nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Thursday 23 August 2012

Gadis ternoda ingin berubah

SEMASA awal remaja, saya sering berkawan dengan beberapa lelaki yang lebih tua dan dalam usaha yang begitu muda dan mentah, saya mudah terpengaruh dengan pujuk rayu mereka.
Memandangkan keadaan rumah tidak selesa, saya tidak betah duduk di rumah. Ketika itu, saya rasakan rumah ibarat neraka. Nakalnya saya, beberapa kali pernah melarikan diri dari rumah. Kali pertama lari dari rumah, saya hanya pulang ke rumah beberapa hari kemudian. Itu pun selepas keluarga saya puas menyuruh pulang. Saya inginkan kehidupan yang bebas. Saya tinggal di rumah sewa seorang teman lelaki ketika itu.

Kali kedua saya lari dari rumah ialah beberapa bulan selepas kejadian pertama. Kali ini, saya tidak pulang ke rumah lebih dari sebulan. Saya bebas lepas seperti kupu-kupu.

Sikap saya yang suka ponteng sekolah menyebabkan saya berhenti sekolah kerana sudah tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran lagi. Tentu sekali ini menyebabkan keluarga merasa tercabar dan sangat marah. Akibatnya, saya dikurung dan tidak dibenarkan keluar rumah apabila saya pulang beberapa minggu kemudian.

Kata orang, kalau berbuat jahat, jahatlah akibatnya. Perbuatan zina saya menyebabkan sesuatu yang sangat buruk berlaku kepada saya selepas itu. Saya dapati diri saya mengandung. Dugaan ini tidak saya beritahu kepada keluarga kerana malu kepada mereka. Bersama-sama dengan teman lelaki, tanpa diketahui ibu bapa, saya menggugurkan kandungan.

Hidup kini terasa kosong dan tidak bermakna. Kini, saya sangat menyesal atas apa yang sudah saya lakukan selama ini. Saya berasa amat berdosa dan terlalu ingin menjadi gadis yang baik.

Gadis Bebas Lepas
Pulau Pinang




SEORANG ahli falsafah Cina ada mengatakan ‘sesiapa yang tidak berfikir panjang, kesusahan sudah bersedia di mukanya.’ Zaman awal remaja adik dipenuhi dengan emosi keseronokan hingga memberi kesan pahit kepada kehidupan.

Bagaimanapun, adik kini menyesal atas apa yang adik lakukan dan ingin sekali menjadi gadis yang baik. Yang berlalu biarlah berlalu, yang mendatang hadapilah dengan cemerlang. Sekali anda terjatuh, jangan jatuh untuk berkali-kali.

Tiada siapa dapat menafikan zaman remaja adalah zaman penuh dugaan. Tuntutan untuk kebebasan, keseronokan dan emansipasi tinggi bagi remaja. Pada peringkat umur adik, mudah terpengaruh dengan tingkah laku yang menyenangkan dan menyeronokkan.

Khalifah Umar ibn Khattab pernah berkata, “Muhasabahlah serta hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung oleh Allah. Mereka yang berani melakukan muhasabah dan kemudian membuat perubahan positif ke atas diri sendiri, merekalah orang yang akan berjaya.”

Adik sudah sedar kesilapan yang adik lakukan. Kesedaran ini satu permulaan baik untuk perubahan positif. Perubahan positif dan keinsafan dipenuhi dengan tidak melakukan perkara-perkara yang membawa adik ke kancah merosakkan.

Proses perubahan selalunya mengambil masa. Lakukannya dengan azam yang kuat. Motivasikan diri adik dengan kerap kali membaca buku agama dan motivasi. Cari jaringan kawan yang boleh membimbing adik ke arah tingkah laku yang positif. Dengan usaha dan keazaman tinggi, adik mampu berubah untuk menjadi gadis yang baik seperti diinginkan.

Keluarga adalah tempat terbaik adik untuk meminta bantuan dan bimbingan. Dampingilah keluarga adik dan bersama-samalah bekerjasama untuk menjadi satu unit yang sepadu dan kuat untuk menjayakan sebuah keluarga bahagia. Adik juga boleh menjadi insan yang lebih mempunyai matlamat jika sentiasa mendampingi keluarga.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...