nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Friday 8 June 2012

Usah tunda taubat

seorang penceramah yang menyebut: “Allah menyusun cantik perjalanan hidup hamba-Nya. Bermulanya Ramadan iaitu bulan menyucikan jiwa yang akhirnya membentuk seseorang itu menjadi seorang yang muttaqi (orang yang bertakwa). “Kemudian disusuli Syawal sebagai bulan kemenangan setelah menempuh berbagai rintangan semasa di bulan Ramadan. Selepas itu datang pula bulan Zulkaedah sebagai bulan persiapan hamba-hamba-Nya menjadi tetamu Allah pada bulan Zulhijjah iaitu bulan penuh bermakna bagi mereka yang akan menunaikan ibadat Haji.” Jika kita lihat, ia cukup sempurna dan begitu terancang kerana bagi yang tidak melaksanakan ibadat haji pula, mereka menyambut Aidil Adha dengan melakukan korban, iaitu satu ibadat yang amat dituntut serta digalakkan.
Apabila kita diuji, ujian itu mungkin sekali sebagai musibah kerana kekurangan taatnya dalam agama sebagaimana yang telah disebut oleh Imam Al-Ghazali. Oleh yang demikian, taubat menjadi satu cara untuk memohon ampun kepada Allah SWT.
Saya serta bakal jemaah haji yang lain juga turut diingatkan supaya memperbanyakkan solat sunat taubat sebelum ke tanah suci Makkah, selain terus melaksanakan ibadat solat sunat taubat ketika di sana dan sesudah pulang ke tanah air.

Sebenarnya, perihal taubat ini memang banyak kali dinyatakan Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang- orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At- Tahrim, 8) Dalam surah Az-Zumar, ayat 53 pula, Allah SWT berfirman: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa- dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Apabila menyentuh mengenai soal taubat ini, terdapat lima syarat yang wajib diikuti seseorang itu jika benar-benar ingin bertaubat.

Perkara pertama yang perlu ada dalam dirinya adalah sifat ikhlas. Tanpa keikhlasan, pastinya seseorang itu gagal mencapai matlamat taubatnya.

Syarat kedua pula, seseorang itu perlulah berjanji tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi. Ketiga, menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan. Keempat, harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya dan kelima, taubat itu mestilah sebelum ajal tiba.

Jika kelima-lima syarat ini dipenuhi, maka taubat seseorang itu dianggap sempurna atau lebih tepat lagi dipanggil sebagai taubat nasuha. Tetapi, jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah dianggap sebagai taubat nasuha. Selain itu, jika kita ingin bertaubat dan dosa yang kita lakukan itu bersangkutan dengan manusia, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri daripada hak orang yang berkaitan. Contohnya, jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika hal berupa cacian, maka dia harus memohon maaf kepada orang yang dicacinya.
Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda, kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera bertaubat, maka dosa itu memberi kesan kepada hati dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup daripada cahaya kebenaran.

Untuk memudahkan kita memupuk sifat taubat ini, perkara penting yang kita perlu pupuk dalam jiwa adalah dengan selalu mengingati kematian serta ketakutan sewaktu hidup bersendirian di dalam kubur. Kematian adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Kematian bermaksud perpisahan dengan segala yang disayangi atau dicintai dan hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar saja dengan anak atau isteri dapat mengalirkan air mata kesedihan, apatah lagi berpisah untuk selamanya. Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar, 30) Perkara kedua untuk memupuk sifat taubat ini pula adalah dengan mengingati kenikmatan syurga yang bakal didiami oleh orang- orang yang soleh. Ia juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera. Apabila hadirnya perasaan ingin bertaubat, maka bersegeralah mendirikan solat taubat, mudah-mudahan taubat itu diterima oleh Allah SWT.

Jadi, sewaktu kita masih dalam keadaan sihat, lakukanlah solat taubat pada bila-bila masa iaitu sebaik- baiknya pada dua pertiga malam dan janganlah melakukannya pada waktu makruh tahrim.

Berdasarkan ahli tafsir daripada Mazhab Shafie (fuqaha’ Syafi’iyah), waktu makruh tahrim adalah apabila seseorang itu melaksanakan solat sunat tanpa sebab, dan solat itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut iaitu pertama selepas selesai solat Subuh, hingga terbit matahari.

Kedua, ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah. Ketiga, selepas menunaikan solat Asar sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak takdim). Keempat, ketika matahari berwarna kekuningan, hingga terbenam seluruhnya. Kelima, ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke barat.

Bagaimanapun, jika solat yang didirikan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti solat tahiyyatul masjid walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, solat sunat wuduk, dan solat sunat tawaf sebanyak dua rakaat, maka ia dibolehkan.

Begitu juga solat yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti solat istisqa’ dan solat gerhana. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan kerana ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.

Justeru, saya menyeru supaya kita sama-sama memperbanyakkan istighfar dan mendirikan solat taubat dengan lebih kerap. Solat taubat ini bukanlah untuk bakal-bakal haji saja, malah untuk semua. Mudah-mudahan, dengan melaksanakannya, kita dapat menyucikan diri daripada dosa.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...