nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Monday 5 August 2013

Kekasih panas baran, hina bentuk badan

Saya mempunyai masalah dengan kekasih yang panas baran. Kami sudah lama dalam hubungan cinta ini. Rasa sayang terhadap kekasih sudah terpahat. Tentu sekali dalam percintaan banyak cabarannya. Sama seperti hubungan cinta kami, dugaan tetap ada.

Masalah yang saya hadapi mengenai kekasih ialah sikapnya yang panas baran. Saya akui dia seorang lelaki yang baik tapi ini tidak memberi ketenangan kepada saya kerana sikap panas baran banyak memberi kesan buruk. 
Dia akan marah-marah apabila saya melakukan kesilapan yang kecil, malah dia juga sering melepaskan tekanan kerja pada saya dengan memarahi tanpa sebab. Apabila dia marah, kata-kata kesat dilemparkan dan menghina fizikal saya. 

Saya sangat tertekan dengan hal ini dan risau akan menjejaskan mutu pekerjaan. Selain itu, dia juga sering menipu tapi saya akan dapat hidu juga tanpa pengetahuannya, namun dan saya tidak bertanya mengenai hal itu sebaliknya pendam sendirian.

Kadang kala saya rasa ingin memutuskan hubungan tapi saya sayangkannya. Kami merancang untuk berkahwin tahun depan. Untuk pengetahuan Dr, dia juga seorang yang mengongkong. Aktiviti harian saya dipantau sepenuhnya olehnya. Saya berharap Dr dapat membantu saya.

SEDIH DIHINA, 
Johor
 


Mencari dan memilih ciri yang bersesuaian dalam lelaki yang bakal menjadi pasangan hidup adalah tugas penting seorang wanita. 

Natijahnya, perkahwinan adalah perkongsian hidup selama hayat jika jodoh ditakdirkan panjang. Pilihan kita hari ini akan menentukan apa yang akan terjadi esok. Sekiranya pilihan dibuat tanpa berfikir panjang, jangan pernah mengeluh dengan akibat dari pilihan itu. 

Cinta tidak bermakna seseorang membenarkan diri disakiti emosi dan fizikal. Ternyata apa yang berlaku ialah kekasih mendera adik dari segi emosi melalui kata-kata penghinaan. Fizikal menjadi sasaran. 

Dr memahami perasaan adik. Tentu sekali perasaan hati terguris. Cinta tidak sesekali membenarkan diri menjadi hinaan. Apatah lagi hinaan terhadap rupa paras. Sama ada cantik atau sebaliknya adalah kurniaan Tuhan. Tiada siapa berhak mengadili kurniaan tuhan. 

Membuat pilihan tepat mengenai lelaki bakal calon suami amat penting. Lelaki kelak dalam perkahwinan memikul pelbagai wajah. Wajah-wajah ini bergantung kepada tanggungjawab yang dipikul dan haknya. 

Tanggungjawab seseorang lelaki antara lainnya ialah sebagai seorang suami, bapa dan kemudian datuk. Lelaki juga adalah anak lelaki dan adik beradik lelaki. Untuk menjadi insan lelaki yang sempurna, seorang lelaki perlu menyempurnakan tanggungjawab dalam semua wajah ini. Sudah tentu ini bukan sesuatu yang mudah. 

Dalam konteks kekasih, ciri panas baran yang ada pada kekasih sukar menjadikan dia suami dan bapa yang baik. 

Soal jodoh adalah ketentuan Tuhan. Adakalanya kita cuba menghindari jodoh kita, tapi ia tetap datang. Jika ditakdirkan kekasih panas baran adalah ketentuan jodoh, adik dan dia perlu duduk berbincang dan mencari titik-titik persamaan ciri yang diinginkan dalam sebuah perhubungan dan seterusnya perkahwinan membahagiakan. 

Jelaskan kepada kekasih perasaan yang adik alami setiap kali dia mengeluarkan kata-kata menyakitkan mengenai rupa paras adik. Begitu juga mengenai penipuan yang dilakukan. 

Sekiranya selepas perbincangan, kekasih masih lagi kekal dengan tingkah lakunya yang menyakitkan, adik perlu serius memikirkan jalan terbaik untuk membahagiakan diri adik sendiri.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...