nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Saturday 17 September 2011

Kerajaan iktiraf peranan belia dalam jayakan transformasi negara

KUALA LUMPUR: Penglibatan lebih 80 peratus belia sebagai peserta sambutan serentak Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia hari ini membuktikan kerajaan mengiktiraf golongan itu sebagai penyandang tanggungjawab menzahirkan transformasi negara.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, berkata penglibatan peserta belia membuktikan golongan itu kini sudah bersedia bersama-sama kerajaan memikul tanggungjawab menjayakan program transformasi negara.
"Saya sangat kagum dengan penglibatan belia hari ini. Saya melihat ada signifikannya apabila kumpulan belia diletakkan dalam kumpulan pertama pada kali ini," katanya yang juga Ketua Kontinjen Generasi 1Malaysia Cergas yang menyertai perarakan sambutan perayaan berganda di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.
Kontijen seramai 100 orang itu yang disertai antaranya dari Persatuan Sukan Ekstrem, Kelab One Nation Emcees - Senamrobik, Persatuan Lompat Tali Malaysia, Kumpulan Fitball dan Kumpulan Bolasepak - Freestyler mempamerkan trend masa kini remaja yang sihat, cergas dalam era serba moden.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli, berkata penglibatan ramai peserta belia dalam sambutan kali ini mampu memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara mereka.

"Golongan belia adalah tenaga penting untuk memikul tanggungjawab pada masa akan datang," katanya yang mengetuai Kontinjen Komunikasi pada perarakan tersebut. Peserta kontijen ini terdiri dari syarikat pembekal telekomunikasi seperti TM, Celcom, Tune Talk, Maxis, DiGi dan U-Mobile.

Atlet terjun negara, Pandelela Rinong berharap lebih ramai belia dapat menyertai sambutan seumpama itu pada tahun akan datang selain melahirkan keinginan untuk bersama-sama golongan belia tersebut pada sambutan tahun depan.
Beliau adalah antara tokoh muda dan veteran yang mengambil bahagian dalam Kontinjen Generasi 1Malaysia Berjaya yang berarak dengan menaiki Proton Lotus serta kenderaan klasik.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli, berkata daripada 10,073 peserta yang terbabit, seramai 8,500 peserta adalah golongan belia.

Beliau yang juga Penyelaras Acara sambutan berkata, penglibatan peserta belia pada kali ini berjaya memberi satu gambaran baru kepada corak persembahan yang dilihat lebih bertenaga, cergas dan rancak.

"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan hari ini. Apa yang dirancang sebelum ini diterjemahkan dengan baik oleh para peserta. Rata-rata penonton juga berpuas hati dan mereka berkata persembahan tahun ini ada kelainan berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI), Mohamad Saiful Hadi yang hadir sebagai tetamu negara melahirkan rasa kagum dengan sikap pemimpin negara yang mesra dengan rakyat.

"Saya melihat acara ini bukan hanya sekadar acara majlis, tetapi lebih kepada kerakyatan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...