. Kami memang belum berkahwin dari segi undang-undang, tetapi dari segi agama, kami sudah menjadi suami isteri,” katanya.
Kristen, 21, baru-baru ini mengesahkan hubungannya dengan Pattison dalam wawancara bersama majalah GQ Britain selepas hubungan asmara antara kedua-dua pelakon itu dihidu media.

Dalam sidang akhbar itu Pattison ditemani seorang lagi pelakon Twilight, Ashley Greene. Pattison memberitahu babak intim dalam filem Twilight yang bakal ditayangkan kelak adalah detik sukar untuk dilakonkannya.

“Adegan seks untuk filem itu adalah yang paling sukar.

“Terdapat kira-kira 20 orang dalam set penggambaran ketika itu. Babak berkenaan cukup romantis dan tidak boleh dilakukan mengikut skrip semata-mata, jadi kami berasa gementar ketika melakonkan adegan itu,” katanya. “Saya dan Kristen amat bimbang mengenai bentuk tubuh kami yang akan dipaparkan dalam kamera. Kami rasa malu,” katanya.

Pattison yang melakonkan watak pontianak Edward Cullen berkata, dia sendiri tidak memahami mengapa dia berasa bimbang ketika melakonkan adegan intim itu bersama Kristen.
The Twilight Saga: Breaking Dawn - Bahagian 1 adalah kisah pertama selepas empat musim siri itu disiarkan di televisyen. Twilight adalah siri televisyen popular berdasarkan novel tulisan Stephenie Meyer mengenai kisah percintaan antara pontianak (Edward Cullen) dengan manusia (Bella Swan). - Agensi

Gangguan ritma sirkadian

pix_middle

KEMURUNGAN adalah penyakit zaman moden dan ia dialami di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan kira-kira 121 juta penduduk dunia mengalami sindrom itu.
Sindrom ini juga ada kalanya tidak membawa petanda tipikal seperti mengasingkan diri, hilang selera makan atau gangguan tidur.
Sebaliknya, ada yang mengalami masalah sengal pada tubuh yang berpanjangan.
Ada juga yang mengalami kesakitan yang tidak dapat dijelaskan.

pix_topright Di Malaysia, kegagalan seseorang mengenali simptom kemurungan akibat kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai masalah itu, menyebabkan ramai tidak dirawat daripada awal.
Dia mungkin mengalami satu atau lebih simptom gangguan ‘circadian rhythm’ atau ritma sirkadian seperti rasa sedih dan kosong, hilang minat terhadap aktiviti kegemaran, cepat letih, kurang bertenaga, mudah berputus asa serta menganggap diri tidak berguna.

Gangguan ritma sirkadian yang berlaku akibat perubahan kitaran tidur juga dikenal pasti sebagai antara punca utama kemurungan. Ia juga penyakit keempat paling berbahaya di Malaysia dan memberi kesan hingga 10 peratus dalam populasi negara.

Kesilapan sewaktu diagnosis atau rawatan yang tidak optimal terhadap masalah kemurungan serta kurangnya perhatian diberi kepada perubahan ritma sirkadian yang mengawal fizikal, mental dan corak tingkah laku yang secara kasarnya mengikut kitaran 24 jam, dilihat terus mengganggu proses rawatan penyakit ini.

Menurut mantan Presiden Persekutuan Psikiatri dan Kesihatan Mental Asean, (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, sebanyak 82 peratus pesakit mengalami kemurungan masih belum dirawat disebabkan stigma masyarakat, tersalah diagnosis serta tidak mendapat rawatan sepenuhnya.

“Semakin ramai pesakit yang mengalami kemurungan dirawat oleh doktor biasa dan bukan pakar psikiatri. Malah, kebanyakan mereka tidak didiagnos manakala baki 18 peratus lagi diberi ubat antikemurungan dan cuma 10 peratus dirawat dengan sewajarnya.

“Justeru itu, pemahaman mengenai kaitan di antara gangguan ritma sirkadian dan kemurungan mesti dipertingkatkan agar dapat meningkatkan tahap mengenal pasti dan pengurusan penyakit ini,” katanya sewaktu ditemui pada bengkel media anjuran syarikat farmaseutikal, Servier Malaysia Sdn Bhd, sempena Bulan Kesihatan Mental di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelasnya, kemurungan menjadi antara alasan paling biasa bagi orang ramai berjumpa pengamal perubatan awam. Diagnosis jitu dan lebih fokus terhadap gangguan ritma sirkadian mampu menyediakan platform berkesan untuk merawat gangguan perasaan.

Gangguan ritma sirkadian adalah kecelaruan dalam ‘jam dalaman tubuh’ seseorang yang mengawal proses biologi, misalnya aktiviti gelombang otak, penghasilan hormon dan penjanaan semula sel dan aktiviti biologi yang ada hubungan dengan kitaran ini.

Ritma sirkadian juga boleh mengubah kitaran tidur jaga, pembebasan hormon, suhu badan dan fungsi penting tubuh lain. Ritma biasa waktu malam dan siang mengawal kehidupan kita.

Ia dikaitkan dengan perubahan bisa terhadap suhu utama badan, tahap hormon, kadar degupan jantung, perkumuhan ginjal dan pergerakan usus.

Ciri-ciri kemurungan yang menunjukkan gangguan ritma sirkadian termasuk terjaga awal, tiada ‘mood’ waktu pagi, perubahan corak tidur, perubahan suhu badan dan aktiviti hormon.

Perunding Psikiatri Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Azhar Md Zain, berkata gangguan ritma sirkadian ditemui di kalangan pesakit yang mengalami masalah kemurungan teruk.

“Tekanan juga antara faktor utama penyumbang ke arah kemurungan disebabkan pelbagai peristiwa hidup yang traumatik (kesedihan akibat kematian, peperiksaan selain masalah kesihatan dan kewangan), persekitaran psikososial hinggalah penyakit somatik.

“Peristiwa ini menyebabkan ritma sirkadian tidak lagi selari dan menyebabkan berlakunya gangguan biologi, fisiologi dan tingkah laku di kalangan pesakit yang mengalami kemurungan.

“Misalnya, tekanan di tempat kerja disebabkan kegagalan menguruskan prestasi dan jangkaan mungkin membawa kepada kesukaran memulakan dan mengekalkan tidur,” katanya.

Beliau menambah, keadaan ini menyebabkan kesukaran sewaktu bangun waktu pagi dan perubahan mood pada waktu pagi, kekurangan tenaga dan semangat, tiada selera serta konsentrasi terganggu.

Selain itu, individu berkenaan kemudian secara perlahan-lahan akan menyisihkan diri. Dalam jangka panjang, ia bukan sekadar memberikan kesan terhadap keadaan mentalnya, malah tahap kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhannya.

Ritma sirkadian penting dalam menentukan corak tidur manusia. ‘Jam dalaman’ tubuh mengawal pengeluaran melatonin, hormon yang membuatkan anda berasa mengantuk.

Memandangkan pencetus hormon berada di bawah saraf optik yang menyampaikan maklumat daripada mata ke otak, ia menerima maklumat mengenai cahaya yang datang. Disebabkan itu, apabila ada sedikit cahaya, tahap melatonin tubuh meningkat dan kita akan berasa mengantuk.

Jelas Dr Azhar, kemurungan adalah bentuk gangguan lazim. Gangguan ritma sirkadian ada kaitan dengan kemurungan yang kurang diberi perhatian tetapi kini wujud pendekatan baru terhadap rawatan yang secara tradisionalnya difokuskan kepada gangguan pemancar saraf.

“Ubat antikemurungan yang tertumpu kepada gangguan pemancar saraf (neurotransmitter) digunakan secara tradisional. Pun begitu, fokus kini terhadap penggunaan agomelatine yang berfungsi secara menyeluruh dengan tumpuan kepada saraf penerima melatonergic dalam otak,” katanya.

Diambil ketika hendak tidur, agomelatine bertindak menyelaraskan kembali ritma sirkadian dengan meningkatkan kualiti tidur.

Tidur mempunyai kesan pemulih terhadap proses fizikal dan mental. Malah, tidur juga adalah komponen penting dalam kesihatan fizikal dan mental yang baik, di samping penting bagi fungsi kognitif yang optimum.

“Ada beberapa jenis gangguan tidur seperti insomnia, apnea tidur, sindrom kaki resah dan narkolepsi yang mempunyai hubungan dengan gangguan ritma sirkadian,” demikian dijelaskan perunding psikiatri, Dr Ting Joe Hang.

Beliau menjelaskan, dianggarkan 10 hingga 35 peratus populasi awam mungkin mengalami beberapa bentuk gangguan tidur. Malangnya, lebih separuh daripada yang mengalami masalah tidur lena, langsung tidak mendapatkan nasihat perubatan.

“Gangguan ritma sirkadian tidak semestinya berkaitan dengan kemurungan dan ia sering disalah diagnos sebagai insomnia atau kondisi psikiatri.

“Bagaimanapun, gangguan ritma harian (jet lag) atau kerap mengembara merentasi zon waktu, bekerja syif bagi tempoh lama dan sindrom fasa tidur yang ditangguh (tidur dan jaga, terjaga pada tengah malam) boleh mengubah ritma sirkadian kita dan menyebabkan kemurungan.

“Kebanyakan pesakit yang mengalami kemurungan menghadapi masalah tidur.
Namun, tidak semua yang mempunyai masalah tidur mengalami kemurungan. Penilaian berhati-hati penting untuk merangka rawatan termasuk ubat-ubatan, kaunseling dan terapi,” katanya.


Simptom kemurungan

  • Perasaan sedih dan kosong

  • Hilang minat terhadap aktiviti kegemaran

  • Cepat letih

  • Menganggap diri tidak berguna

  • Kurang bertenaga

  • Mudah berputus asa

  • Hilang selera makan

  • Mengalami gangguan tidur

  • Penurunan berat badan

  • Kerap marah

  • Perasaan tidak tenteram

  • Menganggap mati lebih baik daripada hidup

  • Kurang fokus

  • Sukar membuat keputusan

  • Guna kaedah laser

    pix_middle
    ELAK KERING... air mata palsu digunakan selama sebulan selepas pembedahan lasik.
    ELAK KERING... air mata palsu digunakan selama sebulan selepas pembedahan lasik. 
     
