nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Monday 18 June 2012

Terbiar leka kejar harta

UBAY bin Ka’ab iaitu sahabat Rasulullah SAW meriwayatkan dalam sebuah hadis, baginda bersabda yang bermaksud: “Serigala buas yang dilepaskan di kandang kambing tidak lebih berbahaya daripada cinta harta dan pangkat dalam kehidupan agama seseorang.”

Ketika manusia rakus mengejar kemewahan dunia, ada antara kita kadangkala melampaui batas serta norma kehidupan dengan sanggup melakukan apa saja untuk mencapai matlamat.

Pada waktu dunia akhir zaman ini, kita lihat ramai sanggup memijak serta menindas orang lain demi kekayaan, harta dan pangkat.

Tidak kurang juga manusia seperti berlumba-lumba untuk menjatuh dan mengaibkan seteru atau pesaingnya dalam apa juga bidang.


Halal dan haram tidak lagi menjadi persoalan, buatlah dengan apa cara sekalipun, asalkan memperoleh apa diinginkan.

Namun ketahuilah, setiap yang diusahakan di muka bumi pasti dihitung Allah pada hari pengadilan di Padang Mahsyar.

Sebenarnya, saya tertarik dengan istilah yang disebut oleh seorang ustaz baru-baru ini yang menyebut Allah itu Maha ‘sensitif’.

Perkataan sensitif itu merujuk kepada sifat Allah yang sangat peka seperti dinyatakan Allah di dalam surah Az-Zalzalah ayat 7 dan 8 yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”

Begitulah betapa sensitifnya Allah terhadap setiap apa yang diusahakan hamba-Nya yang mengakui sebagai Muslim di atas muka bumi.

Selagi mana seseorang itu tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu secara zahir, Allah akan melihat dan menilai setiap perbuatannya selagi mana dia bernafas.

Dalam surah Ali-Imran ayat 85, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, tidak akan diterima daripadanya (amalan), dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang- orang yang rugi.”

Jika dilihat, Allah tidak menyatakan mereka akan rugi di dunia tetapi akan rugi pada hari akhirat. Apabila Allah menyatakan sedemikian, nescaya mereka akan benar-benar rugi dan merasa teramat sesal pada hari akhirat.

Kerana itu Allah dengan sifat pemurah-Nya mengurniakan segala-galanya bagi mereka (termasuk juga orang Islam) yang mengejar kehidupan dunia dan melupakan hari akhirat. Perkara ini disebutkan oleh Allah di dalam surah Hud, ayat 15 dan 16 yang bermaksud: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran mengenai sah atau batalnya), Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.

“Merekalah orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka kerjakan.”

Berdasarkan ayat di atas, tidak hairan mengapa Allah ‘membiarkan’ mereka melakukan apa saja di muka bumi. Mereka bebas untuk tidak menunaikan solat, mengambil rasuah dan memakan hasil riba, memfitnah, mengaib serta menganiaya orang lain dan menipu dalam urusan jual-beli.

Mereka akan terlepas daripada hukuman di dunia tetapi akan berdepan Allah untuk menjawab dosa yang mereka lakukan ketika seluruh anggota berbicara sendiri.

Sebelum itu, seluruh umat manusia akan menerima buku catatan amalan yang terkandung di dalamnya setiap perincian amalan ketika hidup di dunia seperti difirmankan Allah dalam surah Al-Jaathiyah ayat 28 dan 29 yang bermaksud: “Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu kerjakan!

“Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu lakukan (di dunia dulu)!”

Pada hari akhirat, digambarkan kepada kita bahawa manusia akan berjalan ke Padang Mahsyar dalam pelbagai keadaan.

Di dalam surah Al-Isra’, ayat 97, Allah menyatakan, bahawasanya: “... Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing- masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak...”

Dalam Hadis Riwayat Ahmad yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, dinyatakan bahawa Rasulullah berkata, wujud tiga kelompok pada hari akhirat.

Kelompok pertama adalah mereka yang berjalan kaki, kedua adalah mereka yang menunggang kenderaan dan yang terakhir adalah mereka yang berjalan dengan wajahnya (mukanya). Maka bertanyalah sahabat kepada baginda, bagaimana manusia berjalan di atas wajahnya?

Rasulullah menjawab, sebagaimana kamu mempercayai bagaimana Allah membuat makhluk-Nya berjalan dengan kakinya, tentunya Allah boleh menjadikan manusia berjalan di atas wajahnya.

Sesuatu yang paling mulia pada fizikal manusia ialah wajahnya. Selain tempatnya di bahagian atas, Rasulullah mengeji manusia yang memukul atau merosakkan wajah orang lain kerana mulianya wajah manusia itu.

Namun, bagi yang melupakan Allah dan lalai dengan kehidupan dunia, Allah menghina mereka dengan menterbalikkan keadaan dan menjadikan wajahnya sebagai ‘kaki’ untuk berjalan pada hari akhirat. Nauzubillah!

Ketahuilah, Allah tidak melarang manusia berusaha mengecapi kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia. Namun, berpada-pada dan jangan lalai dengan suruhan Allah dan menindas serta mengambil hak orang lain.

Firman Allah dalam surah Al-Insyirah, ayat 7 dan 8: “Kemudian apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal soleh), bersungguh- sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh lain). Dan kepada Tuhanmu saja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).”

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...