nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Sunday 18 September 2011

Tipu samun

JOHOR BAHRU: Risau dikenakan tindakan selepas menggunakan wang syarikat, seorang kakitangan restoran makanan segera di Skudai, di sini, sengaja mengada-adakan cerita dia disamun empat lelaki bersenjata ketika dalam perjalanan memasukkan wang berjumlah lebih RM17,000 ke dalam akaun bank pada jam 11 pagi, Isnin lalu.
Bagaimanapun, tembelang lelaki berkenaan terbongkar selepas siasatan dijalankan polis mendapati kejadian itu sebenarnya tidak wujud, malah polis turut menahan seorang pekerja lain di premis sama apabila mendapati berpakat mereka cerita itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan, mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya membuat satu laporan berikutan tindakan lelaki berusia 26 tahun itu serta seorang lagi pekerja berusia awal 20-an membuat laporan palsu.
Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai terguna wang hasil jualan restoran berkenaan sebanyak RM7,000 dan menggelabah kerana tiada wang cukup bagi menggantikannya.

“Ketika menuju ke bank, dia ditemani seorang lagi pekerja tetapi apabila tiba giliran untuk memasukkan duit, lelaki berkenaan mula menggelabah kononnya wang dibawanya tercicir.

“Bagi mengelak dikenakan tindakan, lelaki terbabit kemudian berpakat dengan rakannya bahawa mereka disamun dan sebagai upah menutup mulut pekerja itu, lelaki berkenaan menjanjikan bayaran RM200,” katanya.

Ruslan berkata, ketika siasatan dilakukan, pihaknya mendapati ada yang tidak kena serta keterangan diberi meragukan sebelum memanggil semula lelaki berkenaan untuk mendapatkan kepastian.

Katanya, ini kerana beberapa kandungan dalam laporan lelaki itu meragukan dan apabila disiasat, lelaki itu mengaku dia sebenarnya mengadakan cerita.
Hasil siasatan, katanya, membawa kepada penemuan semula baki wang berjumlah RM10,000 disembunyikan di dalam ruang pejabat premis restoran makanan segera berkenaan.

Dalam laporan polis dibuat lelaki itu, dia mendakwa dokumen pengenalan diri, kad ATM serta jam tangan turut dilarikan penjenayah, tetapi ia sebenarnya diserahkan kepada rakan untuk menyimpannya buat sementara waktu.

“Kita membuat satu lagi laporan polis berhubung dakwaan palsu lelaki berkenaan dan siasatan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu kepada penjawat awam,” katanya.

“Tindakan itu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab kerana mengganggu tugasan polis, sedangkan banyak lagi tugas perlu dilakukan.

“Secara tidak langsung ia memberi gambaran negatif berhubung kadar jenayah yang sebenarnya tidak wujud, tetapi diada-adakan serta dilaporkan semata-mata untuk kepentingan individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki berkenaan bagaimanapun tidak direman, sebaliknya dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapan direkodkan.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...