     
    SETIAP pagi apabila bangun daripada tidur, perkara pertama yang anda lakukan ialah mencari cermin mata di bawah bantal sebelum mencapai telefon bimbit untuk menghentikan jam loceng.
    Bayangkan sejak di sekolah rendah anda bercermin mata. Walaupun sedikit rimas kerana tidak boleh bergerak bebas dan bersukan seperti rakan lain, anda tiada pilihan kerana masalah rabun dihadapi. Menginjak ke sekolah menengah, rabun dialami semakin teruk, menyebabkan cermin mata yang dipakai semakin tebal.

    Tanpa bantuan cermin mata, mungkin anda sukar melakukan aktiviti harian kerana kemampuan melihat dengan jelas semakin terbatas.
    Semua tulisan tidak mampu dibaca, malah untuk melangkah jauh juga tiada keyakinan kerana semua objek nampak samar seperti bayang-bayang.

    Selepas melakukan semua urusan dengan bantuan cermin mata atau kanta lekap selama berbelas atau berpuluh tahun, bayangkan tiba-tiba anda tidak perlu lagi memakai cermin mata atau kanta lekap apabila menjalani pembedahan lasik atau kaedah pembedahan refraktif (pembetulan masalah penglihatan).

    Statistik menunjukkan 20 peratus daripada kita memerlukan bantuan cermin mata untuk mengatasi masalah penglihatan dan sekitar usia tujuh atau lapan, ada kanak-kanak yang mula rabun jauh.

    Ada pula yang ketika muda tidak memakai cermin mata, namun apabila usia melepasi 40 tahun, masalah rabun dekat dihadapi menyebabkan seseorang itu terpaksa berkaca mata, terutama ketika membaca atau menulis.

    Jika ditanya golongan rabun, pasti mereka mempunyai impian untuk pulih, sekali gus tidak perlu lagi memakai cermin mata atau kanta lekap.
    Bagaimanapun, ramai di antara kita tidak berani membuat rawatan laser mata kerana masih ragu-ragu atau menerima bulat-bulat pelbagai mitos mengenainya.

    Antara mitos sering didengar ialah jika melakukan lasik, mata kita akan silau pada waktu malam. Ada juga yang mengatakan seseorang itu akan mengalami rabun warna hingga menyebabkan mereka sukar memandu. Mereka yang sudah menjalani lasik juga dikatakan akan rabun kembali.

    Perunding Pakar Bedah Mata, Ketua Pusat Mata dan Lasik, Pusat Perubatan Prince Court (Prince Court), Prof Dr Muhaya Mohamad berkata, maklumat itu tidak tepat kerana menerusi teknik terbaru dengan penggunaan mesin canggih, prosedur dilakukan mendapat hasil yang sangat baik dan tidak mengalami masalah silau pada waktu malam.

    Menurutnya, mitos berkenaan tersebar kerana orang ramai mendapatkan maklumat daripada Internet mengenai kaedah rawatan laser mata dijalankan 10 tahun lalu yang menggunakan pisau.

    “Kami tidak menggunakan pisau dalam prosedur ini, sebaliknya penggunaan laser sepenuhnya. Kaedah terbaru ini membolehkan mereka yang rabun pulih kekal.

    “Kami melakukan lebih 2,000 rawatan mata sejak September 2008 dan daripada jumlah itu cuma enam pesakit perlu membuat sekali lagi rawatan.

    “Masalah ini berlaku kerana pesakit tercalar matanya selepas prosedur, sama ada menyentuh atau melukakan matanya. Ia juga boleh berlaku jika ketika prosedur, laser berkenaan tidak kena tepat pada mata pesakit, sebaliknya tersasar,” katanya.

    Dr Muhaya berkata, tahap rabun paling tinggi pesakit yang pernah menjalani kaedah ini di Prince Court ialah 1,400 manakala paling silau, 525. Pesakit paling muda ialah 18 tahun manakala pesakit paling tua 67 tahun.

    Kaedah ini menjadi pilihan di kalangan yang ingin menceburi bidang seperti polis dan askar yang mensyaratkan anggota pasukan mereka tidak menghadapi masalah penglihatan, misalnya rabun.

    Mereka yang hamil dan menyusu tidak sesuai menjalani prosedur ini kerana perubahan hormon menyebabkan ketidakstabilan status refraksi mata mereka.

    Prosedur itu tidak menyakitkan pesakit dan selepas 15 hingga 20 minit rawatan, pesakit boleh melihat dengan jelas.

    “Sebelum prosedur, kita meminta mereka membaca huruf yang dipaparkan di skrin dan selepas prosedur, sekali lagi pesakit diminta melakukan perkara sama. Kira-kira 90 peratus pesakit yang menjalani rawatan lasik mampu membaca tulisan berkenaan.

    “Mereka akan berehat di hospital dua jam selepas prosedur kerana mata mereka akan berair. Sesuatu yang menggembirakan ialah, selepas beberapa jam menjalani lasik, ada pesakit boleh meneruskan kegiatan harian seperti menghadiri mesyuarat, menunaikan solat Jumaat atau bertugas di luar daerah. Selepas rawatan, kebanyakan pesakit juga boleh bekerja keesokan hari,” katanya.

    Menurutnya, pengguna kanta lekap perlu berhenti memakai alat itu seminggu sebelum menjalani lasik untuk menentukan kornea tidak berubah bentuk.

    Pemeriksaan bagi prosedur itu memakan masa dua jam. Ada 17 langkah bagi menentukan kesihatan mata, mengukur tahap rabun dan menentukan dengan tepat bahagian yang akan dirawat. Ia menentukan keselamatan prosedur berkenaan kerana jika pesakit bergerak, cahaya pancaran laser akan bergerak mengikut pesakit dan jika pesakit bergerak terlalu banyak, mesin akan berhenti.

    Antara prosedur ialah pesakit melihat lampu hijau yang berkelip 30 saat, di mana laser akan dilancarkan untuk menghasilkan ‘flap’ atau bukaan pada kornea. Doktor hanya akan menyentuh mata pesakit kurang daripada lima minit.

    Dr Muhaya berkata, sentuhan terlalu minimum dalam prosedur berkenaan selain tiada darah langsung. Selepas prosedur, pesakit perlu menitik ubat titis (air mata palsu) empat kali sehari selama seminggu.

    Penggunaan air mata palsu selama seminggu atau sebulan bergantung pada tahap kekeringan mata, tetapi penggunaannya tiada kesan sampingan. Pesakit tidak boleh menyolek di bahagian mata selama lima hari dan berenang selama empat minggu.
    SUMBER:METRO


    http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gunakaedahlaser/Article/artikelMA

    Saturday 29 October 2011

    Pensyarah minta tubuh

    KUALA LUMPUR: Pensyarah miang. Itulah gelaran buat seorang lelaki yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an apabila mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan, kelmarin.
    Lebih keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.

    Bagaimanapun, keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku pergelutan dalam bilik berkenaan.
    Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

    Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi menghantar tugasan yang diberikan.

    “Namun, dia terserempak lelaki itu di luar bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.

    “Pensyarah itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu menghantar tugasan.
    “Bagaimanapun, pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu mahukan benda lain,” katanya.

    Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.

    “Dengan bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium mangsa.

    “Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya.

    Katanya, mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit.

    “Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika memenuhi kehendak seksualnya,” katanya.

    Biarpun diumpan dengan keputusan cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. Mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

    Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).
     
    http://www.churpchurp.com/badman/share/nescafe-chillah-vote

    Wednesday 26 October 2011

    Makna apabila sakit mendatang

    ALHAMDULILLAH, hari ini seronok dapat balik kampung. Seronok itu bukannya semata-mata dapat balik kampung, tetapi kerana menziarahi ibu yang sakit di hospital.
    Bertuah kerana ibu masih ada dan masih dapat melihat riak dan kedut wajah yang selama ini berkorban demi membesarkan kami.

    Benar kata lagu Jasa Bonda yang sering berkumandang di suara hati.

    ...tika kamu berjaya sedangkan mereka tiada berdaya... Sungguh syahdu melihat wajah mulia yang dalam kedutan wajahnya terlipat seribu kesabaran dan ketabahan.


    Mungkin di luar sana sahabat juga bersama ibu ayah atau anak-anak yang bertarung derita mengharungi cabaran ujian, semoga tabah dan reda.

    Ya Allah sembuhkanlah ibu, ayahku dan mereka semua. Memanglah tidak ada orang yang ingin ditimpa sakit atau penyakit. Namun begitu, ternyata ada maksud yang tertentu daripada Allah atas penyakit yang dideritai hamba-Nya.

    Ia sebagai panduan dalam menghadapi segala dugaan supaya kita lebih reda.
    Ada beberapa perkara yang patut kita fahami bila ditimpa sakit antaranya:



  • Menghapus dosa

    Ini adalah keutamaan yang besar daripada Allah s.w.t kerana dengan sakit yang dideritai seorang Muslim, dosa yang pernah dilakukannya terhapus kerana penderitaannya dalam menghadapi penyakit menjadi kifarah (penebus) dosanya.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang mukmin yang rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya” (Hadis riwayat Bukhari).


  • Tetap mendapatkan pahala daripada amal kebaikan yang biasa dilakukannya ketika sihat

    Ini kerana orang yang sakit tidak dapat menjalankan amal kebaikan itu bukan kerana dia tidak mahu tetapi dalam keadaan sakit.

    Umpamanya jika kita selalu ke masjid untuk solat berjemaah, kita mendapat pahala yang besar, setiap langkah kita ke masjid diangkat sebagai darjat dan dihapuskan satu kesalahannya.

    Malah malaikat pasti berselawat kepada kita. Tetapi, ketika kita sakit, kita tidak mampu untuk ke masjid, Allah tetap bagi pahala kepada kita sama seperti kita solat di masjid.

    Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang hamba sakit atau berpergian (safar), maka Allah mencatat pahalanya seperti pahala amal yang dikerjakannya ketika dia tidak berpergian atau sihat.” (Hadis riwayat Bukhari).

    Di dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang menguatkan lagi hadis di atas: “Apabila seorang hamba sakit sedang dia biasa melakukan suatu kebaikan, maka Allah berfirman kepada malaikat: “Catatlah bagi hamba-Ku pahala seperti yang biasa ia lakukan ketika sihat.” (Hadis riwayat Abu Hanifah).


  • Memperoleh pahala kebaikan

    Segala sesuatu yang terjadi pada manusia pasti ada hikmahnya. Seorang Muslim yang sabar dalam menghadapi sakit maka baginya pahala kebaikan.

    Rasulullah bersabda: “Tiada seorang Muslim tertusuk duri atau yang lebih daripada itu, kecuali Allah mencatat baginya kebaikan dan menghapus darinya dosa.” (Hadis riwayat Bukhari).

    Di dalam hadis lain yang mempunyai maksud yang sama, Rasulullah bersabda: “Barang siapa dikehendaki oleh Allah kebaikan baginya, maka dia (diuji) dengan suatu musibah. “(Hadis riwayat Bukhari).


  • Memperoleh darjat tinggi di sisi Allah s.w.t

    Hal ini kerana di dalam syurga ada darjat tertentu yang harus dicapai, apabila seorang Muslim tidak mampu mencapainya dengan suatu amal, maka dia pasti dapat memperoleh darjat itu dengan musibah atau penyakit yang dideritai.

    Umpamanya mati syahid yang adalah mati yang sangat mulia. Tetapi, jika dia tidak pergi berperang, dia pasti mendapat darjat mati syahid sekiranya dia meninggal kerana penyakit yang dihidapinya.

    Rasulullah bersabda: “Wabah adalah syahadah (mati syahid) bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari).

    Di dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang hamba memiliki suatu darjat di syurga. Ketika dia tidak dapat mencapainya dengan amal-amal kebaikannya, maka Allah menguji dan mencubanya agar dia dapat mencapai darjat itu.” (Hadis riwayat Thabrani).


  • Memperoleh ganjaran syurga

    jika seorang Muslim menghadapi penyakit dengan penuh kesabaran. Contohnya penyakit yang sangat menyulitkan penderitaannya dalam kehidupan ini seperti buta matanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan membutakan kedua matanya dan dia bersabar, maka Aku ganti kedua matanya itu dengan syurga.” (Hadis riwayat Ahmad).

    Namun demikian, jika sakit itu tidak menyenangkan, sakit adalah ujian yang dapat memberikan keutamaan dan manfaat yang besar, baik bagi si penderita mahupun keluarganya.

    Lantaran itu, penyakit harus dihadapi dengan sikap, pemikiran dan perilaku yang positif.

    Umpamanya ketika sakit, kita berfikiran positif dan cakap pada diri sendiri bahawa kita sihat, kuat dan sabar. Insya-Allah, kita pasti cepat sembuh.

  • Maafkan kami ya Rasulullah

    INI hanyalah satu muhasabah bukan realiti dan harap ia tidak menjadi kontroversi. Bayangkan apabila Rasulullah dengan izin Allah tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.
    Ketika itu Baginda datang dengan tersenyum dan muka yang berseri-seri di hadapan pintu rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Mesti kita menjadi sangat terkejut, memeluknya erat-erat lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu. Kemudian kita tentunya akan meminta agar Rasulullah sudi menginap beberapa hari di rumah kita. Tapi barangkali kita meminta Rasulullah menunggu sebentar di depan pintu kerana teringat VCD 18+ atau lukisan wanita separuh bogel yang melekat di ruang tamu kita sehingga kita terpaksa memindahkan semuanya ke belakang dengan tergesa-gesa kemudian menggantikan khat nama Allah dan Muhammad yang tersimpan dalam almari dan kita meletakkannya di ruang tamu.

    Apa agaknya Rasulullah katakan jika baginda tahu semua itu? Bagaimana pula jika Rasulullah bersedia menginap di rumah kita? Barangkali kita menjadi malu kerana tidak mengetahui sedikitpun sejarah Rasulullah s.a.w, keluarga dan sahabatnya. Kita terpaksa menukar ruang tamu menjadi ruangan solat, malah segera mencari pakaian solat, kopiah, serban dan al-Quran. Manakala bagi anak isteri, kita terus belikan pakaian menutup aurat demi menutup malu selama ini kita berpakaian tidak menutup aurat .
    Apa agaknya rasa Nabi dengan perlakuan dan lakonan kita itu? Belum lagi koleksi buku-buku, kaset dan karaoke kita. Ke mana kita harus menyingkirkan semua koleksi itu demi menghormati junjungan kita? Sudah tentu kita menjadi malu kerana kita tidak pernah ke masjid meskipun azan berkumandang. Kita juga pasti malu kerana pada waktu Maghrib keluarga kita masih sibuk di depan televisyen. Kita hanya menghabiskan hampir seluruh waktu untuk mencari kesenangan duniawi. Sudah tentu juga kita berasa malu kerana keluarga kita tidak pernah menunaikan solat sunat, sangat jarang membaca al-Quran dan tidak mengenal jiran tetangga kita.

    Sudah tentu kita malu jika Rasulullah menanyakan kepada kita siapa nama tukang sampah yang setiap hari lewat di depan rumah kita.

    Justeru, bayangkan apabila Rasulullah tiba-tiba muncul di depan rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Masihkah kita memeluk junjungan Nabi kita itu dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita? Atau akhirnya dengan berat hati, kita menolak kunjungan baginda kerana hal itu akan sangat membuat kita segan dan malu. Maafkan kami ya Rasulullah. Oh betapa memalukannya kehidupan kita saat ini di mata Rasulullah. Itu belum lagi kalau hendak kira cara kita mencari duit, membina keluarga, cara kita berpolitik, berniaga dan segala perlakuan kita yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Layakkah kita bergelar umat Muhammad, dan layakkah kita mendapat syafaat Nabi di hari akhirat nanti?

    Sedekah tambah rezeki

    APA perasaan anda, seandainya ketika sedang makan di kedai atau di warung tiba-tiba datang orang meminta sedekah menghampiri anda.
    Dia meminta duit derma daripada anda tetapi badannya sihat sambil dipimpin seseorang sambil menadah tangan.

    Anda sedekah atau tidak kepadanya? Kalau anda beri duit kepadanya sama ada ikhlas atau pun sebab malu pada orang di sekeliling yang melihat anda? Selepas anda menderma apakah perasaan anda? Seronok atau berasa rugi?

    Kalau berasa menyesal itu memang kedekut jawabnya. Alhamdulillah orang kita suka menderma, suka membantu dan menolong, mungkin kerana roh iman dan Islam yang menyala di dalam hati dan sanubari.


    Ia menjadi pendorong utama ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang memang lembut hati. Hulurkan derma janganlah terlalu berkira sangat.

    Tidak miskin pun jika kita beri sedikit pemberian itu dan tidak kaya mana pun mereka dengan yang dapat duit derma kita. Sebenarnya orang kaya ialah orang yang suka memberi.

    Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi. Rasulullah pernah berhutang kerana mahu memberi. Kali ini penulis ingin berkongsi sedikit ilmu berkenaan membantu dan menderma terutama kepada fakir miskin.

    Siapa sebenarnya yang dikatakan fakir miskin itu supaya derma kita itu betul-betul disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

    Fakir dan miskin adalah orang yang tidak memiliki apa yang cukup untuk belanja seharian misalnya mereka tidak memiliki beras, lauk dan keperluan asas yang lain.

    Mungkin mereka ada pekerjaan tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi, kos sara hidupnya dan bebanan keluarga, sebagaimana firman Allah: “Adapun bahtera itu kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan Aku bertujuan merosakkan bahtera itu, Kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.” (Surah Al-Kahfi ayat 76)

    Pada ayat di atas mereka disifatkan dengan sifat miskin, padahal mereka memiliki perahu besar dan memperoleh pendapatan sebagaimana sabda Rasulullah ketika ditanya orang miskin, Baginda menjawab: “Orang miskin bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta, lalu diberi sesuap atau dua suap, satu buah kurma atau dua buah, tapi orang miskin adalah orang yang tidak cukup apa yang dia dapat daripada pekerjaannya untuk menyara keluarga.”

    Zaman sekarang ada satu nama lagi iaitu peminta sedekah atau pengemis.
    Terkadang mereka masih ketagih untuk makan hasil dari meminta dan menadah tangan.

    Kalau sudah cukup duit daripada meminta sepatutnya mereka berhenti meminta tetapi kerana sudah ketagih, mereka akan terus meminta, orang sebegini sudah termasuk dalam kategori mereka yang memiskinkan diri sendiri.

    Sebahagian daripada peminta sedekah sebenarnya lebih memerlukan derma dalam bentuk nasihat dan pemulihan mental.

    Mereka perlu dididik dan disedarkan bahawa tangan di atas, jauh lebih baik dari pada tangan di bawah.

    Setengah kadang-kadang menjadi keliru kepada peminta sedekah sama ada hendak beri atau tidak.

    Kalau kita terus memberi nanti mereka ketagih meminta sehingga langsung tak nak berusaha sebab lagi seronok meminta tanpa bekerja.

    Kalau tidak beri kasihan juga kalau yang meminta itu memang sangat-sangat memerlukan.

    Sebab itu kita perlu memilih kepada siapa kita perlu berinfaq dengan tujuan untuk membantu dan kepada siapa kita perlu berkata maaf dengan tidak memberi mereka wang bukan kerana membenci, tetapi itulah salah satu cara kita mendidik mereka dan agar mereka berfikir dengan bijak.

    Bagaimanapun penderma tetap dalam perhatian Allah dengan ganjaran yang istimewa. Percayalah jangan sekali menyesal dengan derma anda sebab banyak sekali hikmah di sebalik pemberian itu.

