nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Monday 19 September 2011

Beg sampah bergerak

SIASAT...anggota Unit K9 memeriksa beg yang ditemui bayi di dalamnya.
SIASAT...anggota Unit K9 memeriksa beg yang ditemui bayi di dalamnya. 
 
 
GEORGETOWN: “Saya lihat beg di depan taska itu bergerak-gerak dan menyangka ada kucing cuba menggeledah sampah di dalamnya.
“Tergerak hati saya untuk mendekatinya dan terkejut apabila mendapati ada bayi di dalamnya,” kata seorang warga emas yang menemui bayi perempuan dalam sebuah beg mesra alam yang ditinggalkan berdekatan taska berhampiran Lebuhraya Babington di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang petang kelmarin, wanita berusia 64 tahun yang enggan dikenali dan bertugas sebagai penyelia sebuah asrama berhampiran menitiskan air mata melihat keadaan bayi itu.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tergerak hati untuk melihat kandungan beg plastik berkenaan.

“Sebelum itu saya tidak mengendahkannya kerana menyangka ia hanya sampah.

“Nasib baik saya terasa mahu menjenguknya. Memang Tuhan sudah takdirkan umur bayi itu masih panjang dengan menggerakkan hati saya menemui dan menyelamatkannya.

“Kalau saya tak pedulikannya atau tidak lalu kawasan itu, tak tahulah apa nasibnya, mungkin bakal jadi habuan anjing liar,” katanya.

Dia kemudian membawa bayi malang itu ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum membuat laporan di Balai Polis Datuk Keramat.
Difahamkan, bayi berkenaan berkulit cerah, cukup sifat, masih bertali pusat serta seberat 3.3 kilogram belum dapat dikenal pasti bangsanya dan dipercayai ditinggalkan di kawasan itu kurang daripada tempoh 24 jam.

Sementara itu Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Timur Laut (IPDTL), Deputi Superintendan Shahurinain Jais mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, bayi berkenaan kini ditempatkan di Wad Bersalin HPP buat sementara waktu dan pihaknya turut mengambil keterangan saksi yang menemuinya bagi menjalankan siasatan serta mengesan pihak yang meninggalkannya di kawasan terbabit.

“Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik turut dihantar ke kawasan bayi itu ditemui bagi menjalankan siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 bagi membantu mengesan waris bayi berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Zulkiffli Ismail berkata, beliau belum menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan.

Menurutnya, pihaknya akan membantu mendapatkan perintah penjagaan daripada mahkamah sementara polis menjalankan siasatan mengesan warisnya.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...