nuffnang

c

3D Letter B

Followers

Tuesday 6 March 2012

Ikhlas tuntut ilmu ketika masuk taman syurga

SELAMAT kembali ke sekolah. Ini bermakna anda pulang ke taman-taman syurga, taman syurga ialah majlis-majlis ilmu.

Sekolah adalah taman ilmu. Berkata Ibnu Taimiyyah: “Sesiapa yang ingin masuk syurga biasa-biasalah bermain di taman-tamannya dahulu. Apa itu taman syurga?

Taman syurga ialah kelas tempat belajar, sekolah dan universiti, halaqah ilmu atau rancangan televisyen yang mendidik jiwa. Kelebihan menuntut ilmu memang biasa kita dengar.

Kali ini mari sama-sama kita mempelajari adab ketika menuntut ilmu supaya ilmu yang diperoleh lebih berkat.



Antara adabnya ialah:

1. Ikhlas belajar. Islam menegaskan wajib menuntut ilmu sejak lahir hingga ke liang lahad. Belajar dengan pelbagai cara dan medium hinggalah boleh dibuat di hujung jari melalui Internet.

Dengan syarat segala yang dilakukan dibuat dengan penuh ikhlas bertujuan mendapat keredaan Allah.


2. Belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Kita dituntut bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu tanpa mengira masa dan keadaan.

Sifat malas hendaklah dihindari di samping menjauhkan diri daripada rakan yang bersifat malas.

Selepas berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan menjawab soalan latihan, ujian dan peperiksaan dengan tenang, barulah kita bertawakal kepada Allah supaya kejayaan menjadi milik kita.


3. Menjauhi Maksiat. Maksiat ialah melakukan perbuatan yang melanggar perintah Allah iaitu melakukan perbuatan yang berdosa.

Oleh itu, ketika guru sedang mengajar di dalam kelas tumpuan hendaklah diberikan kepada setiap butir percakapan guru dan hindari fikiran daripada melayang ke arah maksiat.


4. Memilih teman yang soleh. Teman yang dimaksudkan bukanlah pasangan kekasih, tetapi memilih teman sejantina yang sentiasa patuh dan taat kepada Allah dan Rasul.

Kita dan teman hendaklah mengamalkan budaya tegur-menegur dan nasihat-menasihati supaya pelajar tidak lalai dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pelajar.

Sifat itu sangat berguna apabila melakukan ulang kaji pelajaran di dalam kumpulan belajar. Dengan itu, fakta dalam pembelajaran di sekolah dapat diingati dengan lebih cepat dan mudah.


5. Banyakkan mengingati Allah. Orang yang sentiasa berzikir akan dikurniakan hati yang tenang dan tenteram. Zikir dikatakan dapat menghidupkan hati yang mati.

Oleh itu, banyakkan berzikir dan berdoa selepas solat dan disarankan juga mengamalkan zikir harian yang terdapat di dalam bilik kelas di sekolah.


6. Menjaga kehormatan diri dan orang lain. Kehormatan diri dapat dijaga dengan me�ngamalkan tingkah-laku yang baik supaya tidak terjebak dengan perbuatan maksiat.

Bagi mengelak berlakunya maksiat, pelajar perempuan contohnya perlu memakai pakaian dan kemeja-T yang longgar. Di samping itu, hendaklah menjauhkan diri daripada menyakiti hati dan perasaan orang lain. Doa orang yang teraniaya sangat mujarab.

Dikhuatiri orang yang kita sakiti hatinya mendoakan sesuatu yang buruk berlaku kepada kita.


7. Doa dan keredaan ibu bapa. Sebagai anak yang soleh kita dituntut mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kita. Ini kerana keredaan Allah bergantung kepada keredaan ibu bapa.

Beruntunglah pelajar yang masih mempunyai kedua ibu bapa kerana mereka dapat meneruskan bakti sewaktu mereka masih hidup.

Apatah lagi dengan memandang wajah ibu bapa saja kita diberikan pahala oleh Allah.

Oleh itu, setiap kali hendak ke sekolah, dapatkan restu daripada ibu bapa sebelum melangkah ke luar rumah. Sewaktu mengambil peperiksaan besar seperti PMR dan SPM nanti, berikan ibu bapa satu salinan jadual waktu peperiksaan dan mohon mereka mendoakan serta melakukan solat hajat pada waktu kita sedang menjawab soalan peperiksaan supaya kita mendapat keputusan cemerlang.


8. Menghormati guru tidak kira di mana. Menghormati guru adalah salah satu daripada rahsia kejayaan cemerlang dalam akademik dan bidang lain.

Sentiasa wujudkan rasa kasih kepada guru supaya guru sentiasa menyebut nama
kita dan mendoakan kejayaan kita.


9. Beramal dengan ilmu yang diperoleh. Sesuatu ilmu tidak bermakna jika tidak diamalkan. Orang yang memiliki ilmu itu umpama orang yang memiliki senjata.

Dengan ada senjata kita dapat mempertahankan diri kita daripada serangan musuh.
Ilmu itu dapat menghalang diri seseorang daripada pengaruh negatif yang cuba menjauhkan dirinya daripada keredaan Allah.

No comments:

Post a Comment

nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...