    Antaranya hikmah derma ialah melembutkan hati. Jika hati sudah lembut, mudah untuk seseorang memaafkan orang dan mudah memohon maghfirah selepas melakukan kesalahan, sama ada kecil atau besar.

    Kedua, seseorang, apabila menderma dan orang yang menerima derma pula seseorang yang betul-betul memerlukan bantuan insya-Allah, penerima derma itu pasti berdoa supaya penderma dikurniakan rezeki dan keampunan Allah.

    Kesan berganda itu disebutkan dalam al-Quran, seperti ayat 261 dan ayat 265 Surah Al-Baqarah: “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji.”

    Manakala dalam ayat 265 surah sama maksudnya: “Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari reda Allah, dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat (ganda). Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun (pun memadai). Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

    Jangan jadi macam unta Arab

    TENTUNYA kita pernah sangat melihat unta di kaca televisyen dan filem.
    Kepada yang pergi ke zoo pasti tidak akan melepaskan peluang melihat unta dengan lebih dekat.

    Apa yang kita tahu unta ini lahir di negara Arab. Ia lahir di Arab, hidup di Arab bahkan mungkin mati pun di negara Arab. Tetapi ia tidak boleh berbahasa Arab, betulkan? Memanglah binatang mana boleh bercakap.

    Sebenarnya penulis buat cerita unta itu sebagai kiasan kita lahir dari rahim ibu yang Muslimah, ayah juga Muslim, kita lahir di negara dengan majoriti penduduk Islam, di besarkan menjadi anak Muslim, kita sekolah di sekolah Muslim, kita besar menjadi remaja Muslim.’


    Identiti kita juga menyebutkan bahawa kita seorang Muslim. Ijazah kita Muslim, baju yang kita kenakan juga baju Muslim, dan insya-Allah, kelak ketika kita kembali kepada Allah, kita akan mati di negara yang sekali lagi penduduknya majoriti Muslim.

    Apa yang agak kelakar ialah kita ini sebagai Muslim dan ada pasport Muslim, tetapi yang sedihnya ada antara kita yang tidak tahu apa itu Islam.

    Kita tidak boleh membaca kitab suci orang Islam, kita tidak tahu siapa nabi umat Islam, kita tidak tahu hukum Islam, kita tidak tahu apa yang diperintah dan dilarang Islam.

    Bukankah kita seperti unta arab tadi, yang lahir dan besar dan Insya-Allah meninggal pun berada di tengah-tengah Muslim, tetapi tidak mengerti dan tidak mengenal Islam.

    Penulis bukan menuduh, tetapi sekadar bermuhasabah agar kita lebih prihatin kepada anak cucu kita yang sedang membesar kerana nampak sangat akhir-akhir ini Islam menjadi dagang tidak dikenali oleh penganutnya sendiri.

    Islam bukan hanya sekadar agama. Islam adalah jalan hidup kita menuju puncak kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dan ketika kita sudah bersyahadat, isytiharkan diri sebagai orang Islam, maka sebagai kesinambungannya kita wajib menjadikan Islam sebagai cara hidup dan panduan untuk melangkah.

    Ia termasuk bagaimana kita berpakaian, berniaga, berpolitik, berumah tangga, berhubung sesama manusia. Semua kena ikut cara tuhan bukannya ikut cara kita.

    Sebaik mana pun peta yang kita miliki, secanggih apapun kompas yang kita pegang, tetapi kalau kita tak tahu menggunakannya boleh jadi peta dan kompas itu menjadi tidak berharga lagi bagi kita.

    Islam pun begitu, dalam setiap solat, kita memohon kepada Allah: “Ya Allah tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan para anbia, jalan para syuhada, jalan orang-orang yang mendapat redanya.”

    Tetapi kita tidak atau kurang menyedari bahawa apa yang kita minta itu sesungguhnya ada di hadapan kita iaitu al-Quran dan Sunnah.

    Ini adalah peta kehidupan yang dibuat oleh Allah untuk memandu kita menapak setiap jengkal langkah kita dalam menjalani kehidupan ini.

    Al-Quran dan Sunnah adalah kompas yang dijamin seratus peratus benar dan tepat oleh Allah. Setiap solat kita memohon diberi petunjuk ke jalan yang lurus, padahal petunjuk kepada jalan yang lurus itu sudah ada. Hanya kita yang tidak atau belum boleh memahaminya.

    Kita tidak akan dapat memahami dan menggunakan al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman dan panduan hidup kita. Ibarat hari ini kita merasa belum lengkap seperti tidak lagi membaca e-mel, maka kita mesti gelisah jika kita masih belum baca Al-Quran.

    Begitu juga rasa tidak selesa kita kalau tidak bersembang sehari, asyik tunggu mesej saja, asyik tengok telefon saja, tetapi Al-Quran kenapa kita tidak tengok dan baca.

    Kalau hari ini kita merasa belum lengkap kerana belum mengemas kini status facebook, sepatutnya juga kita berasa cemas kalau kita belum ‘mengemas kini’ bacaan Al-Quran kita.

    Kalau hari ini kita merasa belum lengkap kerana belum dapat membaca SMS teman, maka semestinya kita lebih cemas ketika kita belum membaca ‘pesanan’ Allah yang terakam dalam Al-Quran.

    Jadi tidak hairanlah kalau masih ramai orang Islam laksana unta Arab lahir dari rahim Islam, dibesarkan dalam lingkungan Islam, sekolah Islam, kuliah Islam tetapi masih tidak boleh membaca Al-Quran, apalagi untuk menggunakannya sebagai panduan dalam kehidupannya.

    Sememangnya kita bukannya unta. Justeru, sebagai seorang Muslim kita perlu tahu, faham dan mengerti apa itu Islam dan bagaimana menggunakannya dalam kehidupan kita.

    Salah satu caranya dengan membaca dan memahami al-Quran iaitu menjadikan al-Quran sebagai menu wajib bagi kita untuk dalam melalui hari-hari dalam kehidupan kita apa lagi kita sudah dekat dengan bulan al-Quran.

    Cara Nabi jaga kesihatan diri

    BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.
    Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja.

    Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan.

    Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:



    Selalu bangun sebelum subuh

    Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.

    Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.


    Aktif menjaga kebersihan

    Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.

    “Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)


    Tidak pernah makan berlebihan

    Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

    Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.

    Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.


    Gemar berjalan kaki

    Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.

    Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.


    Tidak pemarah

    Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

    Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

    Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah
    di hati.


    Optimis dan tidak putus asa

    Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.

    Tidak pernah iri hati

    Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”


    Pemaaf

    Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.

    Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.

    Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.

    Kebahagiaan terpancar daripada keberkatan Allah

    UMAT Islam perlu mencari keberkatan kerana tanpanya jiwa pasti tidak akan berasa tenang dan puas. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah ayat 155-157)
    Ada golongan berusaha siang malam mencari rezeki. Malah, sanggup menggadai nyawa tetapi mengapa ia tidak memberikan jaminan kebahagiaan?

    Mengapa ada yang memiliki rumah besar dan megah, tetapi masih tidak gembira? Bahkan mereka bermati-matian mencari kebahagiaan dan ketenteraman, sedangkan apa yang mereka peroleh ialah masalah. Kenapa ia berlaku?

    Antara sebabnya ialah tiada keberkatan. Rasulullah s.a.w mendoakan sahabatnya di majlis perkahwinan semoga rumah tangga berkat.


    Malah, supaya dapat kaya, kekayaan yang berkat, sahabat yang ada ilmu berdoa ilmu berkat.

    Berkat ialah pelbagai guna, bermanfaat di dunia dan akhirat. Kita tidak hanya boleh berbangga dengan apa yang kita miliki, tetapi yang patut dibanggakan ialah keberkatan menerima nikmat.

    Jadi, bukannya kita patut takut tidak memiliki sesuatu, tetapi harus
    takut sesuatu yang dimiliki tidak berkat. Keberkatan maknanya subur, dengan kebaikan, permohonannya diterima dan kebahagiaan.

    Jadi, keberkatan membawa ke syurga sebaliknya tanpa keberkatan kita dibawa ke neraka. Doa yang kita pinta ketika makan berbunyi: “Wahai Tuhanku berkatilah apa yang Engkau berikan pada kami ini dan selamatkanlah daripada api neraka.” Maknanya makanan yang tidak berkat walaupun sesuap boleh bawa ke neraka.

    Apa lagi kalau harta berlambak-lambak, ilmu melaut dan pelbagai gelaran. Menurut sejarah, Umar Abdul Aziz ketika menjalankan tugas pada malam hari di Baitulmal tiba-tiba anaknya mengetuk pintu.

    Apabila dilihat anaknya yang ingin bertanya mengenai urusan rumah tangga, beliau terus memadamkan lampu. Si anak bertanya: “Kenapa ayah padamkan lampu.” Jawab Umar: “Kerana minyak lampu ini milik negara.

    Ia tidak layak untuk urusan peribadi. Inilah contoh keberkatan dalam erti kata yang sebenar. Keberkatan meliputi soal wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

    Wajib, mesti buat dan jika buat dapat pahala besar tetapi jika tidak buat dosa besar. Perkara yang harus diberikan pilihan, yang makruh patut dijauhi manakala yang haram mesti dijauhi.

    Kunci kebahagiaan ialah bersederhana di samping pengurusan yang pintar dan segala aktiviti mesti sesuai dengan syariat Allah s.w.t.

    Contoh kecil yang dianggap remeh manusia hari ini ialah waktu solat.

    Mencari harta jangan sampai melupakan solat, mencari harta jangan sampai lupa kepada halal haram. Mencari untung patut dikerjakan sebanyak mungkin, tetapi apalah ertinya keuntungan jika membabitkan soal haram yang dimurkai Allah.

    Pelajar sebagai contoh, apalah ertinya berjaga malam, bersengkang mata, belajar dan mengulangkaji, tetapi esoknya tidak mengerjakan solat Subuh.

    Ilmu yang tidak berkat ialah ilmu yang ada di akal, ilmu dalam bentuk maklumat dan pengetahuan, tidak menjadi cahaya dan petunjuk.

