nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Friday 7 October 2011

Hidup sentiasa dilindungi Allah

ALLAH memerintahkan setiap hamba-Nya taat dan memuliakan ibu bapa. Bergaul dan memenuhi hak kedua-dua ibu bapa menjadi satu keutamaan yang mesti dilaksanakan oleh anak, khususnya apabila mereka telah sampai kepada usia lanjut. Derhaka kepada ibu bapa bermakna seseorang itu telah menderhakai Allah. Begitulah besar dan mulianya darjat ibu bapa.
Apabila kita membaca al-Quran dan rajin meneliti maknanya maka akan terjumpa banyak sekali ayat yang memperkatakan perintah mentaati ibu bapa. Antaranya Allah berfirman, “Janganlah kamu menyembah selain Allah dan berbuat baiklah kepada ibu dan bapamu.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 83). Tetapi dalam kehidupan zaman serba moden ini fenomena anak menderhakai ibu bapa semakin menjadi-jadi yang menggambarkan betapa ada manusia yang memandang remeh perintah Allah. Mereka bukan sahaja melukai hati ibu bapa malah ada juga sampai melukai fizikal mereka. Seseorang anak hanya dapat kedudukan sebagai anak yang soleh jika mereka mentaati dan memuliakan ibu bapa. Sebenarnya sifat menyayangi dan mengasihi orang adalah fitrah naluri manusia, malah haiwan pun Allah kurniakan naluri ini. Justeru, orang yang menderhakai ibu bapa dapatlah dianggap melencong daripada naluri fitrah insan. Kita apabila sudah besar dan mendapat pelbagai kesenangan hidup tidak boleh sama sekali melupakan jerih penderitaan dan pengorbanan ibu bapa, sebaliknya pada masa beginilah sewajarnya kita berbakti untuk memberikan kesenangan hidup kepada mereka serta menjaga bak menatang minyak yang penuh.

Anak yang soleh akan berusaha menyenangkan hati ibu bapanya kerana mengharapkan reda dan berkat hidup daripada Allah. Mereka tahu bahawa setinggi manapun kedudukan, pangkat atau pemilikan harta kekayaan semua tidak sama nilainya dengan kasih sayang terhadap ibu bapa. Selain itu, doa ibu bapa sangat berkat dan mustajab. Oleh itu, anak yang baik lagi soleh akan mengharapkan keberkatan doa ibu bapa dalam menyusuri kehidupan ini. Sabda Rasulullah s.a.w, “Tiga jenis doa yang mustajab yang tidak diragukan keajaibannya adalah doa orang tua untuk anaknya, doa orang musafir dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Malah, Rasulullah pernah menegaskan, “Doa orang tua untuk anaknya bagaikan doa Nabi untuk umatnya.” (Hadis riwayat ad-Dailimi). Dengan hal demikian, sewajarnya kita merebut peluang semasa ibu bapa kita masih hidup untuk berbakti kepada mereka di samping mengharapkan keberkatan doa. Doa ibu bapa akan menjamin keselamatan dan ketenteraman dalam kehidupan. Allah akan melindungi diri anak yang berbakti itu dengan kehidupan yang aman sejahtera. Cahaya hidayah dan ketakwaan akan cepat menusuk ke jiwa si anak. Petunjuk ibu bapa terhadap anak sama seperti petunjuk Nabi kepada umatnya. Jadi, anak-anak yang sentiasa memuliakan ibu bapanya tentu akan didoakan oleh ibu bapanya sebaliknya anak-anak yang derhaka itu sentiasa disunguti dan sebarang rasa sungutan mereka akan mendatangkan kemudaratan dalam hidup. Di samping itu, doa ibu bapa juga akan menjadi sumber kepada pembinaan kekuatan batin diri anak. Hal itu akan mempengaruhi sikap dan kewibawaan anak dalam menjalani kehidupan. Inilah keberkatan dan kehebatan doa ibu bapa terhadap anak. Oleh itu, kita mesti berusaha membahagiakan kedua-dua orang tua sedaya upaya yang termampu dan berkorbanlah sama ada masa, tenaga atau wang ringgit demi melihat mereka berada dalam keadaan terjaga rapi dan mendapat kasih sayang daripada kita.

Cerita daripada Saidina Ali bin Abi Talib ini seharusnya menyedarkan kita. Katanya, “Aku mendengar Nabi bersabda, ‘Aku berlepas diri daripada orang yang tidak memenuhi hak kedua-dua orang tuanya.” Aku bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana sekiranya orang itu tidak memiliki apa-apa yang dapat diberikan kepada orang tuanya?” Sabda Nabi lagi, “Apabila mendengar kata-kata orang tua, jawablah, aku dengar dan aku taat, jangan berkata ‘ah’ dan janganlah membentak mereka dan katakanlah kata-kata yang baik.” Ini satu tunjuk cara yang dipandukan oleh Nabi kepada kita semua bagaimana untuk berinteraksi dan memuliakan ibu bapa.

Hebat ganjaran yang Allah sediakan untuk anak yang berbakti dan memuliakan ibu bapanya. Apabila kita memandang wajah mereka dengan penuh kasih sayang sudahpun Allah memberikan pahala dan keberkatan kepada anak-anaknya. Sabda Rasulullah, “Tidak ada seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya dan memandang wajah kedua-dua orang tuanya dengan perasaan kasih kecuali Allah menuliskan pahala ibadah haji mabrur baginya.” Ibnu Abbas bertanya Rasulullah, “Wahai Nabi, bagaimana sekiranya anak itu memandang wajah ibu dan bapanya sebanyak 100 kali? Jawab Nabi, “Lebih besar pahalanya. Sesungguhnya Allah Maha Besar lagi Maha Baik.” (Hadis riwayat al-Baihaqi ). Begitu hebat ganjaran pahala yang disediakan Allah buat anak-anak yang berakhlak mulia kepada ibu bapa.

Nabi Muhammad menegaskan Allah tidak menolak doa kedua-dua orang tua untuk anak-anaknya. Justeru, hendaknya kita sebagai ibu bapa sering bermunajat kepada Allah agar anak sentiasa berada di bawah lindungan rahmat-Nya dan meraih kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Demikian juga kepada kamu semua wahai anak Muslim, selalulah mendoakan untuk ibu dan ayahmu. Alangkah indahnya hidup dalam sebuah keluarga yang hubungan akrab melalui mekanisme berdoa dihidupkan. Keluarga sebegini sudah tentu akan sentiasa mendapat cahaya hidayah Allah , penuh nikmat kebahagiaan hidup dan rukun damai.

Justeru, bersamalah kita bermuhasabah diri apakah selama ini kita sebagai anak sudah memenuhi hak kedua-dua ibu bapa kita. Sekiranya selama ini kita sentiasa prihatin dan mengambil berat soal ibu bapa bermakna hidup kita dalam lingkungan yang diberkati Allah. Namun, jika sebaliknya, kita wajib bertaubat dan kembali melakukan yang terbaik untuk ibu bapa. Jadikanlah diri kita sebagai anak yang soleh dengan memuliakan dan mentaati ibu bapa dan janganlah sampai kita tergolong sebagai anak yang sering menderhakai mereka.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...