nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Saturday 17 September 2011

Lori pecut kejar trip

ALOR GAJAH: Lagi cepat lagi lumayan. Itu prinsip yang mendorong sifat tamak di kalangan pemandu lori membawa batu dan pasir di sekitar daerah ini yang berlumba mengejar trip walaupun memperjudikan nasib pengguna jalan raya lain.
Tinjauan Metroplus mendapati kebanyakan pemandu lori terbabit menggadai nyawa pengguna jalan raya lain terutama di jalan kampung dan pekan dengan memandu laju.

Tinjauan di pekan Masjid Tanah, Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru mendapati beberapa lori membawa batu serta pasir berlegar di jalan utama yang dipenuhi kenderaan ringan menyebabkan kesesakan.
Pengguna, Abd Halim Rauf, 38, mendakwa beberapa lori sarat batu serta pasir berlumba mengejar trip tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Mereka (pemandu lori) sedia maklum jalan raya di kawasan ini sempit, tetapi mereka bermaharajalela tanpa mempedulikan kepentingan dan keselesaan orang lain yang berkongsi jalan berkenaan.

“Kebanyakan pemandu lori di daerah ini tidak menghiraukan ciri keselamatan dengan membawa lebih muatan dan keadaan ini dibimbangi boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.

Abd Halim berkata, pemandu terbabit perlu memikirkan keselamatan dan keselesaan pengguna lain terutama penunggang motosikal berbanding trip yang dikejar mereka setiap masa.

“Kami faham dengan kerja mereka yang terpaksa mengejar trip, tetapi jangan sampai terlupa jalan raya dikongsi dan jika keadaan ini tidak dikawal pastinya banyak berlaku kemalangan setiap hari di sini.
“Jika berlaku kesesakan biar dari kenderaan ringan dan bukan berpunca dari lori batu dan pasir terbabit yang dipandu laju tanpa mengira tempat hingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Penduduk, Siti Raihan Mutalib, 47, berkata setiap pagi ketika menghantar anak ke sekolah atau ke pasar awam, dia terpaksa memberi laluan kepada lori terbabit yang melalui jalan di daerah ini yang tergesa-gesa menuju ke destinasi.

“Ketika itu ramai pengguna jalan raya terpaksa memberi laluan kepada lori terbabit yang membawa batu dan pasir menyebabkan laluan menjadi perlahan dan berlaku kesesakan panjang,” katanya.

Katanya, keadaan itu bukan saja membahayakan kenderaan lain, malah menimbulkan kesesakan teruk dan mengganggu urusan harian pengguna lain.

“Kami bimbang dan terpaksa memberi laluan kepada lori terbabit yang saya rasa seperti kecemasan, perlu cepat sampai ke destinasi tanpa mempedulikan kenderaan ringan.

“Masalah timbul bila deretan lori di hadapan dipandu perlahan hingga kami terpaksa bersabar dengan kerenah pemandu terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...