    Apabila ilmu tidak berkat, ia hanya boleh berhujah, tetapi tidak boleh merubah mereka.

    Contohi sifat positif lebah

    RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan (yang dihinggapinya).” (Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar).
    Seorang mukmin adalah manusia yang memiliki sifat unggul. Sifat berkenaan membuatnya memiliki keistimewaan dibandingkan dengan manusia lain.

    Sehingga di mana pun mereka dia berada, ke mana pun mereka pergi, apa yang mereka lakukan, apa peranan dan tugas apa pun yang mereka lakukan selalu membawa manfaat dan maslahat bagi manusia lain.

    Maka jadilah dia orang yang seperti dijelaskan Rasulullah, “Manusia paling baik adalah yang paling banyak memberikan manfaat bagi manusia lain.”


    Kehidupan ini agar menjadi indah, menyenangkan, dan sejahtera memerlukan manusia seperti itu. Menjadi apa pun, dia akan menjadi yang terbaik; apa pun peranan dan fungsinya maka segala yang dia lakukan adalah hal yang membuat orang lain, menjadi bahagia dan sejahtera.

    Nah, sifat yang baik itu antara lain terdapat pada lebah. Rasulullah SAW dengan penyataan dalam hadis di atas mengisyaratkan agar kita mencontohi sifat positif yang dimiliki oleh lebah.

    Tentu saja, sifat itu sendiri memang adalah ilham daripada Allah SWT seperti mana yang Dia firmankan, “Dan Tuhanmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah: ‘Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia.

    “Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” (Surah An-Nahl ayat 68-69).

    Sekarang, bandingkan apa yang dilakukan lebah dengan apa yang seharusnya dilakukan seorang mukmin, seperti berikut: Hinggap di tempat yang bersih dan menyerap hanya yang bersih.

    Lebah hanya hinggap di tempat-tempat pilihan. Dia sangat jauh berbeza dengan lalat. Serangga yang terakhir amat mudah ditemui di tempat sampah, kotoran, dan tempat berbau busuk.

    Tapi lebah ia hanya mendatangi bunga-bungaan atau buah-buahan atau tempat bersih lainnya yang mengandung bahan madu.

    Begitulah pula sifat seorang mukmin. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu. (Surah Al-Baqarah ayat 168).

    (Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah Al-A’raf ayat 157).

    Kerananya, jika ia mendapatkan amanah dia akan menjaganya dengan sebaik-baiknya. Ia tidak akan melakukan rasuah, pencurian, penyalahgunaan sewenang-wenangnya, manipulasi, penipuan dan dusta.

    Segala kekayaan hasil perbuatan tadi adalah khabaits (kebusukan). Mengeluarkan yang bersih. Siapa yang tidak kenal madu lebah. Semuanya tahu madu mempunyai khasiat kepada kesihatan manusia.

    Tapi dari organ tubuh manakah keluarnya madu itu? Itulah salah satu keistimewaan lebah. Dia produktif dengan kebaikan, bahkan daripada organ tubuh yang pada binatang lain hanya melahirkan sesuatu yang menjijikkan ditemukan pula produk lebah selain madu yang juga diyakini mempunyai khasiat tertentu untuk kesihatan: air liurnya!

    Seorang mukmin adalah orang yang produktif dengan kebajikan. “Hai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” (Surah Al-Hajj ayat 77).

    Al-khair adalah kebaikan atau kebajikan. Akan tetapi al-khair dalam ayat di atas bukan merujuk pada kebaikan dalam bentuk ibadah ritual. Sebab, perintah ke arah ibadah ritual sudah diwakili dengan kalimat “rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabbmu” (irka’u, wasjudu, wa’budu rabbakum).

    Al-khair di dalam ayat itu bermakna kebaikan atau kebajikan yang buahnya dirasakan manusia dan makhluk lainnya. Segala yang keluar dari dirinya adalah kebaikan.

    Hatinya jauh daripada prasangka buruk, iri, dengki; lidahnya tidak mengeluarkan kata-kata kecuali yang baik perilakunya tidak menysahkan orang lain melainkan malah membahagiakan; hartanya bermanfaat bagi banyak manusia; kalau dia berkuasa atau memegang amanah tertentu, dimanfaatkannya untuk sebesar-besar manfaat manusia.

    Tidak pernah merosak seperti yang disebutkan dalam hadis yang sedang kita bahas ini, lebah tidak pernah merosak atau mematahkan ranting yang dihinggapi.

    Begitulah sifat seorang mukmin. Dia tidak pernah melakukan kerosakan dalam hal apa pun: baik material mahupun bukan material. Bahkan dia selalu melakukan kebaikan terhadap orang lain.

    Dia melakukan kebaikan akidah, akhlak, dan ibadah dengan cara berdakwah. Mengubah kezaliman apa pun bentuknya dengan cara berusaha menghentikan kezaliman itu.

    Jika kerosakan terjadi akibat rasuah, ia perlu membanterasnya kemudian menjauhi perilaku buruk itu. Berbalik kepada lebah, ia serangga yang kuat bekerja.

    Ketika muncul pertama kali dari biliknya (menetas), lebah membersihkan bilik sarangnya untuk telur baru dan setelah berumur tiga hari ia memberi makan larva, dengan membawakan serbuk sari madu.

    Begitulah, hari-harinya penuh semangat berkarya dan beramal. Bukankah Allah pun memerintahkan umat mukmin untuk bekerja keras? “Maka apabila kamu selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.” (Surah al-Insyirah ayat 7).

    Kerja keras dan semangat pantang undur itu lebih dituntut lagi dalam upaya menegakkan keadilan. Meskipun memang banyak yang cinta keadilan, namun kebanyakan manusia kecuali yang mendapat rahmat Allah- tidak suka jika dirinya “dirugikan” dalam menegakkan keadilan.

    Bekerja secara berkumpulan (jama’i) dan tunduk pada satu pimpinan. Lebah selalu hidup dalam kelompok besar, tidak pernah menyendiri.

    Mereka pun bekerja secara kolektif dan masing-masing mempunyai tugas sendiri. Ketika mendapatkan sumber sari madu, mereka akan memanggil teman-temannya untuk menghisapnya.

    Demikian pula ketika ada bahaya, seekor lebah akan mengeluarkan feromon (suatu zat kimia yang dikeluarkan oleh binatang tertentu untuk memberi isyarat tertentu) untuk memanggil teman-temannya untuk membantu dirinya.

    Itulah seharusnya sikap orang beriman. “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah Ash-Shaff ayat 4).

    Tidak pernah melukai kecuali kalau diganggu. Lebah tidak pernah memulakan serangan. Ia akan menyerang ketika terasa terganggu atau terancam.

    Untuk mempertahankan “kehormatan” umat lebah itu, mereka rela mati dengan melepas sengatnya di tubuh pihak yang diserang. Sikap seorang mukmin: musuh tidak dicari.

    Tapi jika ada, tidak lari. Itulah beberapa karakter lebah yang perlu dicontohi orang beriman. Bukanlah sia-sia Allah menyebut dan mengabadikan binatang kecil itu dalam al-Quran sebagai salah satu nama surah: An-Nahl. Allahu a’lam.

    Dosa racuni hati, perasaan

    MENJADI nikmat paling berharga dalam kehidupan manusia apabila memiliki jiwa tenang. Jiwa tenang akan sentiasa berbahagia dalam mengharungi setiap cabaran, malah masih mampu tersenyum menghadapinya.
    Jiwa tenang tidak mudah berputus asa, mengeluh dan berperasaan hasad dengki kerana semua sifat mazmumah itu boleh memusnahkan diri.

    Semua cabaran kehidupan perlu dihadapi dengan sikap positif kerana perjuangan memupuk sifat terpuji akan melahirkan jiwa tenang. Dalam dunia moden ini, penyakit jiwa dikenali sebagai gangguan psikologi.

    Ia memerlukan rawatan segera kerana kesannya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Alangkah manisnya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan dan ketenteraman.


    Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu.

    Jiwa tak tenteram sebenarnya mempunyai sebab tersendiri. Antara sebab utamanya adalah melakukan dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan.

    Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang disebabkan daripada anggota badan. Tujuh anggota badan paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan, Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

    Mata hendaklah digunakan bagi melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram atau yang lucah. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah.

    Perut mesti diisi dengan makanan yang halal. Sebab yang menjadikan diri tidak tenang juga berpunca daripada hati kotor. Bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.

    Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat ialah ketenangan yang dibawa. Rumah pula ialah hati manakala anjing adalah menggambarkan sifat dan akhlak tercela.

    Jika kita mempunyai akhlak tercela, hati bertindak sebagai rumah itu pasti menjadi kotor dan ketenangan tidak akan datang menjenguk.

    Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggal mereka tetapi syaitan yang akan 'menetap'.

    Sifat tercela membuatkan seseorang sering menjadi risau. Hasad dengki pula membuatkan mereka tidak suka melihat orang senang, bersifat takbur, ego serta sombong.

    Itulah tekanan pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya. Begitu juga ujub dan riak kerana sifat demikian berpunca daripada perasaan mereka mahu dilihat sempurna sedangkan orang lain dipandang rendah.

    Begitu juga sifat bakhil atau kedekut. Mereka tidak akan pernah tenang, hatinya akan terikat dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat orang gundah.

    Cintakan kemasyhuran dan popular langsung tiada perasaan rendah diri, hati akan gelisah. Sifat pemarah membuatkan orang menjadi pendendam. Hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.

    Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia bagaimana untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Yunus ayat 57).

    Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran mampu mententeramkan jiwa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama-sama, melainkan turun ke atas mereka 'as-sakinah' (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya." (Riwayat Bukhari )

    Elak riak dalam ibadat


    SEGALA amalan yang kita lakukan termasuk solat, membaca al-Quran, berzakat, menolong orang susah dan belajar perlu diniatkan ikhlas semata-mata kerana Allah.
    Sekiranya niat kita bercampur dengan perasaan riak, mahu dipuji, kerana pangkat, mengharapkan habuan tertentu bermakna kita sudah tersasar daripada reda dalam mentaati Allah.

