nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Friday 16 September 2011

Maut selepas nahas ketiga

MANTIN: “Walaupun tiga kali suami kemalangan, tidak sangka kali ketiga ini dia pergi meninggalkan saya selama-lamanya,” kata Hamidah Ahmad, 54, isteri mangsa kemalangan maut selepas dilanggar sebuah kereta, di Jalan Mantin- Nilai, Kampung Gebok, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Mohd Khalid Abd Rani, 53, maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggang dirempuh Perodua Myvi dinaiki tiga penuntut asing sebuah kolej swasta di sini.

Hamidah berkata, ketika itu suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Rawa Tengah, Lenggeng, di sini, untuk makan malam sebelum memulakan syif baru jam 7 malam sebagai pengawal keselamatan di Batang Benar, Nilai.
Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira 15 minit selepas kejadian apabila seorang jiran ternampak motosikal suaminya tersadai di bahu jalan.

“Saya dimaklumkan suami kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian, tidak sangka dia pergi meninggalkan saya dan dua anak dalam keadaan menyayat hati.

“Makin sebak hati ini, apabila mengetahui suami turut diseret beberapa kilometer berikutan kereta itu dipandu laju oleh warga asing berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pada hari raya pertama lalu, suaminya turut kemalangan di Nilai menyebabkan bahunya terseliuh.

“Malah, sebelum kemalangan itu, beberapa hari sebelumnya, suami terjatuh daripada motosikal Honda EX5 ketika awal puasa lalu, namun tidak cedera.
“Tidak sangka kali ketiga ini, ajal menjemputnya dan tidak sempat untuk makan ayam goreng yang dimintanya sebelum kemalangan,” katanya yang juga seorang pengawal keselamatan di tempat suaminya bekerja.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kejadian berlaku selepas mangsa dipercayai mahu membuat pusingan U dan menyeberangi jalan dari arah Nilai ke Mantin.

“Perodua Myvi dinaiki tiga lelaki Afrika dari sebuah kolej swasta, Mantin berusia 18 hingga 21 tahun itu bagaimanapun tidak sempat membrek lalu merempuh belakang kiri motor.

“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh serta diseret, dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Katanya, selepas kemalangan itu, pemandu kereta berusia 21 tahun itu melarikan diri dan meninggalkan dua rakannya yang lain di dalam kereta itu.

“Namun, menyedari kami (polis) menahan dua rakannya, pemandu itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pagi tadi (semalam),” katanya.

Semua mereka kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...