nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Friday 8 June 2012

Kegagalan jadi iktibar

TAHUN baru 2012 menyusul menggantikan 2011, sekali gus menyaksikan kehidupan kita berada pada kalendar baru.
Apa berlaku sepanjang tahun lalu, kini menjadi sebahagian babak antara babak kehidupan kita untuk dikenang dan dinilai.


Bagi adik-adik yang baru memulakan sesi persekolahan, saya ucapkan selamat belajar dan kepada pembaca ruangan ini, saya ucapkan selamat tahun baru dan terima kasih kerana terus menyokong usaha dakwah menerusi media ini.
Namun, menyentuh soal kedatangan tahun baru ini, lazimnya ia berkait dengan soal masa sepanjang waktu kita hidup di muka bumi Allah SWT ini.

Jadi, sejauh mana kita memanfaatkan anugerah masa ini, hanya kita mengetahuinya dan cara terbaik untuk kita bermuhasabah.

Alhamdulillah. Walaupun masa silih berganti, kita masih diberi ruang kesempatan untuk terus menikmati kehidupan pada tahun ini.

Semestinya, setiap seorang antara kita mempunyai semangat serta azam untuk memulakan hidup lebih sempurna pada tahun baru ini.

Tidak kurang juga kita mengorak langkah untuk mencapai matlamat serta hajat yang belum tercapai. Semoga Allah membuka jalan serta mempermudahkan apa yang kita hajatkan selagi mana ia tidak menyalahi syariah.
Bagaimanapun, ketika mengejar cita-cita dan impian, kita pastinya sentiasa kurang bersedia menghadapi risiko kegagalan. Kerana itulah ramai manusia mudah melatah apabila menemui sebuah kegagalan.

Kegagalan dilihat sebagai batu penghalang dalam kehidupan seseorang insan. Malah, ada juga yang beranggapan kegagalan adalah penamat sebuah kehidupan.

Sebagai manusia, kita perlu sentiasa ingat, setiap yang dirancang tidak semestinya menjadi kenyataan.

Justeru itu, kegagalan mencapai apa dirancang serta diimpikan sememangnya memeritkan. Mungkin kerana terlalu meletakkan harapan tinggi, kegagalan kadangkala tidak dapat diterima sesetengah insan.

Natijah daripada sebuah kegagalan sebenarnya memberikan manusia itu dua jalan. Sama ada manusia itu memilih jalan kebaikan atau yang mengundang kesengsaraan.

Mengimbas waktu sepanjang 2011, secara sedar atau tidak, kita sebenarnya disajikan banyak kisah atau cerita mengenai insan yang gagal dalam kehidupan.

Sebagai contoh, laporan akhbar pada Februari tahun lalu menyatakan, satu statistik dijalankan Dr T Maniam, profesor di Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, menunjukkan 425 orang membunuh diri dalam tempoh antara Januari hingga Ogos pada 2010. Secara purata, lebih kurang 60 orang melakukan jenayah bunuh diri setiap bulan di Malaysia.

Baru-baru ini juga, sebelum menjelangnya tahun baru, kita disajikan dengan khabar duka seorang wanita ditemui mati lemas di sebuah tasik di Kuala Lumpur selepas didakwa mendengar bisikan mengarahkannya terjun ke dalam tasik.

Lebih mengejutkan, trend membunuh diri akhir-akhir ini dilakukan dengan lebih ‘kreatif’. Seperti contoh, menulis status di Facebook terlebih dulu mengenai niat membunuh diri.

Lebih sadis, ada tergamak membuat rakaman yang boleh dilihat secara langsung oleh teman dan ahli keluarga, menunjukkan bagaimana beliau membunuh diri seperti mana berlaku di sebuah negara Eropah, tahun lalu.

Jika disingkap kembali terhadap kes pembunuhan diri, ia sering dikaitkan dengan penyakit berkaitan mental dan berkemungkinan berpunca daripada kegagalan menangani atau menyerap tekanan dalam kehidupan seperti membabitkan perniagaan, percintaan, perkahwinan atau pelajaran.

Sebenarnya, punca berlakunya perkara ini apabila seseorang itu mempunyai pegangan iman lemah. Apabila itu berlaku, manusia lebih cenderung membuat pilihan salah apabila berdepan sesuatu tekanan.

Ketika ini manusia mula berputus asa daripada rahmat Allah dan syaitan pula mula membisikkan hasutan demi hasutan ke telinga anak Adam yang ditimpa ujian.

Disebabkan itu, mudahnya prasangka buruk terhadap Allah bermain di kotak fikiran. Syaitan akan membuatkan manusia berfikir Allah tidak adil dan kejam dalam menimpakan ujian seperti itu terhadapnya.

Lalu dia mula menjauhkan diri daripada Allah dengan meninggalkan solat, membuat kemungkaran seperti meminum arak dan mengambil dadah.

Semua ini dilakukan atas alasan untuk menyerap dan melepaskan tekanan dihadapi atau bahasa mudahnya ‘release tension’.

Namun, secara tidak sedar, perkara ini yang sebenarnya membawa kepada kerosakan akal seseorang insan. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 219, bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah; Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya…” Apabila rosaknya akal seseorang, mudah untuk syaitan membinasakan hidupnya hinggakan tidak mustahil untuk seseorang itu mengungkapkan, “Daripada aku hidup, lebih baik aku mati.” Lama-kelamaan bisikan ini akhirnya membawa pengakhiran kepada sebuah kehidupan.

Menurut sebuah riwayat daripada Anas bin Malik, satu hari Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat yang bermaksud: “Janganlah seorang daripada kamu meminta mati kerana kesulitan hidup yang menimpa.

“Jika memang sangat perlu, ucapkan doa sebagai berikut; Ya Allah, panjangkanlah umurku kalau memang hidup adalah lebih baik bagiku, dan matikanlah aku manakala memang kematian lebih baik bagiku.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim) Oleh itu, apabila menghadapi saat-saat sukar dalam kehidupan, jangan sesekali mencuba jauh daripada Allah. Mohonlah petunjuk daripada Allah supaya ditunjukkan jalan untuk menghadapi ujian berkenaan.

Kita seharusnya menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar bagi menguatkan tekad kita untuk berjaya. Sikap putus asa tidak sewajarnya berada dalam kamus kehidupan seorang Muslim.

Contohilah Rasul yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam menyampaikan dakwah ke seluruh alam. Kerana itulah Islam masih tertegak di muka bumi Allah ini.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...