    Kita berniaga tetapi sering lalai dalam menunaikan ibadat wajib seperti solat, mengeluarkan zakat jadi semua itu perkara sia-sia. Ia tidak tidak dikira ibadat kerana tidak memenuhi maksud sebenar beribadat kerana Allah.

    Perasaan riak juga boleh menjadikan amalan kita menjadi sia-sia. Malah, perkara itu seperti menipu diri sendiri, dan mengotorkan jiwa.


    Allah sangat murka pada mereka yang hidupnya menunjuk-nunjuk, mengampu dan mengambil kesempatan hakikatnya tidak dapat bertahan lama, lambat-laun tembelangnya pecah juga.

    Rasulullah menyatakan, riak termasuk dalam kategori syirik seperti sabdanya yang bermaksud:

    “Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riak.”

    Pengertian riak adalah beramal kerana manusia dan bukannya kerana Allah. Ada manusia yang diselubungi perasaan beramal kerana Allah, tetapi pada masa sama ada sedikit perasaan riak apabila ingin dilihat orang lain.

    Baginda bersabda maksudnya:

    “Bahawa sesungguhnya setiap sesuatu perbuatan itu mestilah dengan niat dan tiap-tiap sesuatu perbuatan itu dinilai mengikut apa yang diniatkan.”

    Makna ikhlas merujuk kepada sesuatu perbuatan dan tanggungjawab dengan kesengajaan hanya kerana Allah, tidak bermuka-muka dan tidak mengharapkan pujian manusia.

    Dalam budaya kerja, ikhlas adalah melakukan tugas kerana menunaikan tanggungjawab tanpa mengampu atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

    Sering kali makna kerana Allah kabur dan tidak jelas. Niat kerana Allah juga bermakna bersama Allah. Justeru, ikhlas membawa makna kualiti kerana rasa diperhatikan Allah sebab Allah sentiasa bersama.

    Bagaimanakah perasaan seorang pekerja apabila kerjanya diperhatikan majikannya? Sudah tentu dia buat dengan sungguh-sungguh iaitu penuh dengan kualiti.

    Orang Islam sepatutnya lebih cemerlang daripada bukan Muslim kerana mereka terikat dengan peraturan pejabat dan tuntutan budaya kerja cemerlang yang disarankan Islam.

    Berikut adalah petanda yang menjadi ukuran sebenar keikhlasan supaya dapat menjauhkan diri daripada bersifat riak antaranya:

    l Tidak mengejar publisiti, melakukan kerja bukan hendak dipuji tetapi menunaikan tugasnya dan bila dipuji tidak lupa diri.

  • Tidak suka menyalahkan orang lain. Orang ikhlas kerap menyalahkan diri sendiri.

  • Bekerja senyap jauh daripada sorotan, mereka berkorban tanpa mengungkit. Mereka laksana akar kepada pokok, tertanam di dalam tanah tanpa orang nampak.

  • Tidak lokek untuk memuji orang yang patut dipuji. Mengucap tahniah kepada mereka yang wajar dihargai jasanya. Dalam konteks ini manusia selalu berhadapan dengan dua kelemahan. Pertama, memuji dan memuja orang yang tidak berhak. Kedua, tidak menghargai dan memuji orang yang patut dipuji. Rasulullah walaupun manusia yang paling sempurna tidak lokek memuji Abu Bakar, Uthman, Umar dan Ali.

  • Bekerja tanpa mengira kedudukan, baik sebagai pemimpin atau sebagai pengikut seperti kisah Khalid al-Walid.

  • Gembira dengan kemunculan tokoh baru dan bersedia memberi laluan kepada mereka membuktikan kebolehan dan kepakaran tanpa diganggu-gugat, dicemburui sebab orang tidak ikhlas biasanya gelisah dengan kemunculan tokoh baru.

  • Sabar dan istiqamah sepanjang masa, tidak lemah semangat, tidak buat ala kadar sebab pendorongnya kerana Allah bukan kerana manusia. Jika buat kerana orang, bila dipuji rajin, bila dikeji malas.

    Justeru, keikhlasan hati itu menjadi pedoman kepada seseorang dalam melakukan apa saja pekerjaan. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan sudah pasti hatinya tidak mudah patah atau putus harapan sehingga mencapai apa yang dicita-citakan.

  • Penebang pokok dan kapak tumpul

    AL-KISAH pada masa zaman dulu ada seorang penebang kayu menerima pelawaan daripada seorang majikan untuk memotong pokok di hutannya.
    Kerana gaji dan kerja yang dijanjikan sangat lumayan, penebang pokok itu bertekad untuk bekerja sebaik mungkin demi membalas budi dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

    Ketika mula bekerja, majikannya memberikan sebilah kapak dan menunjukkan kawasan kerja yang perlu dilakukan dalam masa yang ditentukan.

    Hari pertama bekerja, dia berjaya menumbangkan lapan batang pokok. Pada petangnya, selepas mendengar hasil kerjanya sangat baik, majikan itu memberikan pujian kepadanya.


    “Hasil kerjamu sungguh luar biasa! Saya sangat kagum dengan kemampuan kamu menebang pokok itu. Belum pernah ada sesiapa sepertimu sebelum ini. Teruskan bekerja seperti itu,” kata majikan itu.

    Pujian daripada majikannya itu memberikannya motivasi untuk terus melaksanakan kerjanya. Pada keesokan harinya, penebang itu bekerja lebih keras lagi, tetapi kali ini dia hanya berjaya menumbangkan tujuh batang pokok.

    Hari ketiga pula, dia bekerja lebih keras lagi namun hasilnya tetap tidak memuaskan bahkan mengecewakan. Semakin hari semakin sedikit pokok yang ditebangnya.

    “Sepertinya aku kehilangan kemampuan dan kekuatanku, bagaimana aku dapat terus bertanggungjawab hasil kerjaku kepada majikan?,” fikir penebang pokok itu kerana dia merasa malu dan putus asa.

    Dia menghadap majikannya sambil kepalanya tertunduk lalu meminta maaf atas hasil kerja yang kurang memberangsangkan itu.

    Dia mengeluh kerana tidak mengetahui apa yang terjadi.

    Majikan itu bertanya kepadanya: “Bila masanya kamu mengasah kapak kamu?””Mengasah kapak? Saya tidak mempunyai masa untuk itu, saya sangat sibuk setiap hari menebang pokok dari pagi hingga petang dengan sekuat tenaga,” kata penebang itu.

    “Nah, di sinilah masalahnya. Ingat, hari pertama kamu kerja? Dengan kapak baru yang terasah tajam, maka kamu mampu menebang pokok dengan hasil luar biasa.

    “Hari-hari berikutnya, dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak yang sama tetapi tidak diasah, kamu tahu sendiri, hasilnya semakin menurun.

    “Maka, sesibuk mana pun kamu perlu meluangkan masa untuk mengasah kapakmu, supaya setiap hari kamu bekerja dengan tenaga yang sama dan hasil yang maksimum.

    “Sekarang pergilah asah kapakmu dan segera kembali bekerja!,” perintah majikan.

    Sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mengucap terima kasih, penebang itu berlalu di hadapan majikannya untuk mengasah kapaknya.

    Sebenarnya betullah kata bijak pandai. Istirahat bukan bererti berhenti, tetapi untuk menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi dan mencabar.

    Sama seperti penebang pokok itu, kita pun setiap hari dari pagi hingga malam hari, seolah-olah terjebak dalam kesibukan.

    Sibuk, sibuk dan sibuk, sehingga sering kali kita lupa untuk berehat iaitu istirahat seketika mengasah serta mengisi hal-hal baru untuk menambah pengetahuan, wawasan apa lagi soal spiritual, ibadah, soal matlamat supaya kita lebih bermotivasi.

    Jangan sibuk mencari kelemahan dan kesilapan orang lain, tetapi sibuklah mencari kesilapan sendiri, dengan bermuhasabah, bermujahadah dengan memperbanyakkan membaca.

    Dengan ilmu sahajalah kita boleh berada di mana sahaja sebab ilmu yang kita galas tidak pernah membebankan kita. Ilmu bagaimana mengenal Allah mesti diperbaharui, ilmu mengenai kenabian, malah ilmu diri kita sendiri.

    Dari mana kita datang, di mana kita sekarang, apa yang patut kita lakukan sekarang di dunia dan selepas ini ke mana kita akan pergi. Semoga tazkirah kali ini kita sentiasa tajam dengan ilmu dan keprihatinan terhadap tanggungjawab seharian barulah hari mendatang menjadi lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari sebelumnya.

    Buang sifat manja, ayuh jadi pejuang!

    BERSYUKURLAH kita dengan limpahan nikmat kemudahan pada zaman yang serba canggih dan moden ini. Jika kita tidak bersyukur jadilah kita orang yang kufur dan nikmat itu akan menjadi bala, malapetaka serta azab.
    Raya sudah, merdeka pun sudah cuma orang yang meraikannya perlu bebas dari cengkaman penjajahan nafsu dan beraya pula setelah berpuasa dengan jiwa baru serta peribadi yang lebih berdisiplin hasil tarbiah Ramadan.

    Hari raya adalah lambang perjuangan. Begitu juga dengan kemerdekaan yang kita miliki adalah hasil perjuangan.

    Hidup ini perlu berjuang, berani hidup berani berjuang, berani berkorban, kalau tak berani berkorban jangan berjuang dan kalau tak berani berjuang berhentilah hidup.


    Kali ini penulis mahu mengajak remaja untuk menjadi pejuang bukannya menjadi terlalu manja. Hidup bukan hanya menunggu tetapi memburu, hidup untuk memerhati bukan hanya ingin diperhati, hidup bukan menunggu bantuan tetapi kita yang membantu.

    Hari ini remaja mula nampak terlalu manja. Semuanya perlu disediakan, disogok dan dihidangkan di depan mata. Mereka tidak reti hidup susah dan jika diuji dengan kesusahan mereka mula merungut dan bising.

