nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 13 November 2012

Suntikan insulin ‘makanan’ anak

TANGGAL 12 April 2007, hidup seorang suri rumah ini berubah selepas mengetahui anak kesayangannya yang ketika itu baru berusia empat tahun bakal menjalani kehidupan sebagai pesakit diabetes seumur hidupnya.

Mustahil! Tidak mungkin anak sekecil itu boleh menghidap diabetes. Bagaimana ia boleh berlaku? Apa puncanya?

Itulah antara soalan yang sering bermain di fikirannya selepas menerima berita mengejutkan itu. Namun, jika sudah itu ketentuan takdir yang tertulis untuk keluarganya, dia harus reda.

Hakikat itu memang sukar diterima tetapi bagi Ambreth Kaur, 38, dia tetap berusaha dan bersabar membesarkan anak tunggalnya, Jisvinaprit Kaur yang kini berumur sembilan tahun.

Lebih mesra disapa sebagai Vina, hidupnya harus diteruskan berbekalkan ubat-ubatan seperti suntikan insulin empat kali sehari yang boleh diibaratkan sudah menjadi ‘makanan’ hariannya.

Tidak boleh langsung menyentuh makanan atau minuman bergula, semua perkara ini bagaikan peraturan kehidupan yang mesti diikuti demi kelangsungan hidup.

Menurut Ambreth, ketika kecil, badan Vina agak gempal dan normal seperti kanak-kanak lain serta mempunyai personaliti ceria. Bagaimanapun, pada satu ketika, badan Vina tiba-tiba susut secara mendadak daripada 30 kilogram (kg) kepada 14 kg saja.

Kemudian, dia minum kira-kira 10 botol air kosong setiap hari, berpeluh-peluh, muntah-muntah, demam dan di pahanya terdapat benjolan seperti jerawat yang besar.

“Semasa dia mengalami semua perkara ini, sebagai seorang ibu yang amat menyayanginya, tentu sekali saya risau. Banyak kali saya membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan tetapi doktor yang merawatnya hanya mengatakan perkara itu normal untuk seorang kanak-kanak kerana dia mungkin penat, dalam tempoh tumbesaran dan macam-macam lagi.

“Apa yang mereka (doktor) lakukan hanyalah pemeriksaan biasa dan ada sekali membuat ujian air kencing Vina. Namun, keputusannya tetap sama iaitu Vina tidak menghidap penyakit serius.

“Cuma pada satu malam, Vina mengalami demam panas, muntah-muntah dan lidahnya tergulung secara tiba-tiba. Kejadian itu sekali gus membuatkan saya terperanjat, takut dan panik kerana tidak tahu apa-apa untuk membantunya.

“Lalu saya ke rumah kakak dan meminta pertolongannya. Vina dibawa ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan kecemasan dan hanya selepas itu doktor mengesahkan Vina menghidap diabetes jenis satu,” katanya.

Doktor juga menerangkan kepada Ambreth, semua masalah kesihatan yang dialami Vina seperti dinyatakan sebelum ini adalah tanda awal penyakit diabetes.

Perasaan terkilan, kecewa dan marah terus saja membelenggu dirinya ketika itu apatah lagi, dia perlu menunggu selama sembilan tahun untuk memiliki satu-satunya cahaya mata itu.

Bagaimanapun, pengalaman berkenaan membuatkan Ambreth sedar bahaya penyakit diabetes yang jika tidak disedari awal, boleh mengakibatkan komplikasi lebih kronik sehingga membawa maut.

“Bayangkan, saya perlu mengetahui dan mempelajari mengenai penyakit ini serta terpaksa menyuntik insulin pada tubuh Vina yang ketika itu hanya berumur empat tahun.

“Kerana dia masih kecil, Vina tidak tahu apa-apa mengenai penyakit ini tetapi secara perlahan-lahan saya terangkan kepada dia. Ketika umurnya tujuh tahun, dia sudah mula faham.

“Malah, semua guru dan rakannya mengetahui keadaan Vina. Ini kerana, dia tidak boleh melakukan kerja berat atau menyertai aktiviti sukan yang terlalu lasak,” katanya yang akan memberikan insulin kepada Vina pada waktu pagi, tengah hari, petang dan malam.

Selain itu, Ambreth juga perlu mengawal pemakanan Vina dengan memberikan makanan dalam kuantiti yang kecil dan minum susu khas untuk pesakit diabetes.

Apabila penulis meminta Vina menceritakan pengalamannya sebagai seorang pesakit diabetes, jawapannya ringkas iaitu tidak suka dan menyakitkan.

Jujurnya, sesiapa saja yang mengalami nasib serupa dengannya akan bersetuju dengan kenyataan itu. Malah, tanyalah pada sesiapa saja, tidak ada seorang pun yang suka disuntik setiap hari apatah lagi perlu menjauhi makanan bergula seumur hidup.

Bercita-cita mahu menjadi seorang guru dan amat meminati sukan badminton, dia berazam mahu menjadi insan berguna dan membalas jasa ibu dan bapanya yang bertungkus-lumus menjaga dia selama ini.

“Bila besar nanti saya nak jadi cikgu, jaga emak dan ayah. Untuk itu, saya perlu belajar dengan rajin supaya impian ini tercapai,” jelasnya penuh bersemangat.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...