nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Thursday 23 August 2012

Pelajar pintar bermasalah


Saya pelajar tingkatan dua dan amat memerlukan kaunseling untuk penyelesaian masalah dihadapi ini. Namun, ia bukan masalah mengenai diri saya, tapi berkaitan kakak yang berusia 17 tahun.
Kakak pelajar cemerlang di sekolahnya. Dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), dia mendapat keputusan amat cemerlang dan saya gembira dengan kejayaannya. Apa yang merisaukan saya ialah perangai dia terhadap ibu bapa, guru dan adik-beradiknya.

Kakak saya kurang hormat dan ada kalanya kurang ajar terhadap mereka, dia juga kurang ramah dengan guru

di sekolah hingga guru membuat perbandingan antara kakak dan saya.

Saya dan adik-beradik juga tidak terlalu suka dengannya kerana dia sering bersikap pentingkan diri sendiri. Saya sebagai adik harus memainkan peranan, tapi tidak tahu bagaimana mahu melakukannya.

Tolong berikan sedikit idea atau nasihat agar saya dapat mengubah sikap buruk kakak.

Risau,
KEDAH




TAHNIAH kepada kakak adik yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR. Menuntut ilmu amat digalakkan dalam Islam. Imam Al-Ghazali menjelaskan ‘bersungguh-sungguhlah engkau menuntut ilmu, jauhilah kemalasan dan kebosanan kerana jika tidak demikian engkau akan berada dalam bahaya kesesatan’ dan ‘ilmu itu kehidupan hati daripada kebutaan, sinar penglihatan daripada kezaliman dan tenaga badan daripada kelemahan’.

Bagaimanapun, dalam kehidupan, bukan saja ilmu yang penting. Adab dan budi bahasa sangat dituntut dalam kehidupan ini. Hamka menjelaskan, ‘kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya’.

Aristotle pula menjelaskan yang meninggikan darjat seseorang ialah akal dan adabnya, bukan asal keturunannya. Mahkota adab dan sopan santun lebih tinggi nilainya daripada mahkota yang bertakhtakan ratna dan mutu manikam. Sikap yang kasar adalah lantaran jiwa yang kasar
dan tidak mengenal keindahan.

Daripada penceritaan adik mengenai tingkah laku dan sifat kakak, beliau boleh dikategorikan sebagai individu yang mempunyai personaliti jenis A. Siti Suriani Othman (2009) menjelaskan, individu yang mempunyai personaliti jenis A selalunya kurang sabar, begitu mementingkan soal masa, berasa tidak selamat dengan status dirinya, mempunyai daya saing tinggi, agresif dan jarang berada dalam keadaan tenang.

Golongan ini selalunya kuat bekerja, memberi diri sendiri tarikh akhir untuk melaksanakan sesuatu walaupun sebenarnya itu tidak wajib dan tidak bergantung kepada orang lain dalam hidupnya. Dengan ciri-ciri ini, individu dengan personaliti jenis A selalu dilihat dalam keadaan ingin cepat dan tertekan. Individu dengan personaliti jenis B pula sebaliknya. Mereka lebih tenang dan jarang kelihatan tertekan.

Dr amat gembira kerana adik ingin memainkan peranan untuk mengubah sikap kakak. Sikap adik adalah sikap terpuji kerana pepatah juga ada mengatakan ‘tolonglah saudaramu ketika ia menjadi seorang yang zalim atau orang dizalimi’ dan ‘kedua orang saudara itu laksana dua belah tangan yang membasuh satu sama lain’.

Selain itu, bersikap baik kepada saudara sendiri ibarat bersedekah kepada orang miskin itu bererti satu sedekah sahaja, sementara sedekah kepada kaum kerabat itu bererti dua sedekah iaitu bersedekah dan mengutamakan hubungan persaudaraan.

Ada pandangan mengatakan cara menghadapi orang yang sombong adalah dengan memberikan kasih sayang kepadanya agar dapat merebut hatinya, namun lakukan dalam tahap wajar. Adik juga boleh berbicara kepada kakak melalui kata-kata lemah lembut dan beradab kerana dapat melembutkan hati dan manusia yang keras. (Hamka).

Antara sikap yang boleh melahirkan perasaan kasih sayang seorang saudara terhadap saudara lain ialah memberi salam terlebih dulu dan memanggilnya dengan nama paling digemarinya. Ini kerana hubungan yang mesra dan saling menghormati antara anggota masyarakat menimbulkan rasa persahabatan dan persaudaraan berkesan.

Adik boleh berterus terang dengan kakak mengenai apa yang adik rasa. Satu teknik yang boleh digunakan oleh kakak ialah membentuk imej baru. Teknik ini boleh digunakan untuk membentuk imej baru lebih sesuai. Visual baru adalah imej yang datang daripada diri kakak sendiri dan digunakan untuk menggantikan imej diri yang bersifat negatif, mengganggu dan maladatif.

Secara psikologinya, adik boleh beritahu aspek positif yang ada pada kakak, potensi, kelebihan dan kualiti positif sebelum memberitahu mengenai jenis personaliti dirinya. Nyatakan kakak mempunyai banyak sikap positif dan hanya perlu mengubah sedikit saja sikap negatifnya.

Jika adik tidak berani menyatakan perkara ini kepada kakak, carilah orang yang amat kakak percayai untuk memberitahunya. Jika kakak dapat mengubah sikapnya yang kurang hormat dan ada kalanya kurang ajar itu, dia boleh menjadi insan yang bukan saja berilmu, tapi tinggi budinya. Sama-samalah kita doakan agar kakak adik cemerlang ilmu dan budi pekertinya.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...