    Kalau panas sikit bising, kalau busuk sikit bising, belajar banyak sikit mula rimas. Mereka ingin semuanya ‘instant’ tanpa perlu bersusah payah.

    Bila bekerja hendak cepat naik, lambat sikit kenaikan terus tukar kerja, kalau kerja berat sikit cari kerja lain, kena tegur cepat melenting dan terus berhenti kerja.

    Anak remaja pula pantang dimarah. Apabila ditegur mudah benar keluar rumah, cikgu marah sikit sudah tak nampak muka di sekolah, ada yang ponteng atau tukar sekolah.

    Yang buat perniagaan nak cepat kaya hingga tak kira pula cara dan proses mendapatkannya. Kena pujuk sikit sudah cepat lupa walaupun menjadi alat kepada sindiket antarabangsa gara-gara hendak senang dan seronok, walaupun sudah banyak kali di laporkan berita di akhbar.

    Artis dan penyanyi mahu cepat popular dan terkenal kerana masing-masing sudah meletakkan sasaran tetapi yang salahnya sanggup melakukan apa saja bukan kerana bakat atau dan kebolehan yang dimilikinya.

    Orang politik pun terkena juga kerana mahu cepat masuk ‘ranking’. Cara lama ada tapi lambat. Sebenarnya bukan semua yang terbabit tetapi ia sudah nampak parah.

    Nak salahkan mereka 100 peratus memang tidak boleh dan tak patutlah. Mereka memang terdidik dalam budaya cepat atau ‘instant’ berkenaan.

    Lihatlah sekarang, hendak kirim berita tidak perlu ke pejabat pos lagi kerana sudah cukup dengan menghantar sms atau e-mail. Jumpa kawan sekarang hanya membuka laman sosial facebook, hendak tahu berita dunia tidak perlu ke kedai membeli akhbar kerana semuanya hanya di hujung jari.

    Malah membeli-belah juga ada yang tidak perlu bersusah payah pergi pusat membeli-belah kerana semuanya menerusi pembelian secara online atau kad kredit barang boleh sampai terus ke pintu rumah.

    Segala kecanggihan yang sedang kita nikmati hasil perahan tenaga dan daya juang berfikir yang tidak pernah kenal erti penat lelah.

    Kita tahu semua ini bukan lahir sekelip mata seperti Aladdin dengan lampu ajaibnya. Kita tak tahu mungkin beribu kali mereka gagal ketika proses menterjemah impian di hati dan fikiran kepada realiti teknologi.

    Sebagai pengguna kita hanya mengguna benda mati ini untuk membantu kita hidup tetapi mereka yang hidup hatinya berfikir bagaimana nak menghidupkan fikiran dan kreativiti setelah menggunakan benda mati ini.

    Sedarlah bahawa kejayaan dan pencapaian itu ada masa dan ‘edahnya’. Hendak jadi doktor pakar ada edahnya, nak jadi akauntan ada tempoh masanya, nak jadi jurutera ada perlu masanya, nak jadi seorang ulama dan pendakwah apatah lagi sangat memerlukan masa dan ketekunan ilmu serta kefahaman.

    Kemanjaan memang naluri percintaan dan kasih sayang tetapi jiwa pejuang jangan tidak boleh sangat dimanjakan sebab orang yang manja tidak boleh di ajak berjuang.

    Kepada orang tua, didiklah generasi kita mengenai proses untuk mendapatkan sesuatu dan dari situ barulah mereka sedar dan faham sejarah terjadinya sesuatu.

    Nabi Muhammad s.a.w melalui proses amat getir sebelum mencipta kecemerlangan.
    Kalau kita jumpa orang-orang hebat mereka tidak bercerita mengenai harta, pangkat, sanjungan yang dimiliki tetapi mereka berkisar mengenai susah payah mereka mendaki ke puncak.

    Orang manja hanya ingin diperhati bukannya memberi perhatian.

    Yang manja-manja hanya mahu dihargai bukannya menghargai, mudah memberi kritikan tetapi tidak ada aksi. Buangkan sifat manja dan buktikan kita bersiap sedia bekerja untuk agama bangsa dan negara.

    Usah ragu terhadap Allah

    IMAN adalah membenarkan dengan hati, mengucapkan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan (beramal). Dengan demikian, iman kepada Allah bererti meyakini dengan sepenuh hati Allah itu ada.
    Sebagai Muslim, jangan ada sebarang keraguan terhadap Allah. Kadang-kadang kita alpa untuk mencari dan mengenali Allah. Ilmuwan, ustaz serta mubaligh janganlah berputus asa dalam memperkenalkan Allah kepada penganutnya yang masih tercicir dengan ilmu tauhid ini.

    Gunakan segala kebijaksanaan dalam mengajar, manalah tahu cara berhikmah kita menjadi sebab untuk mereka akhirnya mencintai Allah terutamanya kepada yang setengahnya mengenal Tuhan menggunakan logik akal saja tanpa berpandukan hujah naqli (ayat al-Quran dan hadis).

    Islam sememangnya logik dan masuk akal walaupun berbicara mengenai perkara ghaib, qada dan qadar, jin dan sebagainya yang hanya nampak tersembunyi sedangkan sangat jelas kalau dilihat dengan dalil al-Quran dan hadis serta rohani yang bersih.


    Sebagai contoh yang kita pernah dengar sekiranya kita membelek kitab ringan untuk mereka yang baru belajar, rasanya sangat sesuai untuk tatapan remaja di ruangan tazkirah kali ini.

    Contohnya, kisah seorang pemuda yang belajar di negara barat kononnya mendakwa dirinya pandai. Apabila pulang ke tanah air, dia mencari orang pandai kerana ingin berhujah mengenai ketuhanan dan perkara ghaib.

    Akhirnya dia bertemu seorang tua yang alim. Tanya pemuda berkenaan: Anda siapa? Dan apakah boleh menjawab pertanyaan saya?

    Jawab orang tua berilmu itu: Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan cuba menjawab pertanyaan anda.

    Tanya pemuda: Anda yakin? Sedangkan profesor dan ramai orang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya.



    Jawab orang tua alim itu: Insya-Allah saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.
    Tanya pemuda: Saya ada tiga pertanyaan.


    1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukkan kewujudan Tuhan kepada saya?

    2. Apakah yang dinamakan takdir?

    3. Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukkan ke dalam neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan sebab mereka memiliki unsur yang sama. Sama-sama daripada api. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?

    Tiba-tiba orang itu menampar pipi pemuda itu dengan kuat. Tanya pemuda itu sambil menahan sakit: Kenapa anda tampar saya, adakah marah kepada saya?

    Jawab orang alim itu: Saya tidak marah... tamparan itu adalah jawapan saya atas tiga pertanyaan yang anda ajukan kepada saya.

    Pemuda: Saya sungguh-sungguh tidak mengerti.

    Tanya orang alim: Bagaimana rasanya tamparan saya?

    Jawab pemuda: Tentu saja saya merasakan sakit.

    Tanya orang alim: Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada?

    Jawab Pemuda: Ya.

    Tanya alim: Tunjukkan pada saya wujud sakit itu!

    Jawab Pemuda: Saya tidak mampu.

    Orang alim: Itulah jawapan pertanyaan pertama. Kita tidak nampak sakit tapi rasa sakit dan percaya adanya sakit itu. Allah tidak nampak tetapi kena percaya adanya Allah. Semua merasakan ada Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya.

    Tanya orang alim: Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya?

    Jawab pemuda: Tidak.

    Tanya alim lagi: Apakah anda terfikir akan menerima tamparan dari saya hari ini?

    Jawab pemuda: Tidak.

    Si alim menjawab: Itulah yang dinamakan takdir, kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok dan hari-hari mendatang.

    Tanya si alim lagi: Tangan saya diperbuat daripada apa yang digunakan untuk menampar anda?

    Jawab pemuda: Kulit.

    Tanya si alim lagi: Pipi anda dibuat daripada apa?

    Jawab pemuda: Kulit.

    Tanya si alim lagi: Bagaimana rasanya tamparan saya?

    Jawab Pemuda: Sakit.

    Jawab si alim: Tangan saya dan pipi anda sama sahaja. Ada kulit, daging tetapi anda boleh rasa sakit juga. Jika Tuhan berkehendak maka neraka akan menjadi tempat menyakitkan untuk syaitan.

    Sebagaimana juga tangan saya sama ada daging atau kulit, sepatutnya anda tidak merasa sakit.

    Semoga contoh tidak seberapa ini akan menjadi iktibar mengenai yang ghaib dan tersembunyi sebenar ada dan mesti dipercayai.

    Waktu mustajab untuk berdoa

    BERDOA adalah otak ibadat. Begitulah besarnya kedudukan doa. Lagi banyak kita mohon bertambah sayang Allah kepada kita dan ia berbeza dengan manusia, lagi banyak kita minta, lagi banyak kita dimarahi atau dimaki.
    Doa sifat perhambaan manusia dan mereka diciptakan untuk hamba-Nya. Supaya doa mudah diterima kita patut meneliti serta mengetahui waktu yang sangat mustajab untuk berdoa antaranya ialah:



  • Pada waktu sepertiga malam iaitu waktu terakhir, ketika orang lain nyenyak tidur. Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Mereka (muttaqin) sedikit sekali tidur pada waktu malam dan pada akhir malam, mereka memohon ampun (kepada Allah)” (Surah Adz-Dzariyat ayat 18-19).
    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Rabb (Tuhan) kita turun di setiap malam ke langit terendah iaitu ketika sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan.
    Siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya dan siapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan untuknya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


  • Waktu antara azan dan iqamah iaitu ketika menunggu solat berjemaah. Sayangnya waktu mustajab ini sering disalahgunakan sesetengah umat Islam yang kurang mengerti sunnah sehingga diisi dengan hal tidak baik dan tidak dianjurkan Islam, membicarakan urusan dunia yang tidak bernilai ibadat.


