WARTAWAN Belgium, Michel Collon, menggunakan bukunya, ‘Israel, let’s talk
about it’ (Israel, mari kita berbicara mengenainya) untuk mendedahkan bagaimana
laporan media Eropah melakukan penipuan berdekad-dekad dalam usaha mereka
menyokong kewujudan negara haram Israel.
Dalam buku itu, Collon menyenaraikan 10 penipuan besar disebarkan media
Barat bagi menjustifikasi penubuhan negara Israel serta menghalalkan tindakan
negara Zionis itu.
Penipuan itu adalah:
1.
Penubuhan Israel adalah sebagai reaksi terhadap pembunuhan beramai-ramai bangsa
Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.
Hakikatnya, kata Collon, projek mewujudkan Israel itu diluluskan Kongres
Zionis Pertama di Basel, Switzerland, pada 1897.
Dalam persidangan itu, pemimpin Zionis memutuskan untuk menakluk Palestin
bagi menyediakan ruang untuk mereka membangunkan Israel.
Untuk makluman, Perang Dunia Kedua
berlaku di antara 1939 hingga 1945.
2.
Untuk menghalalkan penghijrahan besar-besaran ke Palestin, Yahudi mendakwa
wilayah itu adalah warisan mereka selepas diusir pada tahun 70 Masihi.
Kata Collon, data itu hanyalah rekaan semata-mata.
“Saya bercakap dengan beberapa sejarawan terkenal Israel, termasuk Shlomo
Sand, yang percaya peristiwa penghijrahan beberapa abad silam tidak pernah
berlaku.
“Penduduk Palestin tidak pernah meninggalkan kawasan mereka pada zaman
purba.
“Justeru, kedatangan mereka ke Palestin kononnya untuk menduduki tanah
warisan tidak berasas sama sekali,” katanya.
Menurut Collon, Yahudi yang mendesak mahu pulang ke ‘tanah asal’ mereka di
Palestin sebenarnya berasal dari Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.
Memetik pendapat Sand, Collon berkata, sebenarnya isu negara Yahudi tidak
wujud sama sekali kerana bangsa itu yang berada di pelbagai negara tidak
memiliki persamaan sejarah, bahasa atau budaya.
“Satu-satunya persamaan mereka adalah
agama, tetapi agama bukan asas membina negara,” katanya.
3.
Penipuan ketiga ialah dakwaan kononnya Palestin tidak didiami sesiapa ketika
Yahudi mula-mula mendudukinya.
Kata Collon, ada beberapa dokumen dan bukti menunjukkan produk pertanian
Palestin dieksport ke luar negara pada abad ke-19.
Katanya, Perancis adalah antara negara
yang mendapat manfaat daripada produk pertanian Palestin pada abad itu.
4. Ada
pihak mendakwa warga Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela.
“Ini satu lagi penipuan,” kata Collon.
Menurut wartawan itu, memang ramai pihak percaya kepada dakwaan palsu
berkenaan.
Malah, katanya, pada peringkat awal dia sendiri yakin terhadap tuduhan itu,
sehinggalah dia bertemu sejarawan Israel, seperti Benny Morris dan Ilan Pappe.
“Kata Morris dan Pappe, warga Palestin
dihalau dan dilarang kembali melalui kekerasan dan keganasan,” katanya.
5.
Israel didakwa satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah dan wajib
dipertahankan.
Kata Collon, Israel sebenarnya bukan saja negara melanggar undang-undang,
malah satu-satunya negara yang tidak dibatasi mana-mana peraturan bagi
menjelaskan sempadannya.
“Semua negara di dunia ini memiliki perlembagaan yang menyatakan had
batasan masing-masing tetapi tidak bagi Israel.
“Negara itu wujud hasil projek perluasan wilayah yang tidak mengenal
batasan dan undang-undangnya amat rasis,” katanya.
Melalui peraturan diguna pakai Israel, kata Collon, negara itu khusus untuk
Yahudi dan individu bukan daripada bangsa itu dilihat sebagai ‘bukan manusia’.
“Ia amat bercanggah daripada demokrasi,”
katanya.
6. AS
didakwa cuba melindungi demokrasi di Timur Tengah melalui Israel.
Pada masa sama, kata Collon, semua pihak tahu AS menyalurkan dana ke Israel
sehingga RM9.7 bilion setahun.
“Wang itu digunakan untuk menyerang negara jiran Israel,” katanya.
AS, kata Collon, sebenarnya hanya
berminat memastikan aliran petroleum di rantau itu tidak terganggu.
7. AS
kononnya berusaha mencapai persetujuan di antara Israel dan Palestin.
“Ia bohong sama sekali,” kata Collon.
Bekas Ketua Dasar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana, pernah memberitahu
Israel bahawa negara itu adalah anggota ke-21 EU.
Industri senjata Eropah juga bekerjasama dengan Israel dan menyokong mereka
secara kewangan.
Bagaimanapun, kata Collon, apabila warga
Palestin memilih kerajaan mereka secara demokratik, Eropah enggan
mengiktirafnya, malah memberi lampu hijau kepada Israel menyerang Gaza.
8.
Menganggap mana-mana pihak yang mempertikaikan sejarah Israel sebagai
anti-Semit.
Sebenarnya, kata Collon, hujah itu digunakan bagi menutup mulut pihak yang
cuba mendedahkan tembelang Israel.
“Apabila kita mengkritik Israel, ia bukan semangat anti-Semit, tetapi
mengecam dasar kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan hak dan taraf di
antara Yahudi, Kristian dan Islam.
“Ia juga memusnahkan keamanan di antara
pengikut pelbagai agama,” katanya.
9.
Media massa mendakwa Palestin punca keganasan.
Sebaliknya, kata Collon, penjajahan
Israel itulah keganasan sebenar kerana mereka merampas tanah dan kediaman
penduduk yang berhak.
10. Isu
sering dibangkitkan kononnya tiada jalan penyelesaian di antara Israel dan
Palestin.
Hakikatnya, kata Collon, penyelesaian boleh dicapai.
“Kita cuma perlu memberi tekanan ke atas sekutu Israel di AS dan Eropah
serta rantau lain di seluruh dunia,” katanya.
Bagi Collon, tekanan umum terhadap media massa yang enggan melaporkan
kebenaran juga boleh menyumbang kepada penyelesaian sebenar di Timur Tengah.
“Menggunakan Internet atau media lain,
marilah kita sama-sama melaporkan berita sebenar mengenai Palestin,” katanya. –
Agensi
No comments:
Post a Comment