nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Friday 8 June 2012

Menangis putus cinta

SAYA sukar melepaskan ingatan terhadap bekas teman wanita. Kami sudah menjalin hubungan selama empat tahun sebelum berpisah baru-baru ini.

Punca perpisahan disebabkan saya kerana semasa bercinta, kami banyak melakukan perkara yang melampaui batas agama. Kini dia mempunyai teman
lelaki baru.

Saya sanggup berubah agar dapat menjalinkan hubungan semula hingga berkahwin,
tapi bekas teman wanita

enggan. Alasannya dia masih belajar dan sudah ada teman lelaki lain.

Saya memang tidak boleh melupakan dia dan jiwa sangat tersiksa selain kerap kali menangis mengenangkan nasib saya. Saya ibarat lelaki pondan yang tidak tahan dugaan dan menangis kerana putus cinta. Saya tidak sanggup kehilangannya dan amat mencintainya.

Saya tidak dapat melupakan dia. Pelbagai usaha sudah saya cuba namun tidak berjaya.

Saya berusaha untuk berubah namun masih teringatkan bekas teman wanita. Saya sedih dan sakit hati melihat dia dan teman lelakinya.

Nasib Malang.
Negeri Sembilan.



ADIK ibarat tidak mati kerana cinta tapi cinta cukup meracuni hidup. Apabila cinta tidak berbalas, ia ibarat layang-layang putus talinya. Dan paling menyedihkan ialah apabila adik sudah bertemu cinta yang paling bererti, tapi akhirnya terpaksa membiarkan bekas kekasih pergi atas tingkah laku sendiri.

Dr dapat memahami kepahitan adik dalam usaha melupakan bekas kekasih, tapi gagal hatta pelbagai usaha sudah dilakukan. Apa yang adik alami bersama-sama bekas kekasih adalah sebahagian daripada kehidupan adik.

Usaha untuk melupakan memori bersama dia adalah satu usaha untuk melupakan diri adik juga. Ia seperti memusnahkan apa yang adik miliki. Tentunya ini sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan.

Ubat cinta adalah waktu. Apabila waktu itu belum sampai untuk adik melupakan cinta itu, rasailah cinta yang ada. Hiduplah bersama memori indah cinta itu. Apabila semakin lama rasa cinta semakin hilang seperti mana masa berlalu, ingatan dan rasa terhadap cinta yang ada akan turut berlalu.

Pepatah cinta menyebut, cinta akan hidup bersama dengan waktu. Apabila waktu itu mati, maka matilah cinta suci itu. Memaksa sesuatu (melupakan cinta) hanya akan menambahkan kelukaan dan kekecewaan. Cinta juga ibarat hujan. Sebagaimana lebat pun hujan, ia akan berhenti.

Menangis adalah satu tingkah laku normal manusia, tanpa mengira lelaki atau
perempuan. Seorang lelaki tidak dianggap bersifat pondan hanya kerana menangis. Menangis adalah satu proses penyembuhan jiwa. Ia terapeutik kerana dapat mengeluarkan luahan kekecewaan.

Dr akui, proses melupakan sesuatu yang indah memang sangat sukar. Begitu juga melepaskan sesuatu yang dirasakan sangat berharga. Realiti kehidupan ialah ada perkara yang sangat kita inginkan tapi kita tidak akan memperolehnya. Cinta juga tidak selalu bersama jodoh tapi jodoh akan selalu bersama cinta. Apa yang adik alami ialah satu proses ke arah kematangan hidup. Laluinya dengan kekuatan diri yang ada.

Jika adik benar-benar mencintai bekas kekasih, apabila dia mencintai orang lain, adik masih mampu tersenyum dan turut bahagia untuknya. Ini kerana cinta yang suci dapat dilihat daripada pengorbanan seseorang, bukan daripada pemberian semata-mata.

Cinta adalah keabadian dan kenangan adalah hal terindah yang pernah dialami. Semoga adik dapat sinar bahagia.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...