nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Monday 5 August 2013

Tunang berang apabila ditegur


Saya ingin menyuarakan masalah me­ngenai percintaan saya dengan tunang. Kami baru kenal dalam masa beberapa bulan dan terus me­ngikat tali pertunangan. Hati sudah menyukai tanpa rasa kesal.

Saya tidak mahu membabitkan soal kenal atau tidak kerana saya hanya berpegang jodoh rahsia Allah. Tapi apakan daya, dalam hubungan kami sudah ada keretakan yang serius. Ia berpunca daripada saya. 
Saya yang bersalah tidak mempercayainya sampaikan mahu kenal siapa kawan-kawan lelakinya. Saya seorang yang me­ngambil berat. Saya terlalu menyayangi tunang dan mahu menjaganya. 

Punca masalah bermula apabila saya selalu menasihatinya. Tunang saya seorang yang keras hati dan panas baran. Apabila saya memarahinya mengenai adab atau perlakuan, pasti dia menangis. Saya selalu menekankan soal agama padanya apabila berhadapan dengan orang ramai.

Saya kesal, sepatut­nya biarlah masa yang akan mengubahnya kerana saya selalu menekankan soal adab. Memang dia berpakaian seksi tapi saya selalu menegur. Apabila sampai satu tahap, dia mula berang.

Saya memarahi ­dengan menengking tunang. Dia kecewa dan terus ­menyembunyikan diri daripada saya. 

Pada masa yang sama, dia juga tidak suka masalah peribadi diketahui orang lain termasuk keluarga dan rakannya. Saya mencari dengan bantuan kawan-kawannya melalui sistem pesanan ringkas atau pang­gilan telefon. 

Kini tunang sudah berasa tawar hati. Saya buntu kerana rancangan perkahwinan kami akan berlangsung tidak lama lagi. 

Saya ingin bersemuka dengannya untuk meminta maaf namun tunang langsung tidak mahu beralah. Sehingga sekarang dia masih tidak mahu berjumpa saya lagi. 

Apabila saya mendesak untuk berjumpa dengannya, dia menjadi lebih tertekan dan cuba untuk memutuskan tali pertunangan. 

Dr, saya ingin mempertahankan cinta saya terhadapnya. Bagaimanakah harus saya lakukan. Sudah sebulan kami tidak berjumpa. Saya amat me­nyayanginya. Saya ingin bertanggungjawab atas perlakuan saya terhadapnya. Apa yang harus saya lakukan? 


INSAN KELUH KESAH, 
Johor
 


Konflik wujud apabila dua insan berbeza dari pelbagai aspek. Ternyata personaliti adik dan tunang berbeza sehingga ia menjarakkan perhubu­ngan cinta anda berdua. 

Masa perkenalan yang singkat memberi tidak banyak ruang untuk adik memahami sedalam-dalamnya sikap dan personaliti tunang. Ia juga membuka ruang kosong kepada konflik. 

Soal jodoh memang rahsia Allah. Namun, manusia diminta berusaha untuk mencari jodoh terbaik bagi dirinya. Kata pepatah 'setiap orang berhak untuk berencana tetapi tidak pernah mempunyai kekuatan untuk menentukan hasil daripada sebuah rencana' ada kebenarannya dalam konteks masalah adik. 

Sikap adik yang terlalu menyayangi tunang boleh membawa kepada sikap terlalu melindungi dirinya. Ini juga membawa kepada sikap tidak mempercayai dan sering memberi nasihat kepada tunang. 

Apabila tunang merasakan dirinya terlalu dilindungi tanpa kerelaan hati, akan wujud keretakan. 

Sifat keras hati seseorang boleh dilembutkan melalui bicara dan sifat lemah-lembut. Jika teguran dilakukan secara baik, secara psikologi­nya, kemung­kinan teguran itu diterima adalah tinggi. Pepatah ada mengatakan 'besi yang keras boleh dilembutkan dengan kata-kata'. 

Rasa marah juga boleh dikekang dengan latihan, kelembutan dan kesungguhan yang tinggi. Imam Al Ghazali mengatakan manusia tidak akan sang­gup mengekang amarah dan hawa nafsu secara keseluruhan hingga mening­galkan bekas apapun dalam dirinya. 

Namun, jika manusia cuba untuk mengendalikan kedua-duanya ­dengan cara latihan dan kesungguhan yang kuat, ia tentu akan berjaya. 

Hubungan adik berdua ibarat roda. Ia bermula dengan satu teguran berniat baik adik terhadap tunang. 

Namun, teguran ini mewujudkan perasaan tidak senang hati tunang. Seterusnya tunang memberi reaksi balas negatif sehingga perasaan saling menyakiti berlaku. Perhubungan semakin tegang dan kesannya tunang berasa kecewa dan menyembunyikan diri daripada adik. 

Sikap individu berbeza antara satu sama lain. Contohnya, ada yang suka rahsia dirinya diketahui dan juga sebaliknya. Kekasih adik tidak suka masalah peribadi diketahui orang lain termasuk keluarga dan rakannya. 

Justeru, apabila masalah peribadinya diketahui, tidak hairan tunang menjadi sangat marah. 

Adik perlu memberi tunang masa dan ruang untuk dirinya bersedia berjumpa dengan adik. Tunjukkan sikap tanggung­jawab adik dengan tidak terlalu memaksa dan bersifat lembut terhadapnya. 

Pada waktu sama, tunjukkan bahawa adik memang menyayangi tunang. Banyak cara boleh dilakukan dalam usaha menunjukkan adik masih mencintai tunang. 

Jika apa yang adik lakukan untuk memena­ngi hati tunang gagal, adik dan tunang perlu berbincang akan arah tuju perhubungan adik berdua. 

Hala tuju perhubu­ngan yang diambil seelok-­eloknya memberi kegembiraan kepada kedua-dua belah pihak.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...