nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Sunday 11 November 2012

Bantu tunang gugur kandungan

SAYA berusia 20 tahun dan sudah bertunang. Saya namakan tunang saya A. Sebelum bertunang, saya berkenalan dengan A selama beberapa bulan. Saya mengambil keputusan untuk bertunang kerana saya kasihankan A.

A seorang anak luar nikah dan kehidupannya miskin. Dia tinggal bersama ibu kandungnya, tidak berpelajaran dan hidup terlalu sosial.

Pada awal perkenalan kami, saya mengetahui A mengandung beberapa bulan. Saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan A walaupun itu bukan anak saya, tapi A menolak. Akhirnya dengan bantuan saya, A menggugurkan kandungannya.

Sekarang A sudah menjadi tunang saya. Saya dan A jarang berjumpa. Itu pun sering dimarahi ibunya. Walaupun kami jarang berjumpa, ibu A ada menyuruh A memutuskan pertunangan ini. Ibu A tidak merestui hubungan kami.

Dr, apakah yang saya perlu buat? Adakah jika kami meneruskan hubungan ini, hidup kami tidak akan bahagia tanpa restu ibu A?

Insan Dilema,
Kedah




HUBUNGAN cinta yang dibina atas dasar kasihan ada kesan tersendiri. Adik membina hubungan atas dasar kelukaan dan peristiwa sedih yang dialami A. Adik berasa bertanggungjawab untuk membantu A keluar daripada kehidupan peritnya.
Niat adik sangat baik kerana ingin membimbing A.

Bagaimanapun, apa yang adik lakukan mempunyai implikasi. Apabila adik tidak berasa cinta, seolah-olah hubungan itu ada kekurangannya. Cinta itu seperti seekor kupu-kupu yang indah dan tak mungkin disentuh, tapi keindahannya dapat menjadikan sebuah taman yang menenangkan.

Cinta itu juga dengan sayap lembutnya akan membawa adik terbang ke awan.
Apabila bercinta, dalam kamus ada kata, dalam kata ada makna, dalam makna ada cinta, dalam cinta ada hati dan dalam hati ada yang tercinta.

Apabila perkahwinan lebih banyak didasarkan dengan perasaan kasihan, berkemungkinan juga kesan yang timbul ialah adik akan berulang kali memainkan cerita kisah silam diri A apabila berlaku sebarang pertelingkahan.

Jika ini berlaku, ia akan mendatangkan konflik dalam rumah tangga. Adik juga tidak dapat menerima A seadanya tanpa sebarang syarat.

Oleh itu, amat penting untuk adik membuat keputusan yang tepat sebelum mengambil sebarang tindakan untuk berumah tangga. Adik sendiri yang perlu menentukan sama ada ingin meneruskan hubungan atau tidak. Apa pun keputusan yang adik ambil, adik perlu bertanggungjawab atas tindakan itu.

Jika ingin meneruskan hubungan cinta ini, penting untuk adik menerima A seadanya dan mempunyai matlamat untuk membimbing A supaya menjadi isteri yang baik. Tidak juga akan mengungkit sahsiah A dan kisah silam buruknya.

Berikan A ruang dan peluang untuk menukar warna kehidupannya. Jika adik tidak sanggup melakukan ini, adik perlu melihat kembali hubungan ini.

Mengenai tentangan ibu A terhadap hubungan adik dengan anaknya, ia bergantung kepada sejauh mana adik dan A sanggup menempuh halangan bercinta. Sekiranya kuat, hubungan bertahan lama dan akan memasuki alam perkahwinan. Ia sebuah pengorbanan.

Dr tidak dapat menjawab persoalan sama ada hubungan adik akan berjaya atau tidak tanpa restu ibu A. Dr akui restu keluarga terutama ibu amat penting dalam kebahagiaan keluarga. Ini kerana satu perkahwinan bukan saja membabitkan pasangan suami isteri itu, tapi orang yang terdekat dengan pasangan berkenaan seperti ibu bapa.

Namun, faktor lain juga penting dalam berumahtangga. Bukan mudah untuk mengekalkan sesuatu kebahagiaan dalam rumah tangga.

Ini kerana ia membabitkan dua perasaan yang memerlukan pengorbanan yang banyak untuk membahagiakan diri sendiri dan juga orang yang berada di sisi. Sikap jujur, hormat, sabar, komunikasi yang baik dan saling memahami banyak membantu mengharmonikan rumah tangga.

Semoga adik membuat satu keputusan yang bersifat adil dan mendatangkan kebaikan kepada adik dan A.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...