nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Friday 8 June 2012

Berdosa abai ibu bapa


Pada awalnya si ibu dibawa bermalam di hotel murah mungkin dengan alasan membawanya bercuti. Namun akhirnya ditinggalkan berseorangan di kamar hotel. Bayangkan selepas beberapa hari ditinggalkan, baru disedari oleh pekerja hotel yang prihatin.


Luluh hati ini tatkala menatap gambar wajah si ibu yang berkata sambil mengalir air mata: “Saya mahu ke rumah kebajikan.” Pastinya laporan berita itu mengundang perasaan pilu dan geram sesiapa yang membaca mengenainya.
Tergamak si anak membiarkan si ibu keseorangan, sedangkan dia tahu ibunya lumpuh. Bagaimanapun, syukur Alhamdulillah, si ibu dipertemukan semula dengan si anak baru-baru ini. Mudah-mudahan ia tidak berulang kembali dan menjadi peringatan yang berguna untuk kita semua.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama kisah seperti ini dipaparkan di akhbar. Ia seterusnya menunjukkan kepada kita betapa segelintir masyarakat kita mempunyai hati batu.

Apabila membaca kisah warga emas malang, fikiran saya terus menerjah memori ketika masih di dalam rancangan Imam Muda.

Dalam minggu bertemakan ‘usia emas’, kami dibawa menziarah sebuah rumah kebajikan. Di sana, setiap peserta diperkenalkan dengan seorang penghuni.

Saya kemudian dipertanggungjawabkan untuk cuba menyelami isi hati seorang lelaki tua yang hampir tiga tahun menjadi penghuni.
Lelaki itu yang semakin kabur penglihatannya berkali-kali meluahkan rasa kekesalan terhadap anak lelakinya yang langsung tidak menjenguknya di sana. Setiap hari dia menanti dan berharap, namun bayang anaknya tidak kunjung tiba.

Tidak sesekali berharap untuk dibawa pulang dan dijaga kerana tidak mahu menyusahkan anak, tetapi alasan tiada masa untuk menziarah memang tidak dapat diterima si ayah.

Hinggakan terpacul kata-kata tidak elok daripada mulut si ayah akibat terlalu kecewa dengan sikap anaknya yang sedemikian rupa.

Harus diingat, kata-kata ibu dan ayah antara doa yang sungguh mustajab. Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadis bersabda: “Tiga doa yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu doa seorang bapa (dan ibu), doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah) Perintah untuk taat kepada ibu bapa selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Allah juga bersifat mutlak (wajib) sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Israa’ ayat 24, yang bermaksud: “... dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, jangan engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Huh’, dan jangan engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakan kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun).” Berbicara mengenai ketaatan kepada ibu bapa, tidak lengkap rasanya jika tidak mengaitkannya dengan kisah ahli ibadah bernama Juraij.

Kisah ini adalah sahih dan terkandung dalam satu hadis pada muka surat 511 di dalam Kitab Sahih Muslim terbitan Beirut, Lubnan.

Juraij adalah rahib yang terkenal dengan ketekunannya melakukan ibadah hinggakan dia membina sebuah biara khusus sebagai tempat untuknya beribadah.

Satu hari ketika menunaikan solat sunat, datang ibunya di luar biaranya untuk bertemu dengannya. Lalu si ibu memberi salam. Tatkala itu, hati Juraij berbelah bagi sama ada menjawab salam ibunya atau meneruskan solat sunat.

Lalu dia mengambil keputusan untuk meneruskan solat. Kemudian datang lagi si ibu memberi salam sehingga beberapa kali, semuanya ketika Juraij beribadah.

Juraij tidak menjawab salam ibunya hingga terlanjur daripada mulut ibu satu doa: “Wahai Juraij, semoga Allah tidak mencabut nyawamu sebelum engkau melihat wajah seorang pelacur!” Peristiwa itu membawa malapetaka kepada Juraij. Kutukan ibunya membuka pintu langit dan menggetarkan loh mahfuz. Kalam Allah mencatat kutukan ibu, malaikat beredar meninggalkan biara tempat beribadah Juraij.

Tidak lama kemudian, Juraij didatangi fitnah daripada seorang pelacur yang menuduhnya berzina dengannya. Berita ini sampai kepada pengetahuan pemerintah lalu diarahkan biara Juraij dirobohkan.

Lalu dipanggil pelacur itu bersama si bayi yang dilahirkan. Dengan izin Allah, bayi itu dapat berkata-kata dan menafikan Juraij adalah ayahnya. Saat itu Juraij hanya tersenyum, tahu bahawa kata-kata ibunya dulu dimakbulkan dan diizinkan Allah.

Namun selepas memohon keampunan daripada ibunya, Allah membantunya melawan fitnah itu. Begitulah kisah bagaimana hebatnya doa daripada ibu dan bapa untuk kita jadikan sebagai iktibar.

Dosanya hanya tidak menjawab salam kerana melakukan solat sunat, tetapi fitnah yang menimpa bukan sembarangan.

Jika berbuat ihsan kepada ibu bapa adalah tuntutan fardu ain, perbuatan mengabaikannya pula termasuk di antara dosa besar.

Antara dalil syarak yang jelas membuktikan perkara ini terkandung di dalam hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Amru apabila seorang lelaki Arab datang kepada Nabi SAW, lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dia dosa besar?” Nabi SAW menjawab: “Mensyirikkan Allah.” Kemudian dia bertanya lagi, “kemudian apa?” Lalu baginda menjawab: “Menderhaka kepada ibu bapa.” (Hadis riwayat Al-Bukhari) Dugaan berat yang sering dialami oleh anak adalah apabila ibu bapanya terlalu tua dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Dalam keadaan begini si anak perlu bersabar melayani kerenah mereka, jangan mudah melenting dan memarahi mereka, kerana perbuatan sedemikian menyakitkan hati mereka. Apabila hati mereka terguris, bermakna si anak menjadi derhaka.

Kasihilah ibu bapa seperti mana mereka mengasihi kita dan selalulah berdoa kebaikan untuk mereka.

Allah berfirman dalam surah Al-Israa’ ayat 25 yang bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku sewaktu kecil.”

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...