nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Sunday 18 September 2011

Kumpulan pengedar dadah jadi dalang

SUNGAI GOLOK: Polis Thailand percaya kejadian tiga siri letupan bom yang menggegarkan pekan Sungai Golok kelmarin, didalangi kumpulan pengedar dadah yang cuba mengalihkan perhatian polis supaya dapat meneruskan kegiatan mereka dengan lebih lancar.
Ketua Polis Sungai Golok, Polis Kolonel Chakaporn Thenthong, berkata, pihaknya yakin sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda itu memainkan peranan penting memasang bom kawalan jauh pada sebuah kereta dan tiga motosikal sehingga tercetusnya tragedi itu.

Bagaimanapun, katanya, hanya tiga bom meletup berhampiran kawasan tokong Buddha, Hotel Parkson dan Hotel Merlin, di sini, menyebabkan tiga rakyat Malaysia dan seorang anggota sukarelawan Thailand terbunuh selepas disambar api ketika cuba memadam kebakaran sebuah kereta.
“Dua bom yang diletakkan pada motosikal mengorbankan tiga rakyat Malaysia manakala bom yang diletakkan di sebuah kereta mengorbankan seorang anggota sukarelawan Thailand yang ketika itu cuba memadam kebakaran pada kereta berkenaan. Ketiga-tiga bom meletup selang lima minit.

“Sebutir lagi bom yang diletakkan pada sebuah motosikal tidak sempat diletupkan selepas berjaya dikesan dan dimatikan pihak berkuasa. Siasatan awal dijalankan mendapati bom yang diletakkan pada kenderaan itu diletupkan menggunakan alat kawalan jauh,” katanya pada sidang media di Hotel Genting, di sini, semalam.

Menurut Chakaporn, selain empat terbunuh, lebih 60 lagi cedera, termasuk 19 rakyat Malaysia yang kebetulan berkunjung ke Sungai Golok untuk makan angin dan berhibur.

“Dua anggota polis, empat tentera dan tiga anggota sukarelawan Thailand turut cedera dan kini dirawat di Hospital Sungai Golok, “katanya.

Chakaporn berkata, pihaknya akan cuba mengesan suspek kejadian itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mungkin ada di kawasan kejadian.
Katanya, walaupun kejadian itu disifatkan antara cubaan kumpulan pengedaran dadah untuk mengalihkan perhatian polis, pihaknya akan tetap menjalankan operasi membanteras pengedaran dadah seperti biasa.

“Motif utama mereka (kumpulan pengedar dadah) sudah pasti mahu mengalihkan perhatian polis dan menjejaskan kedatangan pelancong sehingga ekonomi Sungai Golok merosot,” katanya.

“Kita berharap penduduk dari Malaysia akan tetap datang ke Sungai Golok kerana pihak berkuasa Thailand memberi jaminan keselamatan pelancong Malaysia akan dijaga seperti kami menjaga keselamatan penduduk Thailand sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...