nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Monday 10 June 2013

Berusaha, berdoa dan tawakal

SOALAN

Saya mempunyai satu persoalan yang memberi kesan kepada pemikiran dan tingkah laku saya. Saya makhluk Allah yang lemah dan sebagai hamba-Nya, kita wajib berusaha dan berdoa.

Saya ingin men­dapat­kan jawapan yang lebih tepat mengenai definisi doa, usaha atau berserah dari konteks masalah saya ini. 
Saya menyayangi se­seorang yang sudah berpunya tapi belum berkahwin. Maksudnya wajarkah saya mempraktikkan tiga perkara ini iaitu saya terus berusaha memikatnya atau hanya berserah pada takdir. 

Sejujurnya di hati, saya menyayanginya. Ada ruang di hati saya untuk dirinya.

JAWAPAN

Dr ucapkan se­ting­gi-tinggi terima kasih atas kesudian adik berkongsi masalah. Perkongsian masalah dapat membuka jalan kepada ketenangan fikiran. Adik juga perlu berkongsi perasaan supaya apa yang terbuku di hati tidak menjadi begitu tertekan. 

Soalan adik berkaitan doa, usaha dan berserah diri amat menarik untuk dibincangkan. Dalam Islam, doa antara ajaran yang terpenting. Berdoa salah satu daripada elemen yang penting dalam kehidupan sese­orang Muslim. Ia berbentuk pengakuan seorang hamba yang lemah terhadap kekuasaan Allah yang mutlak ke atas segala yang berlaku. 

Doa adalah tunjang atau tulang belakang kepada ajaran akidah Islamiah dan mempunyai hubungan yang amat rapat dengan kekuasaan Allah SWT, Tuhan yang menjadikan dan mentadbir segala alam ini. 

Dalam kehidupan ini, doa mampu mengubah persepsi hidup seseorang. Insan yang lemah boleh bertukar menjadi seorang yang bermotivasi tinggi dan seterusnya mampu bekerja keras. Kekuatan doa ia berbentuk pengabdian seorang hamba kerana hadirnya perasaan berhajat kepada Allah SWT. 

Mengenai persoalan adik berkaitan usaha, Islam menggalakkan umatnya sentiasa berusaha dalam mencapai sesuatu impian hidup. Dalam pada kita berusaha, jangan lupa akan ketentuan dan kekuasaan-Nya. 

Doa dan usaha tidak dapat dipisahkan. 

Tawakal ialah sikap berserah diri kepada Allah tetapi bukan pe­nyerahan diri secara pasif, sebalik­nya mesti disertai de­ngan usaha. 

Semangat tawakal yang ada sebelum, ketika dan selepas bekerja juga menghindarkan individu daripada menempuh jalan yang tidak diredai Allah SWT untuk mencapai tujuan. Individu perlu yakin dengan tawakalnya. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi keperluannya.” 

(Surah at-Talaq 65: 3) 

Cinta pula adalah sumber kebahagiaan dan cinta terhadap Allah mesti dipelihara dan dipupuk. Suburkan de­ngan solat serta ibadah. 

Sama ada adik akan memiliki insan yang adik cintai adalah rahsia Allah. Pujangga Hamka pernah bermadah: “Kadangkala apa yang kita inginkan itu adalah baik bagi kita tapi Allah tidak izinkan. 

“Kita harus yakin ba­hawa apa yang ditentukan oleh Allah untuk kita, itulah yang terbaik dan cinta bukan mengajar kita lemah, tapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar menghina­kan­ diri dan menghem­buskan kegagalan. Cin­ta bukan melemahkan semangat tetapi membang­kitkan semangat.”

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...