  • Pada waktu sujud iaitu sujud di dalam solat atau sujud lain yang diajarkan Islam seperti sujud syukur, sujud tilawah dan sujud sahwi.

    Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kedudukan hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam keadaan sujud, maka perbanyaklah doa” (Hadis riwayat Muslim).

    Hadis Ibnu Abbas r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w membuka tabir (ketika baginda sakit), sementara orang ramai sedang berbaris (solat) di belakang Abu Bakar r.a lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada lagi daripada mubasysyirat nubuwwah (khabar gembira kenabian) kecuali mimpi baik yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan untuknya. Ingatlah bahawasanya aku dilarang untuk membaca al-Quran ketika rukuk atau ketika sujud. Adapun di dalam rukuk, agungkanlah Allah dan adapun di dalam sujud, bersungguhlah berdoa, sebab (hal itu) segera dikabulkan bagi kamu” (Hadis riwayat Muslim).


  • Selepas solat fardu iaitu selepas melaksanakan solat wajib lima waktu termasuk selepas solat Jumaat. Allah berfirman, maksudnya: “Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan selesai solat” (Surah Qaaf ayat 40).

    Oleh kerana itu, Imam Syafie dan pengikutnya menjelaskan, dianjurkan bagi imam dan makmumnya serta orang yang solat sendirian memperbanyakkan zikir, wirid dan doa selepas selesai solat fardu.

    Dianjurkan membaca doa dengan perlahan kecuali jika makmum belum mengerti, imam boleh menguatkan bacaan agar makmum menirunya. Apabila mereka mengerti, kembalilah secara perlahan.


  • Pada waktu khusus tetapi tidak diketahui dengan pasti batasannya iaitu satu detik pada setiap malam dan setiap hari Jumaat.

    Ini berdasarkan hadis Jabir r.a, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di malam hari ada satu saat (yang mustajab), tidak ada seorang Muslim pun yang bertepatan pada waktu itu meminta kepada Allah kebaikan urusan dunia dan akhirat melainkan Allah pasti memberi kepadanya” (Hadis Riwayat Muslim).

    Hadis Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah menyebut hari Jumaat, baginda bersabda: “Di dalamnya ada satu saat (yang mustajab), tidaklah seorang hamba Muslim yang kebetulan waktu itu sedang mendirikan solat (atau menunggu solat) dan memohon kepada Allah sesuatu (hajat) melainkan Allah pasti mengabulkan permohonannya.” Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan tangannya akan sedikitnya saat mustajab itu (Hadis riwayat al-Bukhari).

    Di dalam hadis Muslim dan Abu Daud dijelaskan: “Iaitu waktu antara duduknya imam (khatib) sehingga selesainya solat (Jumaat).” Inilah riwayat yang paling sahih dalam hal ini.

    Sementara dalam hadis Abu Daud yang lain, Nabi s.a.w memerintahkan agar kita mencarinya pada akhir waktu Asar. Waktu lain yang mustajab ialah sepertiga akhir malam, ketika hujan turun, waktu awal pagi ketika dengar ayam berkokok, ketika berpuasa, ketika bermusafir, bulan Ramadan dan pada 10 akhir Ramadan.

  • Kasihi, selalu dekati anak

    ANAK-anak adalah permata paling berharga setiap pasangan. Mereka menjadi pelengkap kepada kebahagiaan yang dikecapi ibu bapa di dunia ini.
    Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka menjadi insan soleh dan solehah. Paling penting, anak perlu dilatih bersolat, dilatih mencium tangan serta memeluk dengan penuh kasih dan sayang.

    Jika anak bijak dan sering memenangi pertandingan di sekolah, jangan lupa ucapkan tahniah, peluk dan cium mereka tanda penghargaan. Ketika usia mereka mencapai 14 hingga 21 tahun, jadikan mereka kawan.

    Jangan pula pada usia begini ibu bapa mula merenggangkan hubungan dengan anak-anak hingga mereka menjadi anak derhaka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Berguraulah dengan anak kamu ketika usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Selepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran).”


    Ibu bapa mungkin mempunyai alasan tidak rapat dengan anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain iaitu apabila pulang di tengah malam, anak-anak sudahpun tidur, kita boleh pergi bilik dan mencium dahi mereka.

    Walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup. Jangan tunjuk sikap panas baran dan pemarah kepada mereka. Jangan sesekali mengherdik mereka dengan perkataan negatif seperti kurang ajar, bodoh atau dengan sumpah seranah kerana ia boleh jadi doa buat mereka.

    Orang tua biasanya, pantang sungguh apabila anak menegur kesalahan. Jangan berasa tercabar kerana bisa ular tidak hilang walaupun menyusur akar.

    Saidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima.
    Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, kalau berjumpa anak kecil, baginda hormat dan sayang.

    Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai.

    Sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak dan kalau menegur pun dengan herdikan.

    Anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, apabila jumpa kawan baik tidak mengapa. Jika Allah menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat.

    Tetapi apa caranya jika orang tua sudah meninggal tetapi ketika hidupnya kita derhaka? Apabila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah dan bacakan ayat suci untuknya.

    Jumpa semula kawan atau jiran dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu reda dan Allah ampunkan dosa mereka.

    Allah Maha Pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup pasti tidak tenteram.

    Justeru, pertama, pastikan hubungan kita dengan Allah adalah baik kemudian turun pula ke peringkat kedua iaitu hubungan dengan ibu. Pastikan hubungan dengan ibu sentiasa harmoni dan lancar.

    Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Nabi s.a.w suruh utamakan ibu.

    Sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biarlah sama supaya kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan.

    Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.

    Begitu juga dengan keluarga mentua. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkan serta menjaga mereka juga? Tidak dinafikan, ada menantu yang berkecil hati dan memendam perasaan terhadap mentuanya.

    Bersabarlah dan teruskan hubungan baik dengan mereka. Kewajipan anak lelaki pertama sekali kepada Allah, kedua kepada Rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri.

    Isteri kena faham, kalau suaminya sayang dan melebihkan ibu bapanya, itu memang wajar. Bagi anak perempuan pula keutamaan pertama adalah kepada Allah, kedua Rasul dan ketiga suami.

    Justeru, jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.

    Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail a.s. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah.

    Isterinya pun tidak kenal mentuanya. Menantunya bersikap kasar menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati. Sebelum pulang dia berpesan kepada menantunya, menyuruh suaminya supaya menukar alang rumah kepada yang baru.

    Apabila Nabi Ismail pulang, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki itu, menyampaikan pesan kepada suaminya itu. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya.

    Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, yang isterinya bukan daripada kalangan wanita berakhlak, lalu diceraikan.

    7 perkara tak boleh diubah dalam hidup

    DALAM hidup ini ada tujuh hal yang tidak boleh kita ubah iaitu:
    Jenis kelamin dan jantina

    Memang boleh buat pembedahan untuk mengubah kelamin. Tetapi tidak mampu mengubah roh (spirit) orang berkenaan. Terimalah dirimu, sama ada engkau wanita atau lelaki.



    Orang tua

    Kamu mesti menghormati ibu bapa apa cara sekalipun! Jika orang tuamu seorang pemabuk, kaki judi atau pelacur, hormati mereka! jika tidak situasi itu bakal terjadi dalam kehidupan kamu kelak. Nasihat dan teguran memang tidak boleh berhenti.


    Hari kelahiran

    Sudah ditetapkan Allah, sebelum dunia dijadikan kita tidak boleh memilih tarikh lahir kita. Ia memang sudah ditentukan dan jangan sesekali kita menyesalinya.


    Bentuk Fizikal

    Jika anda mempunyai rambut keriting, terima sajalah. Jika hidung kamu kurang menarik atau kulit sawa matang terimalah seadanya. Memang kita lihat ramai orang ingin mengubah bentuk wajahnya, sama ada memancungkan hidung atau alis matanya dicukur habis tetapi tetap kelihatan aneh dan tidak semula jadi.


    Masa lalu

    Ini juga sudah ditetapkan Allah. Jangan menyesali masa yang sudah berlalu melainkan untuk menjadikannya sebagai pengajaran.

    Justeru, ‘berdamailah’ dengan masa lalu demi membina masa depan.


    Kedudukan dalam keluarga

    Kedudukan kita sebagai anak bongsu, sulung, atau tengah, tidak boleh diubah dan terimalah seadanya.


    Suku bangsa

    Jangan sekali menyesal menjadi orang Melayu, Jawa atau Cina. Sebenarnya perkara yang kita boleh dan mampu ubah adalah cara kita berfikir. Jika berubah maka berubahlah hidup kita.



    Ada lima resipi untuk melakukan perubahan diri antaranya:


  • Mulalah berubah supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga lebih yakin dengan diri anda.

    Tidak mungkin jika kita mahu mengajak orang lain berubah padahal diri sendiri masih berada pada takuk lama.


  • Lakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan, sememangnya sukar untuk terus melakukan perubahan dalam masa yang singkat atau dalam tempoh sekelip mata.

    Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah kita dapat berubah seperti yang diinginkan. Walaupun perlahan, kita pasti dapat mengalami perubahan besar dalam diri.


  • Lakukan perubahan pada masa sekarang. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lama. Ini kerana semakin lama kita bertangguh, ia menjadi semakin melarat dan susah untuk melakukannya.

    Perkara kecil jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa depan.


  • Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kita perlu memaksa diri untuk berubah dengan sepenuh hati.

    Jika diri kita tidak dipaksa seolah-olah memanjakan diri untuk berubah. Nafsu kita juga menjadi semakin degil jika tidak dipaksa.

    Kawal nafsu dan jangan biarkan ia mengawal diri kita.


  • Apabila kita sudah berjaya melakukan perubahan diri, kita perlu mengulangi perubahan itu hingga ia sebati dengan diri kita.

    Jika perubahan itu hanya dibiarkan begitu saja, kita hanya berjaya untuk berubah seketika saja dan selepas itu kembali ke takuk lama.

    Jangan sia-siakan perubahan dan perlu sentiasa melakukannya.

  • nuffnang

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...